Ketika Anwar
Menteri Kewangan, Bank Negara rugi, Siapa pula kaki judi ?
Ahmad Lutfi
Othman
Nota :
Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam bukunya "PAS zaman Anwar
: Memo untuk bakal PM", Penerbitan Pemuda, 1993. Sekarang beliau Ketua
Pengarang Harakah. Rencana asal bertajuk " Kerugian Bank Negara : Siapa
pula kaki judi ?"
Sebaik
sahaja mengetahui Bank Negara mengalami kerugian RM 9,300 juta akibat urusniaga
pertukaran asing, pada pertengahan April 1993, saya, ketika itu sebagai
Pengarang Kumpulan Harakah bergegas meminta wartawan kanan, Rashidi Hassan
menghubungi Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah bagi mendapatkan
komen lanjut. Bagi saya kerugian begitu besar tidak boleh didiamkan. Rakyat
perlu mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Dan tentunya sebagai bekas
Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh boleh memberi penjelasan dalam masalah yang
agak sukar difahami oleh rakyat biasa.
Sebenarnya
pihak media tempatan tidak langsung menyentuh kerugian ini selama hampir dua
minggu selepas Laporan Bank Negara dikeluarkan. Hanya selepas media asing
melaporkannya maka barulah terdapat berita mengenainya di akhbar tempatan.
Itupun sekadar memaklumkan dan tidak menjelaskan kenapa berlaku peristiwa yang
sungguh merugikan rakyat itu. Difahamkan akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris
diarahkan supaya mengecilkan perkara ini. Terlalu banyak pekung yang hendak
ditutup akhirnya bau busuk dapat dihidu di segenap ceruk.
Seperti
biasa Rashidi akan menghubungi terus Ketua Penerangan S46, Ahmad Shabery Cheek,
yang sentiasa berada di rumah Tengku Razaleigh.
“Beritahu
Shabery kenyataan Ku Li itu kita akan jadikan lead Harakah”, pesan saya secara
bergurau kepada Rashidi.
Namun
begitu, setelah menyemak sepintas lalu berita-berita yang ada untuk keluaran
Isnin, 19 April 1993, tidak ada berita yang sesuai. Berita dari Kelantan agak
menarik, tentang kenyataan Tuan Guru Menteri Besar yang menyifatkan usaha UMNO
menurunkan Sultan Ismail Petra dari takhta Kesultanan Kelantan dan digantikan
dengan Tengku Ibrahim Petra adalah satu rancangan untuk menzahirkan raja
politik di negara ini. Bagi muka belakang, saya pilih analisis perkembangan
terbaru UMNO, kemungkinan Ghafar Baba tarik diri dalam perebutan jawatan
Timbalan Presiden UMNO, dengan memberi laluan kepada Musa Hitam.
“Lutfi.....Shabery
kata, okey. Dia sedang bincang dengan Ku Li dan akan faxkan ke sini pada
sebelah petang nanti. Muka depannya?” Rashidi nampaknya gembira.
Saya sendiri
gembira bila mendapat tahu Tengku Razaleigh sudi memberikan komen. Peranan
Harakah menjadi lebih penting dalam mengetengahkan isu ini kerana semua akhbar
utama menggelapkannya, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Jumlah
RM9,300 juta bukan nilai yang boleh dipandang ringan!
Tengku
Razaleigh, melalui kenyataannya kepada Harakah, berkata kerugian yang
ditanggung oleh kerajaan adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kerugian
terkumpul yang melibatkan skandal BMF, Manimco dan koperasi pengambil deposit :
“Bahkan jumlah RM9.3 bilion itu hampir sama dengan seluruh anggaran perbelanjaan
pembangunan negara bagi tahun 1993. malah negara tidak pernah menanggung
kerugian sebanyak itu.”
“Kalau di
negara-negara lain, menteri yang bermaruah sudah meletakkan jawatannya kerana
kerugian,” tegas Tengku Razaleigh.
Beliau kesal
dengan sikap Menteri Kewangan yang berdiam diri dan tidak mahu menjelaskan
pokok pangkal sebenar skandal ini kepada rakyat. Saya memilih tajuk “Anwar
Perlu Ambil Tanggungjawab” untuk lead Harakah minggu itu.
Untuk
keluaran Harakah berikutnya, saya sendiri menghubungi Shabery bagi mendapatkan
komen Tengku Razaleigh selanjutnya. Ini berikutan kenyataan balas Gabenor Bank
Negara yang merumuskan :
“Sebenarnya
lebih kukuh nilai ringgit, lebih banyak Bank Negara menanggung kerugian kerana
rizab kita dalam ringgit akan jatuh.” Tan Sri Jaffar Hussien juga berkata,
kerugian RM9.3 bilion itu adalah dari segi nilaian atas kertas dan bukannya
kerugian mata wang nyata. Kerugian itu, katanya, berpunca dari kedudukan nilai
ringgit, kos pengendalian inflasi yang tinggi dan pergerakan turun naik kadar
pertukaran mata wang yang meluas.
Ketika
dihubungi Shabery memberitahu Tengku Razaleigh agak sibuk hari itu, ada
mesyuarat penting dan menziarahi jenazah. Saya meminta Shabery sendiri memberi
komentar.
“Nak jadikan
tajuk muka depan lagi?” Saya tahu Shabery sebenarnya bergurau bila bertanya
begitu.
“Kalau
kenyataan Tengku, insya-Allah saya akan usahakan untuk tajuk utama. Tapi kalau
you yang buat komen, kita akan pertimbangkan,” balas saya, juga bergurau.
Bagaimanapun yang lebih penting bukan lagi tokoh yang memberi komen tetapi
kekuatan hujah itu sendiri.
Masyarakat
pembaca harus didedahkan dengan sejelas-jelasnya melalui Harakah maklumlah
Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah di bawah takluk Menteri Kewangan.
Kenyataan
Shabery dengan tajuk “Wang Rakyat Diperjudikan” saya pilih tajuk utama Harakah,
23 April.
Shabery
mengakui bahawa kenaikan nilai ringgit boleh menjejaskan jumlah rizab negara
tetapi sukar diterima akal kalau hanya beberapa peratus kenaikan ringgit
berbanding dolar Amerika boleh mengeringkan langsung rizab negara. Serentak
dengan itu, Shabery mengingatkan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim supaya “jangan
berselindung di sebalik istilah-istilah ekonomi yang mengelirukan.”
