Anwar
Raja Politik Wang
Oleh Yahaya
Ismail
Bagi seorang
menteri kabinet yang berpangkat timbalan perdana menteri merangkap menteri
kewangan yang ditatang sebagai anak mas oleh Mahathir Anwar sebenarnya boleh
menjadi pembantu yang berkesan kepada Mahathir. Dia boleh membantu Mahathir
untuk meringankan bebanannya kalau ia mahu. Tapi malangnya Anwar mempunyai
agendanya yang tersendiri. Setelah memegang kementerian kewangan dia dapati
seolah-olah menjadi penjaga gua Raja Sulaiman yang membolehkannya memberi
berbagai projek dan saham kepada mereka yang disenanginya yang super setia
dalam UMNO dan juga di luar UMNO.
Di sinilah
dia membina kekuatan network politiknya melalui pemberian projek yang bernilai
beratus-ratus juta kepada sahabat handai, terutama sekali bekas pemimpin ABIM,
untuk menjamin bantuan kewangan, tenaga dan lain-lain logistics bila menentang
musuh-musuh politiknya termasuk Mahathir sendiri. Beberapa orang bekas pemimpin
ABIM dalam IKD (Institut Kajian Dasar) turut membantu merancang masa depan
politik Anwar di samping menjadi think tank untuk menyemarakkan lagi imej tokoh
dari Ceruk Tok Kun ini sebagai bakal perdana menteri kelak.
Kamaruddin
Jaafar misalnya terlibat dalam dunia korporat sejak Anwar menyertai UMNO dan
dia menumpang tuah sahabatnya itu. Pernah menjadi Setiausaha Agung ABIM
(1981-85) dan menjadi Pengerusi Kajian Islam Malaysia, London pada tahun 1975
dan menjadi ahli Exco Pemuda (1986). Pernah jadi Setiausaha Politik Ghafar Baba
sewaktu Ghafar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Menurut cerita dia tidak
diberi peranan penting oleh Ghafar oleh kerana dia ditempatkan di situ oleh
Anwar. Dikatakan dia di situ hanya untuk mendapatkan berbagai rahsia Ghafar.
Dalam masa
yang pendek sudah menjadi Pengarah Setron Bhd, Pengarah Urusan Sabah Shipyard,
Pengerusi Eksekutif Samanda Holding Bhd, Pengarah Mecury Industries Bhd,
Pengerusi Lankhorst Bhd, Pengerusi KL Linear City Sdn Bhd (usahasama dengan
syarikat Vincent Tan, sahabat baik Mahathir dan Anwar), Pengarah Mutiara
Telecommunication Sdn Bhd. Inilah habuan dan ganjaran bila menjadi kroni Anwar.
Menjadi jutawan ala mi segera yang tidak pernah dimimpikan sewaktu berjuang
dalam ABIM di masa lampau.
Boleh
dikatakan kebanyakan kroni Anwar yang mendapat berbagai habuan hingga jutawan
terkejut adalah terdiri dari bekas pemimpin ABIM yang sama-sama menjulang
kepimpinan Anwar sejak tahun 70 an yang lalu. Antara mereka termasuklah
Kamaruddin Mohd Nor yang menjadi tokoh korporat selepas Anwar terlibat dalam
politik UMNO dan menjadi menteri kewangan. Antara syarikat-syarikat yang
penting di mana dia menjadi ahli pengarahnya ialah Dallah Al-Barakah Malaysia
Holdings Joint Arab-Malaysia Investment (Jami), Land and General Berhad dan
sebagai Pengerusi Dialogue Group Bhd. Dia baru saja dibebaskan dari tahanan ISA
gara-gara dikaitkan dengan reformasi Anwar.
Zahid Hamidi
pula menjadi Timbalan Pengerusi Kretam Holdings, Pengerusi P.T Citra Muda Sdn
Bhd, Pengerusi KHB Development Bhd dan Pengerusi Tekala Corporation Bhd. Mereka
inilah antara pemimpin-pemimpin muda yang menjadi jutawan terkejut yang
mendukung cita-cita Anwar untuk menjadi bakal perdana menteri kelak. Dia juga
dikatakan salah seorang kroni Anwar yang super jutawan. Dikatakan nilai
hartanya tidak kurang dari RM400 juta yang diperolehi dalam masa lima tahun.
