Friday, May 17, 2013

Akibat Ungkapan “BN Bagi… Ambil, Undi.. Beri Pada PR” – Ramai Mula Susah Hati.


BN beri ambil, undi PR
           
Selepas BN kalah pada 2008, rakyat umumnya dapat melihat niat dan usaha dari BN untuk tetap berkhidmat kepada rakyat dengan menyalurkan bantuan melalui Pejabat Penyelaras Persekutuan DUN atau dikenali sebagai Pejabat DUN BN di kawasan-kawasan kalah.

Secara proaktifnya, banyak bantuan disalurkan samada dari segi infrastruktur mahupun dalam bentuk kebajikan. Niat yang murni ini tentunya dengan harapan agar rakyat meletakkan kembali kepercayaan mereka kepada BN.

Hampir semua golongan menikmati khidmat masyarakat yang disediakan 0leh Pejabat Penyelaras Persekutuan ini. Rakyat Malaysia, yang sinonim dengan sikap bersyukur dan mengenang budi tetap menjadi sandaran BN untuk meraih semula kepercayaan mereka.

Menyedari hal tersebut, PR dengan terbukanya menyatakan “BN kasi… ambil. Undi… beri pada PR”. Realitinya, apa yang kerap dimainkan oleh PR cukup berjaya dalam memastikan kejayaan mereka pada PRU 13. Buktinya, di Terengganu dan Selangor, banyak kawasan yang mana terdapatnya Pejabat Penyelaras Persekutuan mengalami kekalahan dengan majoriti yang meningkat. Bukan itu sahaja, Ali Rustam yang cukup dikenali kuat bekerja untuk rakyat Melaka juga tidak dapat diselamatkan pada PRU13 ini.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Pertama, PR berjaya mengikis sikap berterima kasih dan mengenang budi di kalangan rakyat. Sungguhpun cara berpolitik ini hanya akan “membunuh” nilai murni rakyat Malaysia, PR tidak peduli, kerana yang penting adalah undi.  Hakikatnya, kawasan yang diwakili oleh ADUN PR tidak perlu bersusah payah untuk pembangunan infrastruktur mahupun kebajikan rakyat kerana tugas tersebut telah diambilalih oleh Persekutuan. Waima sebagai ADUN, wakil rakyat PR hanya perlu fokus kepada ceramah-ceramah dan sedikit sumbangan sekadar untuk meraih publisiti sahaja.

Kedua, peranan yang efektif dimainkan oleh Pejabat Penyelaras Persekutuan DUN telah membuatkan rakyat di DUN tersebut menikmati segala kemudahan waima ADUN PR sekadar berpolitik siang dan malam. Malah di Selangor, wakil rakyat tidur sewaktu sidang DUN pun masih lagi menang pada PRU13  baru-baru ini.  Mungkin pada fikiran rakyat, tiada beza sekiranya BN menang atau kalah kerana keperluan dan kehendak mereka dipenuhi oleh BN.  Segala masalah diajukan kepada BN untuk penyelesaian. Masalah selesai, tetapi undi tetap kepada PR.  Contoh paling tepat adalah apa yang berlaku ke atas Raja Nong Chik di Lembah Pantai. Beliau bekerja untuk rakyat, tetapi gagal memenangi kawasan tersebut.

Salam dihulur disambut secara bermuka-muka. Habis manis sepah dibuang. Amalan berterima kasih dan bersyukur semakin terhakis dengan gaya politik PR.

Kini, timbul desas-desus bahawa MB Terengganu bakal menggunakan cara yang agak keras, iaitu tidak akan membuka pejabat penyelaras persekutuan di DUN-DUN yang tewas.  Apa yang cuba dilakukan oleh Ahmad Said ialah sekadar menjawab kembali kata-kata “Minta pada BN, Undi Pada PR”.

Mungkin bagi Ahmad Said, “Undi Pada PR, Pergi Minta PR”!…

Kalau benar desas-desus ini, maka rakyat perlu belajar merasai “kehilangan” BN.  Dan pada hemat penulis, ini mungkin cara yang agak menarik setelah “kasih-sayang” gagal menambat hati pengundi.

BN bagi.. sudah diambil. Dan undi pula diberi pada PR.  Kini, terima lah jawapan kepada perlakuan sendiri.


Baca seterusnya : di sini


No comments:

Post a Comment