“Anwar mesti
mengakui punca terbesar kerugian adalah akibat permainan spekulasi mata wang
asing yang gagal. Jelas, kerugian ini bukanlah atas kertas sahaja tetapi
kerugian nyata yang ditanggung oleh rakyat jelata. Umat Islam terperanjat
bagaimana Menteri Kewangan yang banyak bercakap tentang Islam boleh merestui
permainan spekulasi seperti ini. Sedangkan secara jelas ia memperjudikan wang
rakyat sebegitu banyak. Bahkan kami hairan kenapa beliau boleh merestui
pendekatan Bank Negara yang amat merbahaya ini dan tidak mahu berterus-terang
apabila ia menemui kegagalan,” tegas Shabery.
Shabery juga
mempersoalkan alasan Gabenor Bank Negara : “Apakah semakin kukuh ekonomi
bermakna semakin kering rizab kita. Kenapa pula Singapura dan Brunei yang
berkembang ekonominya dan kukuh mata wangnya tidak mengalami kerugian teruk
sepertimana yang dialami oleh Bank Negara. Apakah Kementerian Kewangan Malaysia
ingin memperkenalkan teori baru ekonomi, iaitu semakin berkembang ekonomi
bertambah susutlah rizab, dan tidak mustahil ia terus bankrap. Apakah ini juga
bermakna semasa ringgit kita jatuh dahulu, rizab kita melambung naik lebih
seratus peratus?”
Untuk
Harakah berikutnya, ramai teman-teman bertanya : “Minggu ini nak lanyak Anwar
lagi?
Cukuplah...Nanti
kerana isu itu pula Anwar boleh jatuh.
Masalahnya
bukan pasal hendak menjatuhkan Anwar dan menaikkan orang lain. Ini soal
kebenaran. Kalau Anwar berada di pihak yang benar, Anwar tidak perlu melatah
kepada akhbar sekecil Harakah. Di bawah Anwar sudah tersedia akhbar-akhbar
besar, begitu juga TV3, apa yang ditakutkannya. Kalau Harakah buat kesilapan,
Anwar boleh tegur.
Bagi
keluaran Harakah 26 April, kami memilih isu kerugian Bank Negara juga. Saya
memberitahu teman-teman di Harakah : “Kalau ada isu besar yang kita tangani,
kita mesti buat sungguh-sungguh, sehingga pihak bertanggungjawab memberi
reaksi. Jangan asal tangkap muat sahaja.”
Kebetulan
pula Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr. Syed Hussin Ali memberi reaksi yang
sama dalam isu ini. Tanpa ragu-ragu lagi ia dipilih untuk menghiasi tajuk depan
Harakah iaitu “Bank Negara Kalah Judi”, dengan tajuk kecilnya “PM didesak
lucutkan jawatan Menteri Kewangan”.
Saya sendiri
menghubungi Dr. Syed Hussin bagi mendapatkan maklumat lanjut berdasarkan
kenyataan yang difaxkan ke Harakah.
Agak lama
juga Dr. Syed Hussin menjelaskan, melalui telefon, dan hati saya berdetik :
“Patutlah ramai orang tidak faham isu ini.”
Menurut Dr.
Syed Hussin, Bank Negara seharusnya prudent (berhati-hati) dalam setiap
kegiatannya dan semestinya sama sekali tidak terbabit dengan perjudian simpanan
asing yang boleh membawa risiko kerugian yang cukup besar. Beliau menyamakan
istilah spekulasi dengan perjudian.
Tindakan
Bank Negara, menurutnya, akan menjejaskan kestabilan kewangan dalam jangka
panjang kerana wang simpanan luar adalah sandaran atau jaminan kepada wang
ringgit yang beredar dalam negara. Jika nilai sandaran itu jatuh, ia boleh
menjejaskan kestabilan ringgit.
Dr. Syed
Hussin berpendapat Bank Negara, yang di bawah kawalan Kementeriab Kewangan,
sepatutnya mengawasi semua kegiatan bank dalam negeri supaya tidak terlibat
dalam spekulasi / perjudian secara besar-besaran. Malangnya Bank Negara yang
bertindak sebagai pengawas itu sendiri terlibat dalam spekulasi / perjudian :
“Jadi,
siapakah pula yang akan mengawasi pengawas. Kami harapkan pagar yang
menyelamatkan padi, rupanya pagar yang makan padi. Aneh sekali bagaimana Anwar
yang dahulunya terkenal sebagai pejuang Islam melibatkan dirinya dengan judi
besar-besaran seumpama ini”.
“Kami
mempunyai maklumat bahawa pada tahun 1991 Bank Negara menugaskan seorang
pegawainya menjalankan kegiatan spekulasi dengan menggunakan simpanan luar.
Khabarnya keuntungan kira-kira satu bilion diperolehi. Digalakkan oleh kejayaan
ini, pegawai tersebut diberikan kebebasan untuk meneruskan kegiatan judi ini
dalam tahun 1992. Kami percaya banyak simpanan luar digunakan untuk membeli
wang paun. Dalam tahun 1992 nilai paun turun dengan teruk sekali. Ini sebabnya
kerugian yang kita tanggung begitu besar. Sekiranya yang dibeli ialah wang
Amerika, kerugian mungkin tidak sebesar itu, sebab dalam tahun 1992 nilai wang
Amerika turun kira-kira lima peratus saja, berbanding wang Malaysia. Kami
mendapat tahu bahawa akibat kerugian ini pegawai berkenaan telah dipindahkan
jawatan serta tugasnya. Ini tidak memadai. Sepatutnya kerajaan hendaklah
mengambil tanggungjawab penuh dan meminta supaya Menteri Kewangan meletakkan
jawatan, sekiranya beliau sendiri tidak hendak berbuat demikian secara
sukarela. Bukankah Menteri Kewangan memperlihatkan kecuaian dan ketidakcekapannya?”
tegas Dr. Syed Hussin.
