TUMPAT – Dua lelaki di tahan reman empat hari bagi membantu
siasatan berhubung kes sekumpulan penyokong parti politik yang cuba melarikan
peti undi, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Zaharudin Rasip
berkata, tempoh tahanan lelaki terbabit akan berakhir pada 12 Mei ini selepas
permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, di
Mahkamah Majistret Tumpat.
“Lelaki terbabit berusia 66 tahun dan 30 tahun mempunyai
pertalian ayah dan anak,” katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kelancaran perjalanan
undi di Kelantan dicemari tindakan sekumpulan penyokong parti politik yang cuba
melarikan peti undi ketika perjalanan ke pusat penjumlahan di Maktab Rendah
Sains Mara (MRSM) Tumpat.
Bagaimanapun, dengan ketangkasan anggota polis, peti undi
berkenaan berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pihak tidak
bertanggungjawab dalam insiden pada jam 11.30 malam itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata,
rombongan peti undi yang dikawal ketat anggota keselamatan terbabit diserang
kumpulan berkenaan tidak jauh dari lokasi yang dituju.
Katanya lagi, serangan itu menyebabkan ketua tempat mengundi
dan seorang anggota polis masing-masing berusia 30 tahun mengalami kecederaan.
“Mereka datang menyerang kereta dengan menggunakan objek
keras. Mereka bertindak agresif dengan memanjat ke atas bumbung kereta dan
memecahkan cermin serta merampas kunci.
“Tindakan cekap anggota polis bagaimanapun berjaya
menyelamatkan undi-undi terbabit sebelum berkejar dan menyerahkannya ke pusat
penjumlahan di MRSM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK).
Kes disiasat mengikut Seksyen 341, 427 dan 323 Kanun
Keseksaan kerana khianat dan menghalang dengan salah -SH
No comments:
Post a Comment