Ini juga berkat menjadi kroni dan pengampu Anwar. Dia juga mendapat pengalaman
sementara sebagai tahanan ISA dan kini dibebaskan. Kini dengan perasaan
masykholnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda. Memang benar telaan orang
ramai Zahid hanya akan menjadi Ketua Pemuda secara transit, tak lama dan
berkesan.
Tapi raja
segala kroni Mahathir bukan Daim Zainuddin tetapi Anwar. Anwar dijemput,
ditatang dan diberi jawatan dalam kabinet hingga menggerhanai tokoh-tokoh UMNO
yang lebih kanan, lebih ilmu dan lebih pengalaman darinya. Walaupun dia bukan
seorang ahli ekonomi dan hanya mempunyai kelulusan ijazah am dalam pengajian
Melayu. Namun demikian Mahathir sanggup memberi jawatan menteri kewangan kepada
Anwar. Walaupun Anwar gagal menguruskan kewangan negara yang memuaskan namun
Mahathir tetap sayang dan terus mengekalkan sebagai menteri kewangan juga.
Misalnya
oleh sebab kecuaian dan kurang hati-hati di pihak Bank Negara dan juga Anwar
dalam perniagaan mata wang asing maka negara kita telah kerugian sebanyak tidak
kurang dari RM12 billion. Kata Anwar itu hanya kerugian di atas kertas walhal
ia adalah kerugian sebenar. Sekiranya dia faham dengan mendalam urusan
perniagaan mata wang dan mendapat nasihat yang bernas dari seorang yang berpengalaman
di bidang bisnes mata wang asing besar kemungkinan negara kita tidak akan
kerugian begitu banyak. Dikatakan Bank Negara hanya mempunyai seorang pakar
dalam bidang bisnes tukaran wang asing untuk mengendalikan pembelian dan
penjualan wang asing yang bernilai berbillion-billion ringgit!
Walaupun
Bank Negara terbukti gagal menguruskan perniagaan tukaran wang asing hingga
Malaysia rugi berbillion-billion ringgit namun Mahathir tidak memecat Anwar.
Malah kekalkan dia lagi sebagai menteri kewangan dengan harapan dia akan
belajar dari kesalahan yang dilakukannya. Kalau perbuatan itu berlaku di negara
lain seperti Jepun ataupun Korea sudah pasti menteri kewangan terpaksa
berhenti. Tapi Anwar masih disayangi Mahathir walaupun kalangan korporat dan
mereka yang arif dalam ekonomi dan perdagangan berasa kurang yakin dengan
kemampuan Anwar yang lebih bijak bercakap dari mencari berbagai idea untuk
memulihkan ekonomi negara. Tapi dia anak emas Mahathir dan tidak siapa pun
berani mempertikaikan pilihan Mahathir itu.
Yang
peleknya menteri kewangan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kerugian
pembelian mata wang asing yang berjumlah berbillion-billion ringgit. Dia tidak
sanggup meletakkan jawatan yang super lumayan dan glamor itu. Dia tetap sayang
nak jaga gua intan berlian Raja Sulaiman walaupun pengalaman ekonominya cuma
setakat mengira kemasukan yuran budak-budak di Yayasan Anda.
Yang menjadi
mangsa ialah Tan Sri Jaafar Hussien (allahyarham), gavernor Bank Negara, yang
terpaksa meletakkan jawatan. Seorang lagi yang terpaksa meninggalkan Bank
Negara akibat kerugian tersebut ialah seorang pakar tukaran wang asing, yang
selepas itu, bekerja dengan Kumpulan Abrar, sebuah korporat yang mempunyai
hubungan erat dengan Anwar. Pelek bin ajaib dikatakan pakar profesional di
bidang forex ini diambil semula bekerja dengan Bank Negara selepas kegagalannya
mengurus forex lebih dari RM12 billion.
Apakah dia
terlalu penting di bidang forex hingga Bank Negara tidak dapat mencari pakar
yang lebih baik darinya? Bukankah dia yang menyebabkan Bank Negara kerugian
berbillion-billion ringgit sewaktu Anwar menjadi menteri kewangan?