Beliau
seterusnya berkata jumlah RM 9.3 bilion yang lesap itu bukan kecil. Untuk
memahami betapa besarnya, boleh kita bayangkan apa yang boleh kita buat
dengannya. Misalnya, kita boleh mendirikan 18 buah universiti dengan harga
RM500 juta sebuah, atau 45 buah hospital berharga RM200 juta sebuah, atau 180
buah sekolah berharga RM50 juta sebuah ataupun 372,000 buah rumah berharga
RM25,000 sebuah. Sekiranya hendak digunakan untuk membayar bonus kepada 800,000
kakitangan kerajaan, sebagaimana yang dituntut oleh CEUPACS, maka tiap-tiap
seorang pekerja boleh diberikan RM12,000.
Bayangan
yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang menganggarkan kerugian
Bank Negara boleh mencapai RM16,000 juta. Ketika berceramah di Kuching, pada 29
Mei 1993 lebih menarik :
“Jika
seseorang itu memenangi loteri yang menawarkan hadiah RM2 juta sehari, untuk
mendapat wang sebanyak RM16 bilion, dia perlu menang loteri tersebut setiap
hari selama 8,000 hari berturut-turut ataupun selama 22 tahun!”
Mengenai
dakwaan Gabenor Bank Negara bahawa kerugian itu Cuma atas kertas sahaja, Dr.
Syed Hussin berkata, “entahlah, kalau-kalau kerana wang selalunya dibuat dari
kertas.”
Di Parlimen,
Selasa, 27 April 1993, Kit Siang menegaskan : “Selaku Menteri Kewangan, Anwar
Ibrahim mesti menerima tanggungjawab persendirian sepenuhnya kerana kerugian
pertukaran asing Bank Negara ini. Rakyat berhak mengetahui sebab dan saiz
berbagai kerugian pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara, berkenaan
jumlah kerugian yang disebabkan oleh pembendungan inflasi dalam menyerap
liquiditi, penilaian semula pegangan mata wang asing dan kenaikan nilai ringgit
dan kerugian hasil daripada perniagaan dan spekulasi mata wang asing.”
Walaupun
Anwar menafikan dakwaan bahawa Bank Negara telah terlibat dalam aktiviti
spekulasi dalam pasaran pertukaran asing kenyataan itu ditolak oleh Kit Siang.
Pada 1989, dilaporkan Bank Negara telahpun dikritik oleh pegawai kewangan Barat
kerana spekulasi dalam mata wang yen dan dollar Amerika pada masa Kumpulan
Tujuh negara industri cuba menstabilkan pasaran mata wang.
Pada April
1991, Reuter menyifatkan Bank Negara sebagai “suatu kuasa dominasi di kancah
pertukaran asing untuk beberapa tahun” dan malah menuduh beberapa pengendali
pertukaran asing sebagai “penjahat pasaran”.
Laporan
tersebut memetik kenyataan peniaga di London sebagai berkata, Bank Negara”
selama ini adalah pemain pasaran yang terbesar, meniagakan jumlah pertukaran
asig yang jauh melebihi mana-mana pemain dalam pasaran”.
Mengenai
dakwaan Tan Sri Jaffar Hussien bahawa semua kerugian pertukaran asing Bank
Negara hanyalah “kerugian di atas kertas”, Kit Siang mempersoalkan “Adakah
beliau berkata semua keuntungan pertukaran asing yang diperolehi oleh Bank
Negara pada Jun 1985 adalah juga “kerugian di atas kertas” sahaja?”
Seterusnya
Kit Siang berhujah : “Jika Bank Negara telah mengalami kerugian di antara RM6.9
bilion dan RM9.7 bilion kerana aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran
asing, maka rakyat Malaysia berhak menuntut penjelasan yang sepenuhnya, kerana
nyata sekali Bank Negara telah melampaui bidang kuasanya sebagai bank pusat
dalam kegagalan bertindak dengan cermat sebagaimana yang dikehendaki.”
Bank Negara
mengalami kerugian pertukaran asing yang besar semasa krisis mata wang dalam
mekanisme kadar pertukaran Eropah susulan penolakan Masstricht Treaty on
European Monetary Union dalam pungutan suara Denmark pada 2 Jun 1992, yang
memaksa penggantungan pound sterling dari Exchange Rate Mechanism (ERM) of the
European Monetary System (EMS).
Akibatnya
ringgit mencatatkan kenaikan nilai yang paling besar berbanding dengan pound
sterling, iaitu sebanyak 29.1 peratus. Adalah dilaporkan bahawa Bank of England
telah membelanjakan berbilion-bilion paun untuk mempertahankan paun British
pada masa itu.
“Yang ini
sememangnya boleh difahami tetapi mengapa Bank Negara juga mahu selamatkan
pound sterling?” tegas Kit Siang, disambut tepukan bergemuruh ahli-ahli
Parlimen.
“Mengapa
Bank Negara juga menukar berbilion-bilion atau berpuluh-puluh bilion ringgit
kepada pound sterling untuk membantu mempertahankan pound British? Adakah
kerajaan Malaysia sudah mengubah sikapnya dari dasar “Buy British Last” kepada
Defend British First” – “Safe British First” dengan ringgit-ringgit wang rakyat
Malaysia. Saya tidak percaya bahawa serbuan Bank Negara memberi pound yang
merugikan tersebut semasa krisis mata wang sterling adalah kerana Perdana
Menteri kita mahu selamatkan John Mayor – Mahathir to rescue John Mayor – dan
paun British. Tetapi kerana Bank Negara berharap mengaut keuntungan yang besar
dengan mengambil pendirian membeli untuk jangka panjang mengharapkan pound
pulih kedudukannya dengan sokongan kerajaan British, “ hujah Kit Siang.
Tambahnya
lagi, dengan tiadanya penjelasan yang memuaskan dan yang dapat diterima oleh
kerugian pertukaran asing Bank Negara, keyakinan awam ke atas Bank Negara dan
kerajaan akan terjejas.
” Yang
Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan sokongan beliau kepada prinsip
akauntabiliti, pertanggungjawapan dan transparensi pegawai-pegawai sektor awam.
