Siapa yang banyak beli kereta? Siapa yang beli kereta
mahal? Orang kaya atau orang miskin?
Siapa yang banyak travel? Siapa yang selalu
out-station? Siapa yang selalu bawa keluarga bercuti? Siapa yang selalu bawa
keluarga bersiar-siar di hujung minggu? Orang kaya atau orang miskin?
Rumah siapa yang lebih besar? Rumah siapa yang ada
banyak lampu? Rumah siapa yang ada aircond di setiap ruang? Rumah siapa yang
ada banyak TV? Rumah siapa yang ada banyak decoder astro? Orang kaya atau orang
miskin?
Jadi…
Siapa yang paling banyak dapat subsidi minyak? Siapa
yang paling banyak dapat subsidi elektrik? Siapa yang paling banyak dapat
manfaat daripada penurunan harga kereta? Etc. etc…
Jenis subsidi
Sebenarnya terdapat 2 jenis subsidi:
1) Subsidi pukal
- subsidi yang diterima oleh semua orang tanpa mengira samaada mereka itu
kaya atau miskin. Ia diberikan berasaskan kepada penggunaan. Dengan kata lain,
siapa guna banyak dialah yang dapat banyak.
2) Subsidi bersasar
- subsidi yang diberikan hanya
kepada golongan sasaran iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.
Subsidi pukal
Pada tahun 2007, IMF telah menerbitkan sebuah kertas
kerja berkenaan isu subsidi minyak. Menurut kertas kerja tersebut, subsidi
minyak lebih menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin. Ini
kerana, kajian mereka mendapati bahawa bagi setiap unit penggunaan sumber oleh
golongan miskin, lebih 3 unit digunakan oleh golongan kaya.
Lebih jelas lagi, sekiranya subsidi minyak diterima oleh golongan miskin adalah
RM100, maka subsidi yang diterima oleh golongan kaya adalah lebih daripada
RM300. Ini kerana subsidi minyak adalah berasaskan kepada penggunaan. Lebih
banyak penggunaan, lebih tinggi subsidi diterima.
Pastinya, jumlah penggunaan oleh golongan kaya adalah
lebih tinggi daripada golongan miskin.
Sebagai contoh, golongan kaya mempunyai banyak kereta. Setiap ahli
keluarga golongan kaya mempunyai kenderaan masing-masing. Jarak perjalanan
mereka juga lebih jauh. Mereka sering ‘out-station’. Mereka sering
bercuti. Mereka sering membawa keluarga
bersiar-siar di hujung minggu.
Golongan miskin pula hanya mempunyai motosikal yang
dikongsi bersama ahli keluarga lain. Jarak perjalanan juga terhad di dalam
kampung sahaja. Jarang-jarang sekali mereka ke bandar, melainkan sekiranya
mempunyai urusan penting.
Jelas sekali, penggunaan golongan kaya adalah jauh
lebih banyak berbanding golongan miskin. Silap-silap, subsidi yang sampai
kepada golongan miskin hanyalah sekitar ‘puluh-puluh’ sebulan manakala subsidi
yang diterima oleh golongan kaya adalah
sebanyak ‘ratus-ratus’ dan mungkin mencecah ‘ribu-ribu’ sebulan!
Persoalannya, perlukah golongan kaya atau yang
berpendapatan sederhana tinggi ini diberikan subsidi sebanyak ‘ratus-ratus’
atau ‘ribu-ribu’ sebulan? Bukankah lebih baik diberikan kepada mereka yang
memerlukan?
Begitu juga dengan subsidi pukal lain seperti
elektrik, gas memasak, makanan dan sebagainya. Rumah orang kaya adalah besar, banyak
lampu, mempunyai aircond di setiap ruang dan alat-alat elektronik lain yang
akan meningkatkan konsumsi elektrik .
Mereka lebih banyak makan dan lebih banyak menggunkan gas memasak. Rumah
orang miskin pula hanya ada beberapa biji mentol lampu. Mereka hanya makan
sekadar cukup memberi tenaga. Sebahagian mereka masih lagi memasak menggunakan
dapur kayu. Ini sekali lagi menunjukkan
bahawa orang kaya lebih banyak menerima subsidi berbanding orang miskin.
Itulah sebabnya subsidi pukal adalah kurang adil dan
perlu dirasionalisasikan secara berperingkat-peringkat. Malah,kertas kerja IMF
tersebut juga mencadangkan agar subsidi ini dihapuskan dan perbelanjaan subsidi
ini dialihkan kepada pembinaan infrastruktur, perkhidmatan kesihatan,
penambahbaikan program pendidikan dan pengurangan cukai yang memberikan manfaat
lebih besar kepada rakyat dan negara.