Pihak
berwajib patut menyiasat peranan pakar tersebut dan juga kaitannya dengan Anwar
dan pihak-pihak lain yang ada kepentingan dengan forex supaya Bank Negara tidak
dirugikan oleh pakar tersebut sekali lagi yang boleh membawa mudarat kepada
rakyat dan kerajaan. Ini bukan berniaga kain pelekat atau rempah cabai dari
Madras yang tidak memerlukan pengetahuan jual beli yang sophistikated. Ini wang
negara dan jumlah kerugian lebih dari RM12 billion! Mesti ada suatu siasatan
yang terperinci untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap mereka yang cuai,
yang menyeleweng atau pun korap.
Bila negara
kita dilanda kegawatan ekonomi dan negara-negara lain terpaksa meminta pinjaman
kewangan dari IMF (International Monetary Fund) atau Dana Kewangan Antarabangsa
maka sekali lagi Anwar diuji kemampuannya sebagai menteri kewangan. Lebih
kurang satu tahun Malaysia mengalami kegawatan ekonomi sejak Julai 1997 tetapi
Anwar tidak mampu mencari jalan mengatasinya. Nilai ringgit merudum. Bursa
saham KL menjunam teruk dan kebanyakan kaunter mempunyai nilai saham di bawah
harga RM1.00. pengurus-pengurus dana asing melarikan diri dari spekulator mata
wang terus menerus menekan nilai ringgit.
Apakah
tindakan positif yang dilakukan Anwar untuk meringankan bebanan kegawatan
ekonomi? Dia mengambil nasihat dan tunjuk ajar dari pengarah urusan IMF. IMF
mengenakan berbagai syarat yang ketat kepada negara-negara seperti Indonesia,
Thailand dan Korea Selatan yang meminjam darinya. Malaysia tidak meminjam
langsung dari IMF tetapi, malangnya, Anwar menggunakan formula IMF untuk
memulihkan ekonomi negara. Caranya naikkan faedah hingga melebihi 15%. Kononnya
hendak menarik para pelabur asing menyimpan wang dalam bank-bank tempatan.
Kalau banyak maka mudahlah diberi pinjaman kepada syarikat-syarikat dan
individu. Tapi siapakah yang mampu meminjam dengan kadar faedah yang begitu
tinggi? Di samping meninggikan faedah dikurangkan pula masa NPL (pinjaman yang
tak dibayar) dari enam bulan kepada tiga bulan. Lagi mampoihlah para peniaga
dan individu-individu hendak menjelaskan hutang mereka dalam masa yang singkat.
Ini nasihat
dari IMF yang dilaksanakan Anwar walaupun negara kita tidak menjadi peminjam
dari dana institusi tersebut. Akibat dari dasar kewangan Anwar yang tidak
bijaksana maka kegiatan ekonomi negara menjadi semakin malap, dan sekiranya
tidak bertindak dengan segera untuk mengatasi kelembapan ekonomi, maka Malaysia
akan menghadapi kegawatan ekonomi yang lebih parah lagi.
Soalnya
mengapakah Anwar perlu berkiblatkan ke IMF untuk mencari petunjuk bagi
mengatasi kegawatan ekonomi? Apakah kerana dia dan Camdessus, Pengarah Urusan
IMF, pernah cium pipi kiri dan kanan antara satu dengan lain maka masalah
ekonomi Malaysia boleh diselesaikan menurut formula IMF? Atau apakah Anwar
mempunyai agenda tersendiri untuk menggagalkan hasrat perdana menteri bagi
memulihkan ekonomi dengan secepat mungkin?
Anih dan
pelek Malaysia tidak meminjam duit dari IMF seperti Indonesia, Thailand dan
Korea Selatan dan kita tidak perlu menerima tunjuk ajar atau pun nasihat dari
IMF. Sepatutnya Anwar dengan bantuan kepakaran Bank Negara boleh mencari
kaedah-kaedah yang baik dan berkesan bagi mengatasi kegawatan ekonomi. Tapi
mengapa Anwar mengambil arahan dari IMF? Apakah IMF dan Anwar mempunyai suatu
agenda tertentu untuk menyulitkan kedudukan Mahathir demi masa depan Anwar
sendiri?
