KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin
Maidin hari ini menyarankan DAP supaya menyertai Barisan Nasional (BN) bagi
memastikan kerajaan Malaysia diwakili kaum Cina.
Katanya langkah itu memang sukar diterima oleh DAP dan BN
serta penyokong masing-masing tetapi perlu dilakukan demi keharmonian dan
kestabilan politik negara.
"Memang sukar untuk DAP menawarkan diri dan sukar juga
untuk kerajaan BN menerimanya, tetapi hal ini harus dilihat dari segi hasrat
Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melangkah ke arah national reconciliation
setelah negara dilanda Tsunami Cina yang mencedera parahkan nilai kejatian diri
Malaysia," katanya dalam blognya Zamkata.
Katanya orang Cina yang kini berada dalam euphoria
kemenangan belum dapat kesakitannya (tidak diwakili dalam kerajaan), tetapi
dalam jangka masa yang tidak panjang, mereka akan menyedari kesilapan besar
yang telah dilakukan (menolak BN enbloc).
BN memenangi 133 kerusi, pakatan rakyat 89 dalam pilihan
raya umum ke-13 Ahad lalu. Najib mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di
hadapan Yang di-Pertuan Agong Isnin lalu dengan ketiadaan wakil kaum Cina dalam
kabinetnya yang bakal dibentuk.
Ini kerana pucuk pimpinan MCA, yang memenangi tujuh daripada
37 kerusi ditandingi parti komponen BN itu, memutuskan tidak mahu menganggotai
jemaah menteri baharu Najib.
Sebuah lagi parti dominan kaum Cina dalam BN, Gerakan juga
ditolak pengundi Cina dengan hanya memenangi satu kerusi Dewan Rakyat.
Zainuddin berkata: "Masyarakat Cina yang mengharapkan
penghapusan kerajaan dominan Melayu BN telah dihadiahkan oleh DAP dengan sebuah
kerajaan tanpa orang Cina."
Justeru DAP sedang menghadapi tekanan amat berat daripada
masyarakat Cina yang kecewa untuk mendapat perubahan kerajaan seperti yang
diyakinkan kepada mereka oleh penasihatnya, Lim Kit Siang, dan Ketua Umum PKR
Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.
"Maka itu kita dapat melihat keadaan mereka berdua
seperti cacing kepanasan setelah mencapai kemenangan besar yang tidak mencecah
Putrajaya.
"Dan kerana itu mereka mahu kembali ke jalan raya untuk
menutup kegagalan mereka dan mengelirukan pengikut-pengikut terhadap
pembohongan dan penipuan mereka dengan menuding jari ke pihak lain,"
katanya.
Katanya jalan terbuka bagi DAP untuk menenangkan kemarahan
masyarakat Cina kepadanya ialah dengan menawarkan penyertaan DAP dalam
kerajaan, kerana ia parti yang mewakili orang Cina Malaysia sekarang yang
terbukti dengan keupayaannya mendapat 38 kerusi berbanding MCA hanya 7 kerusi.
Zainuddin berkata untuk menyelamatkan maruahnya, DAP
tentunya memerlukan sokongan daripada masyarakat Cina untuk membuat tawaran
kepada kerajaan.
"Dan tentunya sikap mereka yang pragmatik,
materialistik dan realisitik memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang
sesuai dengan kepentingan orang Cina," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, halangan terbesar ialah PKR yang
pastinya sama sekali tidak dapat menyertai jemaah menteri baharu kerana
kepimpinannya menghadapi rayuan kes tuduhan meliwat yang belum selesai.
Katanya DAP harus menimbang untung rugi berada di luar
kerajaan berbanding jika DAP berada dalam kerajaan untuk jangka masa lima tahun
akan datang.
Antara faktor yang DAP dan BN perlu ambil kira ialah jurang
politik yang wujud jika kedua-dua pihak terus bertegang di atas dasar
masing-masing yang sudah tidak sezaman dengan Nasionalisme Malaysia Baharu.
Jika Pas sanggup mengorbankan dasar negara Islamnya untuk
bekerjasama dengan DAP, maka tentunya DAP dan BN juga dapat mengambil langkah
yang dinamik dalam politik, ujarnya.
"Kedua-dua pihak mestilah sanggup untuk bertolak ansur
dan mengorbankan prinsip keras masing-masing yang sudah tidak praktikal dan
lapuk untuk disesuaikan dengan cita rasa generasi baharu Malaysia,"
katanya.
Katanya jika DAP dapat bekerjasama dengan Pas yang langsung
tidak mempunyai persamaan nilai agama, ekonomi dan sosial, maka tentunya lebih
mudah untuk bekerjasama dengan BN yang liberal tanpa ideologi yang keras.
Baca seterusnya : APA ZAM KATA
No comments:
Post a Comment