Sunday, April 7, 2013

MB Khalid bakal 'ditendang' Azmin Ali untuk jawatan MB.



Peluang Tan Sri Abdul Khalid untuk mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor pada penggal hadapan jika Pakatan Rakyat (PR) menang di negeri itu dilihat agak tipis. Walaupun Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikhabarkan tidak bertanding pada mana-mana kerusi Dun dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti, tetapi laluan yang perlu ditempuhi Abdul Khalid itu masih lagi sukar.

 Ketua Cabang PKR Kuala Selangor itu perlu berdepan dengan Mohamed Azmin Ali jika Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Negeri itu bertanding kerusi Dun di Selangor. Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berpendapat, kedudukan Abdul Khalid terancam kerana Azmin mungkin bakal memegang jawatan nombor satu di negeri itu jika beliau ‘diturunkan’ sekali lagi pada mana-mana kerusi Dun di Selangor.

 “Abdul Khalid mempunyai masalah dari segi ikatan antara Azmin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR). “Beliau juga gagal (mentadbir Selangor) apabila banyak perkara tidak dapat diselesaikan. Ibu tunggal dan pengguna air banyak menentangnya (sehingga kes dibawa ke mahkamah),” katanya kepada media.

 Menurutnya, pengunduran Dr Wan Azizah daripada bertanding pada PRU13 disifatkan bukan menyekat kemaraan Azmin menjadi menteri besar, sebaliknya ia lebih kepada untuk ‘mengabui’ mata rakyat terhadap tuduhan PKR mengamalkan nepotisme (melebihkan keluarga), dilemparkan pihak tertentu. Dalam pada itu, Zainal berkata, jika Azmin menjadi menteri besar, maka semua ‘krisis’ yang pernah dikaitkan antara beliau dan Abdul Khalid selesai.

 “Selepas itu, yang jadi krisis bukan lagi mereka, sebaliknya berlaku krisis suami isteri antara Anwar dan Wan Azizah,” katanya. Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Ismail Sualman turut sependapat dengan Zainal bahawa peluang Abdul Khalid untuk mengekalkan kedudukannya sebagai menteri besar masih lagi samar.



“Kita lihat dulu sama ada beliau bertanding satu atau dua tempat. Kalau beliau bertanding Dun, Abdul Khalid ada peluang untuk jadi MB. “Tapi kalau hanya bertanding di (Parlimen) Bandar Tun Razak, secara automatik Abdul Khalid gugurlah (daripada menjadi MB),” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada Abdul Khalid akan kekal sebagai menteri besar atau tidak turut bergantung kepada majoriti jumlah kerusi yang dimenanginya berbanding rakan komponennya, Pas dan DAP.

 “Dalam politik apa pun boleh berlaku. Abdul Khalid mungkin akan pertahankan (Dun) Ijok walaupun trek rekod tidak baik di kawasannya. “Kalau beliau pergi (bertanding) ke (Dun) Pelabuhan Klang, orang semua tidak kenal dia. Beliau dia anak jati Kuala Selangor dan lebih elok dia bertanding di kawasannya,” katanya. Sebelum ini, terdapat desas-desus menyatakan bahawa Abdul Khalid akan berpindah ke Dun lain memandangkan beliau dikatakan tidak dapat meluangkan banyak masa di kawasannya kerana tugasnya sebagai menteri besar.




No comments:

Post a Comment