Anwar
tentulah arif bahawa Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menghadapi gugatan
rakyat dan menimbulkan kemarahan dari berbagai golongan kerana melaksanakan
syarat-syarat ketat IMF iaitu meninggikan faedah, memecahkan monopoli,
mengurangkan subsidi, mengetatkan pinjaman kepada sektor korporat, membuka
pasaran dan peluang kepada para pelabur asing untuk melabur dalam berbagai
syarikat khasnya di bidang perbankan dan industri-industri tertentu,
mengamalkan ketelusan demi mengurangkan korapsi dan sebagainya.
Akibatnya
tercetus rusuhan berdarah di Indonesia hingga tumbangnya Suharto. Di Korea
Selatan berlaku tunjuk perasaan dari para pekerja kilang, bank dan lain-lain
kerana terpaksa dibuang kerja. Thailnad juga bergolak walaupun tidak seburuk
Indonesia dan Korea Selatan. Anwar tahu akibat buruk yang dihadapi
negara-negara peminjam. Tapi mengapa, dan sekali lagi kita bertanya, mengapakah
dia membuntuti syarat-syarat IMF?
Ada orang
berpendapat Anwar sengaja hendak memudaratkan lagi kegawatan ekonomi bagi
menyulitkan kedudukan Mahathir yang tidak disenangi oleh Barat, para spekulator
dan pengurus-pengurus dana asing kerana sikapnya yang anti Barat itu. Anwar
sudah menjadi darling Washington kerana para pembesar negara-negara Barat amat
senang berunding dan berkira dengan Anwar yang kononnya dikatakan seorang tokoh
politik Asia yang mempunyai masa depan yang cemerlang.
Bank Dunia
dan IMF tidak segan-segan melantik Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan kedua institusi tersebut untuk menyindir Mahathir. Malah tembakan
21 das meriam (bukan meriam buluh betung tau) dan hamparan permaidani merah
juga diberikan kepada timbalan perdana menteri ini sewaktu melawat Amerika –
sesuatu yang luar biasa kerana tembakan meriam hanya diberikan kepada
ketua-ketua negara sahaja.
Ini juga
dianggap oleh para pemerhati politik sebagai sindiran tajam terhadap Mahathir.
Malah media Barat seperti CNN, CNBC, ABC, BBC dan majalah-majalah seperti
Asiaweek, Time, Newsweek, Review dan akhbar-akhbar seperti Asian Wall Street
Journal dan lain-lain lagi sering memberi pendedahan yang memuja Anwar tetapi
mengecam habis-habisan terhadap Mahathir. Ini semua adalah sebahagian dari
strategi Barat untuk melaga-lagakan kedua pemimpin negara dengan maksud untuk
menghancurkan kepimpinan Mahathir. Seperti kaduk naik junjung Anwar merasakan
sokongan moral dan media Barat boleh melemahkan kedudukan Mahathir dan
memperteguhkan kedudukannya.
Kalau
Mahathir memanjangkan silaturrahim dengan para pemimpin negara-negara membangun
dari Dunia Ketiga yang miskin dan sering bertelagah dalam suatu wadah kerjasama
ekonomi, politik, sosial, pendidikan yang erat dan menguntungkan sesama mereka,
Anwar, sebaliknya berusaha mengemis sokongan dari negara-negara Barat untuk menjaga
kepentingan politiknya.
Justeru itu
dia dengan bangganya menjerit kepada para penyokongnya bahawa dia bersahabat
baik dengan William Cohen, Setiausaha Pertahanan dan Madeleine Albright,
Setiausaha Negara Amerika untuk membuktikan dia ada sokongan dari Pakcik Sam.
Bila hilang jawatan kabinet dan parti dia kembali menjelma sebagai pemimpin
pelajar zaaman 70an. Anwar, tanpa segan silu, memperlihatkan kepada rakyat
bahawa dia lebih yakin dengan sokongan Barat untuk membantunya kembali berkuasa
di bumi kita yang bertuah ini.
Mahathir
bukan bodoh. Dia dapat membaca kilat dalam kilau arah dan muslihat Anwar yang
mandul idea dan suka menyembah IMF dan Barat untuk mengemis bantuan.
