Gambar Hiasan
Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah
menyeru golongan Melayu agar bertindak dengan lebih agresif untuk
mempertahankan hak mereka serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan
pilihan raya umum 5 Mei.
Bercakap dalam seminar yang membincangkan mengenai
kesan pilihan raya tersebut hari ini, Mohd Noor menyeru demikian kerana orang
Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu itu melalui usaha
untuk merampas kuasa politik.
"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia
kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas
kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," katanya, mengulas keputusan
pilihan raya tersebut.
Dakwaan mengenai pengkhianatan orang Cina itu mula
timbul apabila keputusan pilihan raya umum 5 Mei menunjukkan BN hanya mampu
menguasai 133 kerusi parlimen, berbanding 140 dalam pilihan raya umum 5 Mei.
Dalam pilihanraya itu, hanya 10 peratus pengundi kaum cina menyokong BN,
sementara 9 kawasan yang dimenangi parti-parti yang berasaskan kaum cina adalah
kawasan campuran, di mana peratus kaum melayu melebihi 48 peratus. (Pada PRU
lalu- MCA menang 7 Kerusi, Gerakan 1 dan SUPP 1).
Bagaimanapun, Umno yang bertanding 117 di kerusi
majoriti Melayu menang 88 dengan
tambahan sembilan lagi kerusi, berbanding hanya 79 kerusi pada 2008, walau
parti BN yang bertanding di kerusi majoriti Cina – MCA dan Gerakan – kalah
teruk dalam pilihan raya kali ini,
Di sisi Pakatan Rakyat pula, ramai calon Melayu menang
di kerusi campuran, malah turut menewaskan calon pencabar dari kaum Cina.
Dalam ucapan selanjutnya, Mohd Noor mempertegaskan
amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati.
"...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan
dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas
dendam kesumatnya tak sudah-sudah," katanya.
Beliau turut menganjurkan agar penyusunan masyarakat
itu turut melibatkan pewartaaan kawasan rizab Melayu di kawasan bandar bagi
membolehkan kaum Melayu membangun dan menguruskan perniagaan bersama kaum Cina.
“Perlembagaan menyatakan tanah rizab Melayu dah
diisytihar selepas merdeka kekal sampai bila-bila. Lepas merdeka, menteri besar
dan exco boleh isytiharkan kawasan-kawasan Melayu dan beri jaminan perlembagaan
apa kita boleh buat.
“Tanah rizab hendaklah diisytihar di kawasan bandar
supaya orang Melayu boleh berniaga di kawasan bandar yang sebelum ini dimiliki
oleh orang Cina.
"Istilah cantiknya ialah menyusun semula
masyarakat. Tapi istilah kasar ialah (membolehkan) orang Melayu berhijrah
supaya gedung-gedung yang kita lihat dibandar sama-sama dimiliki, bukan melihat
sahaja,” katanya.
Berucap dalam seminar yang dihadiri kira-kira 300
peserta itu, Mohd Noor mencadangkan agar penyusunan semula masyarakat itu
dijalankan dalam tempoh 10 tahun.
Katanya, walaupun setelah 56 tahun merdeka, kekayaan
orang Melayu masih lagi tidak mencapai sehingga 20 peratus di negara ini.
“Sudah 56 tahun berlalu, kita masih memiliki tidak
sampai 20 peratus kekayaan negara ini.
“Susunlah strategi supaya dalam masa 10 tahun ini,
Yang Dipertuan Agong mengarahkan badan berkuasa untuk jamin supaya kekayaan
negeri ini dimiliki kita sebanyak 67 peratus.
“Orang Melayu harus kenal siapa sekutu kita, siapa
saudara-mara kita,” katanya lagi.
Turut hadir menjadi ahli panel ialah bekas
pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Abdul Rahmad Arshad serta
timbalan presiden PAS Datuk Nasharuddin Mat Isa.
GAP.
No comments:
Post a Comment