Saturday, March 16, 2013

Zul Noordin : Pengesahan Kehadiran Tian Chua & Sivarasa Ke Filipina Mengusarkan..


AIDCNews – 15/03/13 – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dilaporkan Antaraposberkata kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan pemergian dua orang kanannya iaitu Naib Pengerusi PKR, Tian Chua dan ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah ke Filipina sebelum tercetusnya pencerobohan di Lahad Datu menggusarkan kerana kedua-dua tokoh itu mempunyai rekod ‘buruk’ pada masa lampau dalam usaha pemisahan wilayah.

Menurutnya, Tian Chua dan Sivarasa atas kapasiti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) pernah memainkan peranan penting yang membawa kepada pemisahan wilayah Timor Timur yang kini dikenali sebagai Timor Leste daripada Indonesia.
Mereka berusaha ‘membebaskan’ wilayah Timor Timur dengan memberi tekanan politik kepada kerajaan Indonesia pimpinan Presiden Suharto dengan menganjurkan persidangan ‘Asia-Pacific Conference on East Timor’ (APCET) di Kuala Lumpur pada November 1996.
“Dan apabila Anwar Ibrahim membuat kenyataan baru-baru ini mengiyakan bahawa orang kanannya Tian Chua dan Sivarasa pernah pergi ke Manila konon untuk urusan lain, tapi saya bila melihat penglibatan kedua-dua orang kanan Anwar Ibrahim ini, Tian Chua dan Sivarasa, saya teringat peristiwa APCET 2 (dan) APCET 1.
“Antara tokoh (yang menjadi) dalangnya ialah Tian Chua dan Sivarasa yang kita semua tahu mereka menuntut supaya Wilayah Timor Timur dibebaskan yang kita pun tahu walaupun Presiden Suharto berjaya bertahan, tetapi apabila kawan Anwar Ibrahim (iaitu) Gus Dur mengambil alih pimpinan Indonesia, dia telah memerdekakan Wilayah Timor Timur kepada Gusmao yang hari ini kita kenal sebagai Timor Leste,” katanya.
Situasi yang berlaku itu katanya mirip dengan apa yang sedang berlaku di Lahad Datu ketika ini apatah lagi dengan penglibatan kedua-dua tokoh tersebut.
Ini katanya ditambah pula dengan saranan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), supaya diadakan dialog dengan Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai Sultan Sulu yang bertanggungjawab menghantar ‘tentera’nya menyerang Lahad Datu.
“Maknanya kita sudah ada satu sejarah di rantau ini, Indonesia kehilangan wilayah melalui corak yang sama..serangan, pencerobohan, selepas itu tekanan antarabangsa dan berlaku rusuhan, dan akhirnya mereka hilang wilayah.
“Kita dengar baru-baru ini Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon sudah buat kenyataan..apa kena-mengena PBB dengan kita? Ini soal penjenayah menceroboh dan menyerang negara kita. Ini bukan soal tentera negara lain berperang dengan kita.
“Jadi tidak ada sebab langsung untuk Ban Ki Moon membuat kenyataan bagi pihak PBB untuk kita berdialog.
“(Jadi) Saya nampak corak yang sama bagaimana Suharto disuruh berdialog dengan Gusmao..sekarang kita disuruh berdialog dengan Kiram..saya ingat ini satu agenda yang sama, dalang yang sama, niat jahat yang sama,” tegas beliau.
Media Filipina dan antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa penceroboh bersenjata Sulu datang ke Sabah atas jemputan pemimpin pembangkang.
Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai tentera Filipina dilaporkan berkata, kumpulan bersenjata orang diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Agbimuddie Kiram itu mendarat di Lahad Datu bagi membincangkan isu tuntutan tanah.
Manakala The Manila Times menerusi koresponden mereka, Al Jacinto, pencerobohan tersebut juga ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan.
Tontoni rakaman video di bawah berkaitan dengan penganjuran APCET di Kuala Lumpur oleh SUARAM pada tahun 1996 yang didalangi oleh Tian Chua dan Sivarasa Rasiah. Persidangan itu diprotes oleh Saifuddin Nasution dari Pemuda UMNO. Sekarang semuanya bergabung tenaga dalam PKR.

No comments:

Post a Comment