Dua puluh empat jam selepas Persidangan Pondok Ulama Pondok, Sekolah
Agama Rakyat dan Tahfiz mengeluarkan deklarasi bahawa haram bagi umat Islam
mengundi Pas dalam pilihan raya umum nanti, Kerajaan Pas Kelantan bertindak
menyita Pondok Geting di sini.
Tindakan
sita terhadap Pondok Geting yang diasaskan oleh tokoh agama, Abdullah Sa'amah
itu dibuat oleh Majlis Daerah Tumpat (MDT) atas dakwaan membina bangunan tanpa
kebenaran Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Bagaimanapun,
tindakan yang dibuat oleh MDT itu mencetuskan persoalan kerana bangunan
tambahan yang dibina dalam kawasan pondok tersebut sebenarnya mengikut prosedur
ditetapkan.
Malah pada
masa yang sama, poster palsu yang menyatakan Abdullah adalah calon Barisan
Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ditampal pada
batang pokok kelapa dan wakaf sekitar kawasan itu.
Abdullah yang
ditemui di sini hari ini berkata, kedua-dua tindakan tersebut dipercayai
bermotifkan politik kerana kelantangan beliau menentang Pas di atas pentas
ceramah di seluruh negara.
Beliau
bagaimanapun menegaskan, tidak gentar sama sekali dengan fitnah dan tekanan
yang dibuat oleh Pas itu, malah akan meneruskan perjuangannya menyedarkan umat
Islam mengenai perjuangan palsu Pas.
"Ini
hanya keputusan politik untuk memberi tekanan kepada saya supaya berhenti
berceramah, saya tidak hendak buat apa-apa, cuma hendak baca surah Yasin dan
solat hajat supaya masalah ini dapat diselesaikan dan mereka yang terlibat
diberikan hidayah.
"Saya
berjuang atas UMNO dengan ikhlas dan akan berusaha bagi memastikan Barisan
Nasional mengambil alih semula pentadbiran negeri ini, jadual ceramah saya akan
diteruskan seperti biasa, pada 14 April ini saya akan berada di Kedah,"
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdullah
memberitahu, MDT turut mengeluarkan saman semalam ketika beliau berada di
Gurun, Kedah dengan memberi tawaran kompaun sebanyak RM500 kerana kesalahan
membina bangunan tanpa kebenaran.
Katanya,
sebelum itu pihak berkuasa tempatan tersebut telah menghantar empat notis
amaran sejak Februari lalu.
"Bangunan
lima tingkat ini dibina hasil sumbangan Kerajaan Pusat yang diumumkan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu.
"Kita
mengikut prosedur yang ditetapkan, malah ketika surat amaran yang pertama
dihantar saya bertanya kepada penguat kuasa terbabit untuk apa surat ini, dia
hanya berkata tidak ada apa-apa, boleh teruskan pembinaan.
"Tetapi
hari ini apabila pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) ke MDT untuk
bertanya mengenai saman tersebut, isu lain pula timbul. MDT menjelaskan
bangunan tersebut akan hanya boleh diteruskan sekiranya mendapat persetujuan
daripada 12 orang pemiliknya," kata beliau.
Artikel
Penuh:Utusan
No comments:
Post a Comment