Dan ini adalah satu kes ujian sama ada beliau benar-benar berkepercayaan dalam
prinsip-prinsp ini, dengan meminta kabinet menubuhkan suatu Suruhanjaya
Siasatan Diraja untuk menyiasat kerugian pertukaran asing Bank Negara, “tegas
Kit Siang.
Dalam
jawapan balasnya, Anwar mempersoalkan jumlah kerugian yang diberikan oleh Kit
Siang, Anwar mendakwa Kit Siang mengira dua kali. Mengenai pertanyaan Kit Siang
bahawa kenapa bila rugi dikatakan rugi atas kertas, tetapi bila untung, memang
sebenarnya untung, Anwar berkata :
“Bila
untung, untung itu dipulihkan sebagai cash dipindahkan ke dalam negara, dibayar
kepada kerajaan. Sebab itu untung ini in cash terms. Rugi yang disebut oleh
Gabenor Bank Negara sebagai paper loss itu, rugi masih atas kemerosotan nilai
yang masih dirizab.”
Anwar
seterusnya memberi contoh : “Umpamanya kalau Ahli Yang Berhormat dari Tanjong
ada US$1 juta, mungkin lebih, di simpan di New York, rugi itu in ringgit terms,
sebab nilai ringgit bertambah. Jadi, US$1 juta masih kekal US$1 juta, tetapi
apabila dari segi ringgit sudah merosot lapan peratus atau sembilan peratus,
tengok kepada tempohnya. Ini basic economic, saya hendak beri kuliah sedikit. “
Dalam
jawapannya itu, Anwar sempat juga menyerang Harakah : “Saya tahu, Harakah pun
banyak isu, saya sekarang popular kerana front page headline, every week, every
issue.
Bagaimanapun
jawapan panjang lebar Anwar itu memerangkap dirinya. Esoknya, tepat jam 3.38
petang Lim Kit Siang – setelah merakamkan penghargaan kepada jawapan Anwar –
berkata :
“Saya juga
mesti mencatatkan kehampaan saya yang amat sangat dengan kenyataan beliau
(Anwar) yang bukan merupakan jawapan kepada ucapan saya. Kita boleh sebut ia sebagai
non-reply..... Yang Berhormat Menteri Kewangan bersungguh-sungguh mengelakkan
diri dari memberi jawapan sehingga habis tempoh 30 minit yang diperuntukkan
untuk beliau. Kenyataan itu.....hanya memperkukuhkan kesangsian bahawa kerajaan
mempunyai banyak perkara yang terpaksa disembunyikan atau dengan izin swept
under the carpet.....Hakikat yang sebenarnya ialah beliau (Anwar) telah
membangkitkan lebih banyak soalan daripada menjawab.”
Selanjutnya
Kit Siang membidas gaya Anwar yang tidak bersedia membaca teks ucapan yang
disediakan supaya dapat gambaran beliau membuat pembentangan dengan spontan
bagi mempamerkan kehebatannya dalam perkara tersebut.
“Tetapi
malang sekali, terdapat kesilapan-kesilapan dalam perhubungan dengan pihak dan
akibatnya ialah, pemberitaan yang panjang lebar kepada ucapan Yang Berhormat
Menteri di Parlimen kelmarin sebagaimana yang tersiar dalam sebuah akhbar
tempatan – yang ada disebut berkait rapat dengan beliau – amat berbeza dengan
ucapan spontan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan yang
disampaikan di Dewan Rakyat,” ujar Kit Siang.
“Saya tidak
ada bantahan jika Yang Berhormat Menteri ingin memberi ucapan spontan yang
telah disediakan terlebih dahulu tetapi dengan syarat beliau dapat membuat
pengubahsuaian berdasarkan apa yang telah saya katakan sebelum beliau berucap.
Malang sekali Yang Berhormat Menteri tidak dapat berbuat demikian dan inilah
sebabnya beliau terpaksa membuat kenyataan dan andaian dan tuduhan yang tidak
akan beliau lakukan sekiranya beliau mengikuti dan memahami ucapan saya
terlebih dahulu. Misalnya, dalam ucapan Yang Berhormat Menteri, beliau mengejek
saya kerana meminta butir-butir terperinci rizab Bank Negara dalam berbagai
mata wang asing dengan mengatakan bahawa ia bukanlah “skim kutu kampung” untuk
diketahui umum. Sebenarnya saya tidak pernah meminta butir-butir terperinci
komposisi rizab asing Bank Negara. Apa yang saya minta ialah butir-butir
terperinci kerugian pertukaran asing. Saya berharap Yang Berhormat Menteri
faham bahawa terdapat perbezaan di antara dua jenis butiran ini, “ tambah Kit
Siang.
Mengenai
tuduhan Anwar bahawa beliau menghitung dua kali mengenai jumlah kerugian
lain-lain rizab Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion, Kit Siang berkata :
“Saya tidak
dapat memahami logik Yang Berhormat Menteri Kewangan dan saya akan berasa amat
terkejut jika Gabenor Bank Negara masih menegaskan bahawa lain-lain rizab pada
tahun lalu ialah RM9.3 bilion dan bukan RM10.1 bilion. “
Seterusnya
Kit Siang merumuskan : “Malah seorang murid sekolah pun dapat memerhati bahawa
lain-lain rizab Bank Negara telah kerugian RM10.1 bilion.”
Dalam hal
ini Dr. Jomo juga bersetuju dengan hujah Kit Siang. Dalam huraiannya kepada
Harakah Dr Jomo mencatatkan :
“Perhatian
umum di negara kita setakat ini lebih tertumpu kepada pengurangan sebanyak
RM9.3 bilion dalam lain-lain rizab Bank Negara antara akhir tahun 1991 dan
akhir tahun 1992. Namun, kalau diambil kira jumlah RM800 juta yang dipindahkan
ke dalam lain-lain rizab sebenarnya berkurangan sebanyak RM10.1 bilion dalam
tahun 1992. Bank Negara juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion lagi
untuk tanggungan-tanggungan kontijen – maksudnya, kerugian-kerugian yang
dijangka berlaku akibat tindakan pada tahun 1992, sungguhpun masih belum
berlaku. Misalnya, sekiranya bank tersebut membeli mata wang tertentu untuk
masa depan dan berlakunya penurunan besar nilai mata wang tersebut berbanding
ringgit. Oleh itu tidaklah salah kalau dikatakan kerugian sebenar ialaj RM12.8
bilion pada tahun 1992, sungguhpun setengah daripada kerugian itu masih belum
pasti, ataupun apa yang dikatakan kerugian atas kertas.”