Berkali-kali Mahathir mengecam IMF kerana mengenakan syarat-syarat yang terlalu
ketat untuk para peminjam di Asia Tenggara yang boleh menyebabkan kebangrapan
negara-negara peminjam dan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat. Mahathir
tahu Anwar tidak bersungguh-sungguh hendak mencari jalan untuk mengatasi
kegawatan ekonomi.
Dia sedar
Anwar ada agenda tertentu. Dia juga sedar sekiranya tidak bertindak tegasdan
segera mengatasi kegawatan ekonomi Malaysia akan hancur. Kalau ekonomi negara
hancur rakyat akan gelisah dan kestabilan politik tergugat dan kepimpinan
Mahathir akan tercabar. Ada pihak yang menangguk di air keruh. Ada pemimpin
yang mengguntingkan dalam lipatan, baling batu sembunyi tangan, menahan bubu
ditempat yang genting.
Barangkali
Anwar sudah bermimpi di samping Sukma bahawa kegawatan ekonomi akan
mempercepatkan proses kejatuhan Mahathir sebagai ketua kerajaan. Ini yang
diidam-idamkannya.
Sebagai
timbalan perdana menteri dia adalah pengganti Mahathir yang sah. Biar kegawatan
ekonomi mencengkam rakyat dan Mahathir. Yang penting dia akan berkuasa atas
kesengsaraan rakyat dan kejatuhan Mahathir. Persetan dengan Mahathir. Di
belakang aku ada Amerika, Bank Dunia dan IMF. Tanpa meniup serunai dan nafiri
Mahathir melantik Tun Daim Zainuddin sebagai pengarah urusan MTEN dan tak lama
selepas itu Daim dilantik pula sebagai menteri tugas-tugas khas yang menumpukan
perhatian di bidang ekonomi.
Anwar juga
sedar strategi Mahathir dan Daim untuk memulihkan ekonomi Malaysia sudah mula
menampakkan hasilnya. Kecaman Mahathir terhadap IMF yang meletakkan
syarat-syarat ketat kini terpantul semula ke muka IMF yang meletakkan
syarat-syarat ketat kini terpantul semula kemuka IMF. IMF sendiri mengaku
bahawa ia silap membuat penilaian keadaan kegawatan ekonomi Asia. Kini IMF
sendiri bersetuju untuk mengurangkan faedah dan menilai semula syarat-syaratnya
demi menjana semula ekonomi negara-negara Asia yang meminjam darinya.
Dasar
Malaysia mengawal pergerakan ringgit agar tidak menjadi mangsa spekulator asing
itu pun sudah mendapat perhatian dan sokongan dari kerajaan Hong Kong dan
Taiwan. Malah Taiwan sendiri melarang George Soros dan syarikat-syarikat yang
ada kaitan dengan spekulator tersebut dari melibatkan diri dan dana dalam
mainan spekulasi dolar Taiwan. Malah badan ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu
sendiri menyokong tindakan Malaysia mengawal ringgitnya demi menstabilkan
ekonomi negara. Dengan kata lain, idea-idea Mahathir itu sudah mendapat
sokongan sokongan meluas walaupun pada mulanya banyak pihak menentang gagasan
Mahathir tersebut.
Kalau benar
Anwar bukan seorang homoseksual mengapakah dia tidak mengemukakan bukti-bukti
yang konkrit kepada Majlis Tertinggi bahawa dia tidak pernah melakukan seks
luar tabii? Sampai sekarang dia tidak berani bersumpah menjunjung Al-Quran yang
dijalankan dengan penuh tertib di masjid untuk menjelaskan kepada masyarakat
umum bahawa dia, Anwar, bukan seorang homoseksual. Sekiranya dia tidak
berbohong maka Allah tunjukkan kekuasaanNya dan menghukumnya. Tapi dia tidak
berani bersumpah secara serius dan tertib. Dia hanya banyak bercakap, banyak
kelentong tapi takut bersumpah kerana dia sesungguhnya seorang homoseksual tua
tetapi masih bertenaga.
