Thursday, May 30, 2013

Analisa undi Perak: Sokongan bagi Umno mengimbas muka tsunami Melayu PRU14

Sudahpun timbul gelombang senyap tindakbalas Melayu. Ia muncul di Perak dalam pilihanraya umum yang lepas dan diperlihatkan oleh kejayaan Umno menang 30 kerusi DUN.

Kerajaan negeri pasca PRU13 di Perak adalah sebuah kerajaan Umno kerana ia ditunjangi 30 Adun Umno dengan hanya seorang wakil tunggal parti komponen, iaitu Adun MCA di Chenderiang (yang juga kerusi majoriti Melayu).

 PerakParlimen2

Pembangkang memegang 28 kerusi — DAP 18, PKR 5, PAS 5.

Kalau Umno ialah taiko BN, jelas taiko Pakatan pula adalah DAP.

Undi PRU13 di Perak membayangkan pola perkauman tebal yang diwarnai corak Melayu cenderong kepada Umno, Cina kepada DAP.

Pada peringkat Parlimen, Pakatan mendapat 624,344 undi (54.7%) berbanding BN 512,451 undi (44.9%). Pada peringkat DUN, Pakatan meraih undi sebanyak 625,710 (54.8%) manakala BN memperolehi 506,947 (44.4%).

Pemilih berdaftar di Perak adalah terdiri 37.7 peratus Cina meskipun kaum Cina 30.4 peratus daripada jumlah penduduk negeri itu.

Mereka telah keluar dari awal pagi buta, berduyun-duyun serta berbaris berbatu-batu panjangnya untuk mengundi “ini kali lah”.

Di Parlimen Ipoh Timor yang dahulunya kerusi Kit Siang, DAP telah menang dengan majoriti 34,000 undi.

Di Batu Gajah – dahulunya kerusi Ahli Parlimen tiga-penggal Fong Po Kuan – ditampilkan seorang kroni Ngeh dan Nga yang telah menang dengan majoriti sebanyak 38,596 undi.
Sebenarnya ia Tsunami Cina yang menghasilkan kelebihan undi popular Pakatan di Perak.


May10Scoreboard 

Mood perkauman yang sama

Pilihanraya Mei 1969 juga menyaksikan parti pemerintah Perikatan telah hilang undi popular.
Perak jatuh kepada pembangkang PPP selain Pulau Pinang jatuh kepada Gerakan (parti pembangkang pada waktu itu), Kelantan kekal di tangan PAS manakala di Selangor keputusannya seri 14-14.

Dalam tahun 1969, dewan undangan negeri Pulau Pinang dibentuk 24 kerusi DUN, Selangor 28, Kelantan 30 dan Perak 40.

Dalam PRU 1969, pembangkang di Perak menang 21 kerusi: PPP 12, DAP 6, Gerakan 2 and PAS 1. Perikatan menang 19 kerusi: Umno 18, MCA 1.

Maka diketahui bahawa sebelum ini pun pernah pemutusan undi menampakkan pertembungan Cina-Melayu di Perak.

Sejarah berulang selepas satu generasi


 PerakParlimen

BN (12): Umno 10, MCA 1, MIC 1

Pakatan (12): DAP 7, PKR 3, PAS 2

Kedudukan kerusi Parlimen Perak 2013

Dengan kekuatan yang setara ini, yakni BN dan Pakatan masing-masing memiliki 12 kerusi Parlimen, maka Perak merupakan model paling sesuai untuk mengkaji tahap sokongan bagi Umno oleh orang Melayu dan DAP oleh orang Cina.

Pecahan Adun Perak mengikut etnik

BN (31): Umno 30, MCA 1 
Pakatan (28): DAP 18, PKR 5, PAS 5

BN mempunyai 30 orang Adun Melayu dan seorang Adun Cina.

Pakatan mempunyai 18 orang Adun Cina, 6 orang Adun Melayu dan 4 orang Adun India (senarai penuh nama di nota kaki).

Daripada 5 orang Adun PKR di Perak, hanya seorang sahaja Melayu. Yang selainnya 3 Cina, 1 India.
Daripada 18 orang Adun DAP, tidak ada seorang pun Melayu.

Prestasi Adun-adun PAS

Seramai 17 calon PAS dan 11 calon Melayu PKR tewas kepada Umno.

Sebaliknya Umno telah menang 25 kerusi di kawasan-kawasan yang mana pemilih Melayunya melebihi 60 peratus.

Berlaku pertarungan sengit di antara parti-parti Melayu Umno dan PAS manakala di antara parti-parti Cina MCA dan DAP, komponen BN tersebut dengan selambanya memberikan walkover.

Adun-adun PAS menang dengan majoriti kecil antara 1,000 dan 3,000 undi berbanding Adun-Adun DAP yang menang dengan majoriti besar — contohnya Lim Pek Har di Menglembu dengan majoriti 16,799 undi, Wong Kah Woh di Canning (14,444 undi) dan Cheong Chee Khing di Bercham (13,916).
Lima calon PAS yang semuanya menang tipis:

Sungai Rapat: Radzi Zainon (2,638 undi) di kawasan 58.7% pemilih Melayu
.
Changkat Jering: Nizar Jamaluddin (1,170), Melayu 62.5%
.
Selinsing: Husin Din (809), Melayu 72.7%
.
Titi Serong: Abu Bakar Hussian (1,794), Melayu 74.9%
.
Gunung Semanggol: Mohd Zawawi Abu Hassan (1,405), Melayu 82.4%
.
Umno menang di Belanja (pemilih Melayu 97.2%), Kampong Gajah (93.2%), Kubu Gajah (92.5%), Batu Kurau (89.6%), Bota (86.5%), Selama (84.5%), Kenering (83.0%) dan Kota Tampan (80.4%).
Lihat bawah untuk rujukan jalur 70% dan 60%.