Dr. Jomo
membuat beberapa anggaran tentang jenis kerugian yang ditanggung, iaitu selain
spekulasi tukaran asing, antaranya ialah kos menyerap dan akibat kenaikan nilai
ringgit. Untuk membendung inflasi, Bank Negara telah menyerap kecairan yang
berlebihan.
Kecairan
berlebihan ini muncul terutamanya kerana kemasukan modal jangka pendek dari
luar negeri akibat kadar faedah Malaysia yang agak tinggi, terutamanya pada
awal 1992. Pada 1992 saja, Bank Negara telah menyerap RM17.1 bilion daripada
sistem bank dan RM6.7 bilion deposit-deposit lain. Kalau dijumlahkan dengan
deposit-deposit sebelumnya, pada akhir 1992, Bank Negara mempunyai deposit
bernilai RM40.6 bilion.
Menurut keterangan
Bank Negara, deposit ini nampaknya dismpan oleh Bank Negara di bank-bank
Amerika Syarikat pada kadar faedah 2.5 peratus setahun sedangkan ia perlu
membayar kira-kira lapan peratus setahun kepada bank-bank dan lain-lain di
Malaysia dan dengan demikian, menanggung kos perbezaannya sebanyak 5.5 peratus.
Lain-lain dokumen Bank Negara menunjukkan kebanyakan daripada langkah menyerap
itu hanya berlaku mulai suku kedua tahun 1992 yang bererti, deposit-deposit
yang dipegang oleh Bank Negara tidak pun sampai setahun penuh.
Lagi pula,
sesiapa biasa dengan pasaran tukaran asing akan mendapati bahawa margin
sebanyak 5.5 peratus itu pada ketika itu amat besar. Sungguhpun dengan andaian
maksimum demikian, kos maksimum seluruh operasi itu tidak mungkin melebihi
RM2.2 bilion (iaitu RM0.055 x 40.6 bilion).
Dr. Jomo
menjelaskan : “Seperti telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan dan juga Gabenor
Bank Negara, pengukuhan nilai ringgit pada 1992 mengakibatkan penurunan nilai
rizab bank bila dihitung dalam wang ringgit. Laporan itu juga memberitahu
ringgit kukuh sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan longgokan komposit mata
wang asing, yang mencerminkan rakan dagang lama Malaysia di peringkat
antarabangsa. Kerugian yang berlaku ke atas nilai deposit oleh kerana kenaikan
nilai ringgit pada 1992 sepatutnya tidak lebih daripada RM2.3 (iaitu RM0.056 x
40.6 bilion), andaikata semua deposit itu telah ditukar menjadi tukaran asing
(kemungkinan besar tidak semuanya ditukar). Ini bermakna langkah menyerap dan
kenaikan nilai ringgit hanya boleh menyebabkan kerugian kurang dari RM4.5
bilion, bererti sejumlah RM8.3 bilion lagi masih belum dipertanggungjawabkan.”
Kit Siang
juga menolak hujah Anwar bahawa oleh kerana kedudukan ekonomi negara kukuh,
maka kita tidak harus khuatir akan kerugian pertukaran asing Bank Negara :
“Sekarang
ini pasaran saham amat bullish dan meningkat dengan banyak kaunter yang
berkaitan dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengepalai senarai saham yang amat
aktif. Dan terdapat desas-desus bahawa pasaran saham yang hangat dan meningkat
ini adalah berkaitan dengan tabung kempen dana war chess lebih kurang RM200
juta seorang pemimpin UMNO untuk pemilihan parti. Dan tentulah ia mencatat
rekod. Tetapi adakah ini bererti kita harus menutup mata kita terhadap apa yang
tidak sihat dan salah dalam pasaran saham.”
Mengulas
suatu jawapan yang diberikan oleh Anwar, Kit Siang berkata :
“Imaginasi
yang karut ini tidak boleh diterima langsung disebabkan ia adalah serupa dengan
membandingkan seekor ayam dengan seekor itik. Yang Berhormat Menteri tidak
memahami bahawa rizab asing adalah disebabkan oleh imbangan bayaran yang
positif akibat pertumbuhan ekonomi negara sedangkan kenaikan atau kejatuhan
lain-lain rizab adalahbergantung kepada prestasi Bank Negara. Kedua-dua ini
tidak ada kaitan langsung.”
Ketua
pembangkang itu kemudiannya menasihatkan Anwar supaya mendapat pendidikan dalam
bidang ekonomi antarabangsa daripada Setiausaha Parlimen ataupun Timbalan
Menteri :
“Tetapi
Setiausaha Parlimen (Kementerian Kewangan) yang merupakan seorang ahli ekonomi
yang terlatih dan rujuklah kepada rencananya dalam Berita Harian, 24 April
1993. Dalam rencana ini, beliau telah menghiraukan dengan tepatnya bahawa
tambahan dalam rizab bergantung kepada sama ada kita mempunyai pertimbangan
bayaran yang positif yang bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.”
Anwar yang
tidak pernah terlatih dalam bidang ekonomi tentunya mendapat pengajaran yang
bermakna dalam isu, apatah lagi bila Kit Siang menegaskan :
“Adakah amat
mengejutkan bahawa Yang Berhormat Menteri Kewangan nampaknya tidak memahami ekonomi
antarabangsa yang asas ini sehingga saya bimbang bahawa Yang Berhormat Menteri
sedang teraba-raba dalam kegelapan dan Malaysia memang mujur kerana tiada
bencana kewangan besar yang berlaku sehingga kini. Yang Berhormat Menteri
sepatutnya berhenti daripada mengelirukan orang ramai dengan mengatakan
kerugian dalam rizab-rizab lain sebanyak RM10.1 bilion oleh Bank Negara tidak
penting disebabkan ia boleh dioffset oleh lebihan sebanyak RM16.5 bilion dalam
rizab asing"
Bukan sahaja
ini adalah salah dalam ertikata ekonomi asas tetapi perbandingan secara
selektif adalah amat salah dalam ertikata perakaunan sehingga mana-mana pelajar
perakaunan tidak membuat kesilapan sedemikian rupa. Tidak hairanlah mengapa
Gabenor Bank Negara dan juga seorang chartered accountant kelihatan begitu
muram apabila Yang Berhormat Menteri membuat perbandingan ini dalam Parlimen
semalam. Namun ini mencerminkan dengan buruknya penasihat-penasihat ekonomi dan
perakaunannya sehingga tidak dapat mengajar dan membuatkannya (Anwar) memahami
asas-asas dengan baik dan jelas.
