Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Wednesday, December 7, 2016

Perbicaraan Kes Rasuah Lim Guan Eng Bermula 27 Mac 2017


Seramai 60 orang saksi pendakwaan akan dipanggil

TIDAK PUAS HATI: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat bantahan di luar Mahkamah Tinggi di George Town terhadap Guan Eng berhubung pengurusan kes rasuah berhubung pembelian banglo semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 34 hari bermula 27 Mac 2017 bagi perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.
Seramai 60 orang saksi pendakwaan akan dipanggil dan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan supaya melengkapkan dokumen masing-masing dengan segera bagi mengelak kes ditangguhkan.
Saya tidak mahu mendengar masalah berkaitan dokumen lagi selepas ini, sepatutnya tempoh dua bulan sudah mencukupi. Memandangkan saksi pendakwaan seramai 60 orang, saya tidak mahu tarikh perbicaraan diubah, tetapi sekiranya mahu menambah tarikh baharu dibolehkan memandangkan ramai saksi,” katanya.
Beliau berkata tarikh perbicaraan yang diberikan mahkamah juga tidak boleh dipinda memandangkan ia telah dipersetujui oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan.
Tarikh perbicaraan itu ialah pada 27 Mac hingga 31 Mac, 10 April-14 April, 24 April-28 April, 15-19 Mei, 29 Mei-2 Jun, 13 Jun-16 Jun dan 17 hingga 21 Julai tahun depan.
Hadhariah menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes semalam. Kedua-dua tertuduh Lim dan Phang tidak hadir pada prosiding semalam selepas mereka dibenarkan dikecualikan hadir.
Mahkamah menetapkan 6 Jan depan untuk pengurusan kes bagi pihak pendakwaan melengkapkan kesemua dokumen akhir mereka.
Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim memaklumkan pihaknya telah menerima dokumen lengkap daripada pihak pendakwaan seminggu lepas bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu dilihat dan diteliti.
Gobind Singh juga memohon kepada mahkamah untuk mengecualikan Lim dan Phang daripada hadir di mahkamah pada 6 Jan dan hakim membenarkan permohonan itu.
Di luar mahkamah, Gobind Singh memberitahu pemberita bahawa pihaknya perlu melihat kembali dokumen kerana terdapat dokumen yang diterima telah kehilangan muka surat dan ada dokumen yang disalin dua kali.
Pada 30 Jun, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.
Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.
Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Lim  mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.
Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town, pada 28 Julai 2015, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bekas pemilik banglo itu, Phang turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Lim, lot tanah dan rumah itu di tempat dan pada tarikh sama.
Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Suasana di perkarangan mahkamah kelihatan tenang hari ini apabila penyokong Lim tidak kelihatan dan kira-kira 50 orang berkumpul di luar perkarangan mahkamah mendesak Lim meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.
Kumpulan itu, yang diketuai Pengerusi Kelab Mamu Parpu Muhsin Latheef berkumpul sejak pukul 9.15 pagi dan bersurai pada 10.15 pagi selepas prosiding kes selesai.
Mereka yang mendakwa penyokong Exco Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow, meminta Chow untuk menggantikan Lim sebagai Ketua Menteri kerana Chow seorang yang berpengalaman dan telah menetap di negeri ini lebih 20 tahun.
Kami percaya Chow boleh menjadi Ketua Menteri yang lebih baik kerana beliau memahami masalah rakyat,” katanya. — Bernama

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.