Nyata sekali kawasan-kawasan Melayu pekat telah berpihak kepada Umno. PAS tidak mampu untuk menang sebarang kerusi yang lebih 90 peratus pemilih Melayu.

Melayu Pakatan menang di kawasan ramai Cina

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin (PAS) menduduki kerusi DUN Pasir Panjang yang mempunyai 69.1 peratus pemilih Melayu dan 12.7 pemilih Cina.

Untuk kali ini, Nizar berpindah ke Changkat Jering, sebuah kawasan yang mempunyai kurang pemilih Melayu (62.5%) dan di mana nisbah pemilih Cinanya jauh lebih besar, iaitu 25.8 peratus ataupun dua kali ganda Cina yang ada di Pasir Panjang.

Lebih-lebih lagi, pergolakan di Changkat Jering dan di tiga buah DUN yang lain – yakni Jelapang, Behrang dan Bota – pada awal tahun 2009 telah mencetuskan rampasan kuasa oleh BN.

Tindakan Adun Changkat Jering (2008-2013) Mohd Osman Mohd Jailu keluar PKR lalu mengisytiharkan dirinya seorang Adun bebas mesra BN telah menyemarakkan semangat anti-BN di kalangan penduduk setempat. Sebab itulah Changkat Jering boleh menjadi kerusi yang lebih selamat bagi Nizar.

Parlimen Bukit Gantang dilepaskan oleh Nizar kepada rakan separtinya Idris Ahmad yang menang dengan majoriti nipis 986 undi. Bukit Gantang ialah satu kawasan 25.2 peratus pemilih Cina dan 9.8 peratus pemilih India.

Calon PAS Mujahid Yusof menang Parit Buntar, satu kawasan Parlimen yang mempunyai 27.0 peratus pemilih Cina.

Calon-calon lain Melayu yang terhutang budi kepada ehsan undi Cina bagi kemenangan mereka ialah Abdul Yunus Jamahri (PKR) di Kuala Kurau yang mempunyai 38.7 peratus pemilih Cina dan Radzi Zainon (PAS) di Sungai Rapat yang mempunyai 30.6 peratus pemilih Cina.

Bota dan Behrang kekal di tangan Umno

Pelompatan Adun Bota dalam bulan Januari 2009 telah mencetuskan rentetan peristiwa yang membawa kepada perebutan kuasa dan krisis perlembagaan di Perak.

Namun Nasharuddin Hashim yang kemudiannya kembali pulang ke pangkuan Umno telah dicalonkan semula dalam PRU13 untuk bertanding di kerusi Bota yang disandangnya.

Kemenangan beliau di Bota pada Mei 5 lepas atas tiket Umno menandakan penduduk kawasannya tidak terikut-ikut pemilih Changkat Jering yang bersentimen anti-BN. Para pemilih Bota kekal bersama Nasharuddin dan Umno.

Kerusi ‘lompat’ Behrang yang dimenangi Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-2008) juga berpaling kepada Umno kali ini.

Hanya seorang sahaja calon Cina Pakatan yang kalah di Perak, iaitu Tan Yee Kew (bekas timbalan ketua Wanita MCA, kini PKR) yang tewas di Tanjong Malim.

Orang kuat evangelis DAP Ngeh dan sepupunya Nga telah bertanding di kerusi DUN yang majoriti Cina iaitu di Sitiawan, 74.3 peratus pemilih Cina dan Kepayang, 60.4 peratus pemilih Cina.

Backlash Melayu, kenapa di Perak

PAS tidak diberi tamparan sehebat oleh orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sebab di Pantai Timur sememangnya kurang penduduk Cina.

Penduduk Cina di Kelantan hanya 3.4 peratus dan di Terengganu 2.6 peratus. Oleh kerana bilangan mereka yang sedikit itu, maka kurang terjadinya pergeseran di antara kaum di negeri-negeri yang diperintah PAS, tidak seperti yang berlaku dalam masyarakat majmuk Lembah Klang and di Pulau Pinang.

Backlash timbul di Perak ekoran pergelutan tahun 2009 di antara BN dan Pakatan telah mendedahkan orang Melayu kepada perangai puak pembangkang yang kebanyakannya orang Cina.

Di Perak, Umno mempunyai hubungan baik dengan istana.

Akan tetapi, (mantan) Menteri Besar PAS sebaliknya telah memohon derhaka serta para penyokong pembangkang dikenakan tindakan mahkamah kerana menghina Sultan bersangkut-paut pentadbiran Nizar ditumbangkan.

Perbuatan-perbuatan kurang ajar yang ditujukan terhadap keluarga di-Raja Perak telah menjejaskan hubungan kaum.

Mufti Perak Harussani Zakaria dan badan-badan Islam negeri lebih rapat dengan Umno. Tambahan lagi, Harussani amat berwaspada dengan perkembangan evangelisme yang terbawa-bawa DAP.

 Ngeh-Nizar-Nga

Orang Kelantan dan Terengganu tidak takut negeri mereka barangkali diperintah Cina manakala di Perak, orang Melayu melihat dengan biji mata sendiri bagaimana DAP telah menjadi kuasa di balik taktha.

Besar kemungkinan trend yang sudah bermula di Perak ini akan menular ke negeri-negeri jiran menyebabkan orang Melayu pun mengundi en bloc kelak dalam pilihanraya yang akan datang.


Baca seterusnya : Di sini


No comments:

Post a Comment