“Ingin saya
mencadangkan, demi kepentingan negara, agar beliau menukar penasihat-penasihat
ekonomi dan perakaunannya. Saya juga berharap Yang Berhormat Menteri akan
memberi penjelasan awam yang penuh dengan merujuk kepada semua perkara teknikal
yang dibangkitkan secara bertanggungjawab dan janganlah ghairah berpolemik
politik, “ tegas Kit Siang menutup ucapannya mengenai kerugian Bank Negara.
Dalam ucapan
penggulungannya, pada 10 Mei 1993, Anwar mengulangi tuduhannya kepada
pembangkang kerana terus mengira dua kali. Katanya, pelbagai pihak cuba membuat
serkap jarang untuk menambah kekeliruan. Beliau tetap mempertahankan
kemerosotan lain-lain rizab bernilai RM9.3 bilion dan bukannya RM10.1 bilion.
Seterusnya Anwar menyifatkan kemerosotan itu berpunca dari gabungan beberapa
faktor, antaranya ialah pengukuhan ringgit, kos mengawal inflasi turun naik
mata wang antarabangsa dan lain-lain.
“Kita harus
sedar bahawa kenaikan nilai ringgit, antara faktor yang menyebabkan kemerosotan
nilai lain-lain rizab, telah membawa manfaat kepada rakyat dan negara amnya,
“tegas Anwar.
Dari
jawapannya itu, Anwar seolah-olah menegaskan Bank Negara akan terus
berspekulasi dengan hujahnya :
“Ada yang
berpendapat Bank Negara perlu mengambil sikap konservatif. Pandangan ini gagal
melihat realiti sebenar. Bank Negara dan mana-mana bank pusat tidak perlu
mengambil risiko untuk berdagang jika dasar pasif atau berdiam diri tidak
mempunyai risikonya. Realitinya ialah berdagang dan tidak berdagang adalah dua
pilihan yang membawa risiko masing-masing. Dengan berdagang, risikonya ialah
ramalan dan unjuran yang dibuat dalam gerakan mata wang tidak tepat, justeru
itu mengalami kerugian. Tetapi tidak berdagang juga bermakna menghadapi risiko
kerugian akibat turun naik nilai antarabangsa mata wang dalam pegangan.”
Menyedari
sebahagian jawapan Anwar itu ditujukan kepada tulisan Dr. Jomo, yang disiarkan
dalam Harakah 10 Mei 1993, saya segera menghubungi Dr. Jomo, melalui telefon.
Dr. Jomo menghabiskan masa lebih satu jam untuk memberi penjelasan dan beberapa
contoh bagi memudhkan saya untuk memahaminya.
“Dasar Bank
Negara, seperti yang ditegaskan oleh Anwar, salah dari segi Islam. Kita tidak
dibenarkan berspekulasi. Kita tidak boleh membeli buah semasa pohon baru
berbunga. Apa hujah Anwar membolehkan kita berspekulasi sebegitu rupa? Amat
janggal apabila Bank Negara mengambil sikap untuk lebih berspekulasi dalam
tukaran asing lebih daripada bank-bank perdagangan lain, “jelas Dr. Jomo.
Beliau
mengulangi hujah yang pernah dikemukakan oleh Dr. Syed Hussin Ali : “Oleh
kerana bank pusat pada pokoknya ialah mengawas, soalan yang timbul ialah
siapakah yang akan mengawasi pengawas ini bila polisi-polisi yang tidak bijak
dibiarkan berlaku"
Yang lebih
dikesali oleh Dr. Jomo ialah jawapan Anwar itu menggambarkan tidak bersedia
untuk mengaku kesilapan yang telah dilakukan, sebaliknya bertegas untuk
meneruskan dasar yang silap itu. Mungkin ia terpaksa dilakukan untuk mendapatkan
semula kerugian yang dialami tetapi yang pasti, menurut Dr. Jomo, ia tidak ada
jaminan.
“Tapi harus
diingat bahawa kita mungkin juga akan ditimpa kerugian yang lebih besar lagi,”
tegasnya.
Walaupun Dr.
Jomo mengakui bahawa dasar berspekulasi sebelum tahun 1992 sedikit sebanyak
membawa keuntungan kepada Bank Negara tetapi “kerugian ini telah menghapuskan
semua keuntungan itu kerana kerugian ini jauh lebih besar daripada keuntungan
sebelumnya”.
Dalam
kenyataan selepas itu, Dr. Jomo menegaskan : “Hanya kaki judi akan terus
bertaruh dengan harapan menebus balik kerugiannya setakat tertentu. Dan
barangkali kerugiannya akan terus bertambah walaupun mungkin terdapat
‘kemenangan’ sementara.”
Dalam
tulisannya Dr Jomo berhujah konservatisme dalam soal-soal begini (spekulasi
tukaran asing) bermakna kebijaksanaan dan tanggungjawab, bukannya menentang
kemajuan :
“Memang
diketahui Bank Negara tidak terlibat dengan begitu mendalam dengan perdagangan
tukaran asing sebelum berlaku perubahan dalam Kementerian Kewangan dalam pucuk
pimpinan bank itu sendiri pada pertengahan 1980-an.”
Rasanya
Anwar menujukan ucapan kepada Dr Jomo bila beliau berkata : “Pihak tertentu
menganggap bahawa berlaku perubahan besar dalam dasar pengurusan rizab sejak
pertengahan tahun 80-an. Mungkin mereka yang berpendapat sedemikian terlalu
ghairah untuk mempertahankan dasar sebelum pertengahan 80-an. Kenyataannya
ialah Bank Negara meneruskan dasar yang sama iaitu meneruskan dasar berhemat.