Mahathir
tidak mahu bertindak kuku besi mencantas Anwar tanpa izin Majlis Tertinggi. Dia
mahu Anwar membela dirinya di hadapan mereka. Dia boleh bercakap tanpa had. Dia
boleh bawa apa saja bukti untuk mempertahankan ”kesucian”nya sebagai pemimpin
Islam, timbalan presiden UMNO. Anwar tidak boleh membohongi rakyat bahawa dia
tidak diberi kesempatan untuk membela dirinya di hadapan Majlis Tertinggi.
Lebih tiga jam dia berpidato, menumbuk meja, membeliakkan mata, menyembur air
lior. Tapi sayang dia tidak dapatmenunjuk bukti bahawa dia bukan seorang
homoseksual. Hanya mahkamah yang akan menentukan nasibnya dan Anwar sendiri
nampaknya amat takut hendak menghadapi perbicaraan di mahkamah. Lalu dia menuduh
mahkamah berat sebelah dan tidak ada keadilan di bumi Malaysia!
Kita ingin
bertanya kepada Anwar sewaktu anda menjadi jawatankuasa tatatertib parti apakah
anda memberi peluang kepada ahli-ahli yang melanggar disiplin parti membela
diri mereka di hadapan jawatankuasa disiplin? Salah seorang mangsa dari hukuman
anda sebagai pengerusi jawatankuasa disiplin parti ialah Tajuddin A. Rahman
yang mendapat gelaran yang tidak dipinta sebagai the six million dollar man.
Dia dituduh mengamalkan politik wang Jawatankuasa disiplin yang dipimpin anda
terus menjatuhkan hukuman, dipecat dari UMNO tanpa memanggil Tajuddin membela
dirinya di hadapan jawatankuasa anda. Dia hanya tahu dipecat melalui berita
dalam akhbar! Apakah ini yang dikatakan sebagai keadilan menurut kacamata anda
yang mengangkat diri sebagai pejuang Islam?
Bila
semangat 46 dibubarkan dan semua ahli terima menjadi ahli UMNO semula anda
dikatakn salah seorang pemimpin yang cuba menyekat kemasukan bekas ahli-ahli
Semangat 46 di berbagai bahagian dan cawangan melalui juak-juak anda yang
memimpin bahagian dan juga cawangan-cawangan tertentu. Kebanyakan pemimpin
bekas Semangat 46 terdiri dari tokoh-tokoh veteran yang berpengalaman baik
dalam kabinet mahu pun di peringkat bahagian. Dikatakan Anwar tidak senang dengan
kemasukan ahli-ahli bekas Semangat 46 oleh kerana dia bimbang ketokohan Tengku
Razaleigh Hamzah boleh menggerhanai peluangnya untuk menjadi bakal perdana
menteri.
Majlis
Tertinggi UMNO telah pun membuat keputusan menerima semua bekas ahli Semangat
46 ke dalam UMNO. Mahathir sendiri telah bersetuju menerima semua ahli bekas
Semangat 46 sendiri bersetuju membubarkan parti mereka tanpa meminta apa-apa
jawatan dalam kabinet. Demi perpaduan UMNO Ku Li sanggup menjadi ahli biasa
dalam UMNO untuk menunjukkan keikhlasannya.
Mengapakah
anda cuba menghalang kemasukan bekas ahli-ahli Semangat 46 dengan berbagai
cara? Di manakah letaknya keadilan dan kejujuran dalam perjuangan yang anda
selalu laung-laungkan dalam ucapan-ucapan anda itu?
Demikianlah
apabila Mahathir memecat Anwar kerana hobi homoseksual maka nampaknya kumpulan
gay Philipina menjadi pembela Anwar dan mengecam tindakan Mahathir. Antara
lain, kata kumpulan gay Philipina, ”Kami gay Philipina dan lain-lain
warganegara dengan hangatnya salut semua polongan demokratik di Malaysia yang
menolak dan mengecam ketidakadilan pihak berkuasa menjadikan masyarakat gay dan
witch hunting sebagai helah untuk menghapuskan hak politik bukan saja Anwar
Ibrahim tetapi juga semua gay, lesbians, bisexual dan mereka yang menukar
jantina.” (Star, 28 Sept, 1998, hal. 3).
sumber
sumber
No comments:
Post a Comment