Friday, May 10, 2013

DAP Semakin Gelabah!


DAP ternyata semakin gelabah apabila kejayaan mereka mempengaruhi masyarakat Cina untuk menolak Barisan Nasional (BN) mula menjadi perdebatan, apatah lagi apabila ramai pihak membentangkan jasa-jasa BN kepada masyarakat Cina.

Secara tiba-tiba, DAP bercakap soal mahu Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak bersikap perkauman, sebaliknya menjadi Perdana Menteri kepada semua kaum, biar pun pada hari pemimpin DAP membuat gesaan itu, Najib sudah menegaskan, tugas beliau seterusnya adalah untuk mengharmonikan rakyat pelbagai kaum.

Sepatutnya, pemimpin-pemimpin DAP membuat gesaan tersebut terhadap parti itu sendiri dan bukannya kepada pemimpin-pemimpin BN. Ia memandangkan selama ini parti manakah yang dilihat mengajar masyarakat Cina supaya tidak berterima kasih kepada sumbangan BN kepada mereka.

Kenapakah perlu dalam kempen-kempennya pemimpin-pemimpin DAP terus memburuk-burukkan kerajaan BN kepada masyarakat Cina, kenapakah menggunakan bahasa yang kesat termasuk ‘negara ini bukan bapak dia punya’ untuk membangkitkan sentimen rakyat kepada pemimpin BN?

Dan kita juga ingin bertanya kenapakah DAP sepanjang kempennya langsung tidak menyebut jasa-jasa BN kepada masyarakat Cina khususnya keprihatinan Najib dalam memberi bantuan pelajaran kepada sekolah Cina termasuk menaikkan taraf kolej-kolej Cina menjadi kolej universiti?

Seperti hujah Dekan Institut Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Prof. Dr. Ho Khai Leong, Najib sejak memegang tampuk pemerintahan telah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan semua kaum di negara ini termasuk masyarakat Cina.

Kata beliau, segala usaha Perdana Menteri itu membawa kemakmuran kepada semua rakyat sekali gus membuktikan tiada kaum yang ketinggalan dalam pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju pada 2020.

Tetapi fakta ini tidak disebut oleh DAP sebaliknya di dalam kempen-kempen mereka, pemimpin-pemimpin DAP membangkitkan soal rasuah seolah-olah Malaysia ini negara yang paling buruk amalan rasuahnya.

DAP juga membangkitkan sentimen dengan membuat poster-poster dan sepanduk-sepanduk tertera perkataan yang membawa maksud, undi BN sama dengan memberi undi kepada Perkasa.

Kalau DAP ikhlas dan jujur dalam mencari kuasa politik mereka sudah pasti mengupas apa yang terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang bagi membolehkan rakyat membandingkannya dengan manifesto BN, bukannya menggunakan pentas-pentas kempen untuk memburuk-burukkan kerajaan BN seolah-olah Perdana Menteri menganaktirikan masyarakat Cina. Selain itu, kalau DAP ikhlas mereka juga tidak terlibat dalam agenda Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dengan cara terus membangkitkan isu kononnya berlaku penyelewengan dalam proses pengundian dengan sekali lagi menyeret rakyat dalam himpunan Suara Rakyat Suara Keramat. 
Persoalannya, kenapa pembangkang meragui kemenangan BN dengan majoriti tipis di 30 kerusi Parlimen yang didakwa berlaku penyelewengan sedangkan BN juga boleh mempertikaikan perkara yang sama bagi kerusi-kerusi yang pembangkang menang dengan jumlah majoriti undi yang sama.

Tetapi BN tidak berbuat demikian, sebaliknya BN menerima kekalahan dengan hati terbuka khususnya di Pulau Pinang yang menyaksikan berlakunya penolakan secara hampir total masyarakat Cina kepada BN.

Oleh itu, tidak perlu DAP hendak berdolak-dalik lagi, kalau betul mereka ikhlas ambil tindakan kepada pemimpin-pemimpinnya yang bertindak biadab termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada papan iklan gambar Perdana Menteri.

Malah DAP khususnya Penasihat parti itu, Lim Kit Siang juga perlu menjawab dakwaan mereka menggunakan taktik kotor memfitnah, Dr. Puad Zarkashi sehingga beliau tewas di Parlimen Batu Pahat seperti mana didedahkan oleh bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

Justeru tidak perlulah DAP hendak bersandiwara dan menafikan bahawa mereka tidak melakukan tindakan yang dilihat provokasi dalam memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kalau betul DAP sebuah parti yang bertanggungjawab, buatlah kenyataan terbuka supaya seluruh penyokong-penyokong mereka menerima kegagalan untuk menumbangkan BN melalui kempen ‘ini kali lah’ dan ‘Ubah’ dengan hati terbuka.

Selain itu, buat juga kenyataan bahawa mereka bersedia untuk bersama-sama Perdana Menteri melaksanakan program mengharmonikan kembali rakyat pelbagai kaum selepas apa yang berlaku dalam PRU-13.

Jika pemimpin-pemimpin DAP tidak mahu berbuat demikian maka sahlah DAP adalah parti yang cukup bijak bersandiwara dan kita tidak hairan jika masyarakat Cina terpedaya dengan sikap itu.

Baca seterusnya :di sini


No comments:

Post a Comment