Bank Negara sebelum pertengahan 80-an tidak perlu berdagang dengan jumlah yang
besar kerana jumlah rizab ketika itu adalah rendah, bahkan jauh lebih rendah
dari hutang luar negara.”
Dalam
jawapannya kepada saya, Dr Jomo menasihatkan supaya lebih baik ditekankan soal
pucuk pimpinan Bank Negara, dan bukannya lebih tertumpu kepada Menteri Kewangan
ketika itu, Tengku Razaleigh. Sekiranya Tengku Razaleigh dibabitkan perbahasan
mengenai isu penting ini tidak dapat dijalankan secara matang dan objektif.
Dr. Jomo
memberitahu Bank Negara di bawah pimpinan Tun Ismail Ali dan Tan Sri Abdul Aziz
Taha tidak pernah merestu spekulasi besar-besaran. Bagaimanapun apabila Tun
Daim mengambil alih Kementerian Kewangan hal ini berubah. Tetapi ia tidak
bermakna Anwar perlu meneruskan dasar Daim. Menurut Dr. Jomo, Anwar ada pilihan,
sama ada melangsungkan dasar Daim ataupun mengambil sikap yang lebih bijaksana.
“Anwar
sepatutnya tidak terikat dengan Daim dan boleh kembali mengikut apa yang telah
dilakukan oleh Tun Ismail, “ tegas Dr. Jomo.
Menjawab
dakwaan Anwar bahawa pembangkang membuat kiraan dua kali bagi menentukan
kemerosotan lain-lain rizab, Dr. Jomo berkata :
“Anwar
sendiri keliru dan kemudiannya mengelirukan Dewan Rakyat. Dari segi ini
seolah-olah menunjukkan Anwar tidak boleh memahami matematik sekolah rendah!”
Dr. Jomo
kemudiannya membuat sedikit pembetulan terhadap tulisannya di Harakah. Katanya
:
“Saya telah
menganggarkan kos menyerap wang asing yang masuk ke Malaysia, supaya tidak
menyebabkan inflasi, tidak boleh melebihi RM2.2 ribu juta, sedangkan pengukuhan
nilai ringgit boleh menyebabkan “kerugian atas kertas” sebanyak RM2.3 ribu
juta. Maka, saya telah membuat kesimpulan bahawa baki kerugian sebanyak RM12.8
ribu juta – iaitu sekurang-kurangnya RM8.3 ribu juta – pasti disebabkan
kerugian urus niaga mata wang asing. Saya juga telah mengatakan bahawa
perubahan dalam cara kira-kira Bank Negara boleh menyembunyikan jumlah kerugian
bank pusat itu pada tahun 1992, yang mungkin melebihi RM12.8 ribu juta, yang
dianggarkan mengikut laporan rasminya. Nampaknya saya salah dari beberapa segi,
dan oleh itu, patut memohon maaf dan memberi penjelasan"
Jomo
seterusnya mengemukakan hujah majalah Far Eastern Economic Review, 13 Mei 1993
yang menegaskan mata wang asing yang diserap itu telah digunakan untuk membeli
sterling British, yang mendatangkan kadar bunga lebih tinggi daripada kadar
bunga di Malaysia.
Maka, Bank
Negara tidak mengalami kos menyerap – seperti digambarkan oleh pihak berkuasa –
tetapi sebaliknya, telah menikmati untung sementara daripada kelebihan kadar
bunga berkenaan, walaupun akhirnya kerugian lebih tinggi kerana nilai mata wang
sterling itu telah jatuh.
Menurut
Review, sumber-sumber yang rapat dengan Kerajaan Malaysia telah mengakui bahawa
lebih daripada 80 peratus dari jumlah kerugian RM12.8 ribu juta itu hilang di
London, hampir semuanya akibat urus niaga mata wang asing yang melibatkan
sterling. Ini bermakna sekurang-kurangnya RM10.2 ribu juta kehilangan akibat
kejatuhan sterling yang mesti melibatkan pembelian sterling sekurang-kurang
RM45 ribu juta! Kalaulah diuruskan secara bijaksana, mata wang asing yang
dibeli oleh bank pusat sebuah sepatutnya mencerminkan rakan perdagangannya,
tetapi hanya 4.0 peratus dari jumlah eksport Malaysia dan 3.4 peratus dari
importnya pada 1992 melibatkan Britain.
Menurut
majalah itu lagi, perubahan cara kira-kira Bank Negara disediakan bagi tahun
1992 telah menyebabkan pihak Ketua Audit Negara menolak kira-kira itu pada
mulanya dan walaupun diterima kemudian, Ketua Audit Negara telah menasihatkan
bank pusat supaya jangan terus berspekulasi dalam mata wang asing pada masa
hadapan.
Dalam pada
itu jawapan Anwar tentunya tidak dapat memuaskan sesiapa sahaja, apatah lagi
Lim Kit Siang. Ketika membahaskan anggaran perbelanjaan tambahan 1992 dan 1993
sebanyak RM5.6 bilion, pada 17 Mei 1993, Ketua Pembangkang itu jelas tidak lupa
isu kerugian pertukaran asing.
“Apabila
kerajaan minta Parlimen meluluskan anggaran perbelanjaan tambahan kepada apa
yang diluluskan dalam belanjawan tahunan, kerajaan hendaklah memuaskan Parlimen
dan negara bahawa ia telah berhati-hati dalam menguruskan wang perbelanjaan
kerajaan, bahawa tiadanya pemborosan dan pembaziran, bahawa rasuah,
amalan-amalan curang dan segala bentuk salah guna kuasa telah disekat, bahawa
tahap kecekapan dan kompetet yang tinggi telah dipelihara, fan paling penting
lagi, bahawa kerajaan telah mematuhi prinsip tanggungjawab, akauntabiliti dan
transparensi.”
Maka dalam
keadaan sedemikian, katanya, adalah lumrah untuk mengkaji permintaan kerajaan untuk
anggaran perbenlajaan tambahan berjumlah RM5.6 bilion ini dalam ertikata
kerugian pertukaran asing Bank Negara yang berjumlah RM10.1 bilion hingga
RM12.8 bilion. Ini kerana kerajaan tidak perlu menanggung anggaran perbelanjaan
tambahan sebanyak RM5.6 bilion sekiranya Bank Negara tidak mengalami kerugian
yang begitu besar.