Subsidi bersasar
Kerajaan telah melaksanakan beberapa bentuk
transformasi subsidi bagi memastikan sistem subsidi negara adalah lebih adil
serta sampai kepada hanya mereka yang benar-benar layak.
Antaranya adalah dengan melakukan rasionalisasi
subsidi petrol yang mana RON95 yang kebanyakannya digunakan oleh golongan
berpendapatan rendah dan sederhana rendah diberikan lebih banyak subsidi
berbanding RON97 yang digunakan oleh mereka yang memiliki kereta-kereta mahal
di kalangan orang kaya atau berpendapatan sederhana tinggi.
Kerajaan juga telah memperkenalkan banyak program
subsidi bersasar yang disasarkan khusus kepada golongan miskin dan sederhana
rendah. Ini termasuk program seperti 1azam bagi mengeluarkan golongan miskin
daripada kemiskinan, program e-Kasih, Kebajikan Rakyat 1 Malaysia atau KAR1SMA,
pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia, Kedai Rakyat 1 Malaysia dan sebagainya.
(Lebih lanjut, sila rujuk SINI)
Program-program ini telah menunjukkan kejayaan dalam
mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara selain meringankan beban rakyat
terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.
Penurunan harga kereta
Sebenarnya kita tidak perlu melihat jauh bagi
mengetahui kesan penurunan harga kereta melalui penghapusan duti import. Apa
yang perlu buat adalah meneliti harga-harga kereta di pulau bebas cukai
Langkawi.
Kita akan dapati bahawa harga kereta-kereta sederhana
dan murah hanya lebih murah sekitar RM10,000 ke RM20,000 jika dibandingkan
harga di tempat lain di Malaysia. Ini berbeza dengan kereta mahal dan mewah
yang ratusan ribu hingga jutaan lebih murah! Persoalannya, siapakah yang
membeli kereta-kereta mewah? Orang kaya atau orang miskin? Siapakah yang lebih
mendapat manfaat daripada penurunan harga kereta? Orang kaya atau orang miskin?
Penghapusan duti import kereta akan mengorbankan
sebanyak kira-kira RM7 billion pendapatan negara. Namun, untuk siapakah RM7
billion ini dikorbankan? Orang kaya atau orang miskin?
Lebihan wang
Apabila kita memberikan subsidi, rakyat akan mempunyai
lebihan wang. Sebagai contoh, dengan menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia,
seseorang akan mendapat lebihan wang sebanyak RM500. Seseorang yang mendapat
subsidi-subsidi lain seperti minyak, elektrik dan sebagainya juga akan mendapat
lebihan wang berdasarkan kadar penggunaannya.
Sebenarnya terdapat perbezaan di antara lebihan wang
pada orang kaya atau berpendapatan sederhana tinggi dengan lebihan wang pada
orang miskin atau berpendapatan sederhana rendah.
Orang kaya atau berpendapatan sederhana tinggi banyak
berbelanja di ‘atas’ iaitu dengan membeli barangan mewah, makan di restoran
makanan segera dan mahal, minum kopi RM10, membeli-belah barangan berjenama,
membeli telefon pintar yang canggih dan sebagainya. Mereka berbelanja pada perusahaan yang
dimiliki oleh orang kaya juga. Dengan kata lain, lebihan wang itu hanya
mengalir di ‘atas’ dan sedikit sahaja yang mengalir ke ‘bawah’.
Manakala orang miskin pula banyak berbelanja di
‘bawah’. Mereka membaiki rumah dengan mengupah tukang kampong, berbelanja di
kedai-kedai peniaga kecil, membeli pakaian di pasar malam, makan makanan di
gerai dan sebagainya yang biasanya dimiliki oleh mereka yang berpendapatan
rendah atau sederhana rendah. Ini bermakna lebihan wang pada golongan miskin
dan berpendapatan sederhana rendah akan terlebih dahulu beredar di ‘bawah’, di
kalangan mereka yang berpendapatan rendah sebelum naik ke ‘atas’. Ini pasti memberi manfaat yang lebih besar
kepada rakyat secara keseluruhannya.
Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa apa yang
kelihatan indah di mata dan manis didengar tidaklah semestinya baik. Tidak
dinafikan bahawa terdapat segelintir di kalangan masyarakat awam dan
‘cerdik-pandai’ yang ‘idealis’ yang terpesona dengan kata-kata manis pihak yang cuba menipu rakyat bagi menjayakan
usaha mereka dalam merebut kuasa. Namun, hanya jauhari yang mengenal manikam.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ambillah daripada penduduk Yaman yang kaya sebahagian
harta mereka dan agihkan kepada golongan fakir (dan miskin) di sana.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Firman Allah:
“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad)
dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka
adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat
(Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang
musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak
hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”
(Surah al-Hasyr, ayat 7)
No comments:
Post a Comment