Beliau juga
menghujahkan kembali kenyataan Anwar bahawa jika sekiranya Bank Negara
menyimpan rizab wang asingnya dalam pasaran antarabangsa secara “selamat” dan
tidak memperdagangkannya, “kita masih akan rugi besar disebabkan ringgit kita
adalah kukuh”.
Kit Siang
menjelaskan, Bank Negara sepatutnya rugi kira-kira RM3.2 bilion dalam mata wang
asing akibat usahanya untuk memerangi inflasi dengan meresap pengaliran masuk
wang asing dan juga disebabkan naiknya nilai ringgit serta penilaian semula
pegangan mata wang asing. Akan tetapi ini tidak dapat menjelaskan kerugian
pertukaran mata wang asing Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion hingga RM12.8
bilion.
“Kerugian
pertukaran mata wang asing boleh berjumlah RM16 bilion sekiranya kita mengambil
kira satu lagi perkara – penilaian semula pegangan emas Bank Negara pada tahun
lalu. Ini adalah kali pertama Bank Negara dalam sejarah 33 tahunnya menilai
semula pegangan emasnya dan adalah dianggarkan keuntungan kira-kira RM3 bilion
dapat diperolehi akibat penilaian semula emas. Namun demikian, tiada angka
mengenai penilaian semula pegangan emas kelihatan dalam kunci kira-kira Akaun
Bank Negara untuk tahun 1992 dan sekiranya RM3 bilion ini juga telah hilang,
ini akan bermakna bahawa jumlah kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara
adalah dalam lingkungan RM16 bilion, “ jelasnya.
Oleh kerana
Anwar gagal untuk memberi penjelasan yang memuaskan kepada Parlimen di atas
kerugian pertukaran asing itu, Kit Siang menegaskan, Jawatankuasa Akaun
Parlimen harus menjalankan satusiasatan khas mengenainya dan membentangkan
laporan siasatan itu kepada Dewan Rakyat untuk perbahasan. Jawatankuasa Akaun
Parlimen mempunyai kuasa untuk menyaman Gabenor Bank Negara, Tan Dri Jaffar
Hussien dan Penasihat Bank Negara yang bertanggungjawab dalam urusan dan
spekulasi pertukaran asing Bank Negara untuk memberi satu penjelasan yang penuh
kepada kerugian itu.
Dalam
siasatannya, Jawatankuasa Akaun Parlimen harus juga meminta perangkaan tentang
kerugian pertukaran asing terkini yang dialami oleh Bank Negara dan kedudukan
keuntungan dan kerugian tahunan urusan dan spekulasi pertukaran asing Bank
Negara sejak pertengahan tahun 1980-an apabila Bank Negara pertama kali menjadi
peserta aktif dalam pasaran pertukaran asing antarabangsa.
Satu ulasan
yang menarik mengenai isu ini ialah artikel yang diterbitkan di dalam Dewan
Masyarakat, Jun 1993 juga menegaskan kesangsiannya terhadap kenaikan nilai
ringgit yang dikatakan punca utama kerugian Bank Negara. Saya menyifatkan
menarik kerana ia diterbitkan oleh sebuah agensi kerajaan.
Dan bagi
mereka yang agak sangsi dengan pendirian Dr. Jomo, apatah lagi Lim Kit Siang
boleh memerhatikan hujah, (tapi perhatikan bagaimana kiraan dibuat) penulis
artikel “Kerugian Atas Kertas Atau Kegagalan Spekulasi?”, Nawi Abdullah :
“Sepanjang
tahun 1992 purata kenaikan nilai ringgit meningkat sebanyak 4.6 peratus. Ini
bermakna, Malaysia akan mengalami kerugian sebanyak 4.6 peratus daripada nilai
pertukaran asing akibat daripada kenaikan tersebut. Dengan kenaikan tersebut,
Malaysia akan hanya mengalami kerugian sebanyak RM462.43 juta (RM10,053 juta
[rizab 1991] x 4.6 peratus). Katakan belanja untuk membendung inflasi ialah
sebanyak 4.8 peratus maka belanja untuk mengawal inflasi ialah sebanyak
RM482.544 juta (4.8 peratus daripada RM10,053 juta). Begitu juga, akibat
daripada kemasukan nilai dolar AS, terdapat perbezaaan margin keuntungan yang negatif
sebanyak 5.5 peratus yang terpaksa ditanggung oleh Bank Negara. Jadi kerugian
akibat daripada margin ini ialah sebanyak RM552.91 juta (RM10,053 juta x 5.5
peratus)"
“Daripada
fakta ini menunjukkan negara hanya akan mengalami kurangan dalam rizab asing
sebanyak RM1,497.884 akibat kerugian daripada kenaikan ringgit dan mengawal
inflasi serta margin kerugian. Ini terjadi akibat daripada pegangan dollar AS
kerana kemasukan pelaburan asing yang meningkat dalam bentuk dolar bagi tahun
1992......Ada ahli ekonomi yang berpendapat bahawa kerugian itu disebabkan oleh
kegagalan permainan spekulasi mata wang asing. Kunci kira-kira yang ditunjukkan
oleh Bank Negara menunjukkan rizab yang merosot daripada RM10,043 juta. Pada
tahun 1991 kepada RM752 juta pada akhir tahun kewangan 1992. ini bermakna
negara mengalami kejatuhan sebanyak 92.5 peratus daripada pertukaran asing
negara dalam masa cuma satu tahun!”
Seterusnya
tulisan Dewan Masyarakat itu bersetuju bahawa Bank Negara telah mendedahkan
kedudukannya kepada risiko yang tinggi akibat terlalu aktif berspekulasi atau
berjudi!
Ketika saya
menyusun kembali tulisan ini, saya terpandang ruangan Inside, Sunday Star,
halaman pertama, 27 Jun 1993 yang menonjolkan amaran Perdana Menteri, Dr.
Mahathir Mohamad tentang kegiatan spekulasi di Bursa Saham Kuala Lumpur, di
halaman ketiga.
sumber
No comments:
Post a Comment