Seperti yang
diduga, parti DAP pasti ‘panas punggung’ dengan kenyataan Menteri Komunikasi
dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang memaklumkan kerajaan kini
sedang menimbang untuk mengambil pendekatan yang dilaksanakan negara Singapura
pada minggu lalu untuk mengawal portal berita.
Ahmad
Shabery berkata kerajaan sedang menjalankan kajian untuk membolehkan
pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip sedia ada.
Ekoran
kenyataan tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng tampil membuat kenyataan menzahirkan pendirian parti
‘ultra kiasu’ itu. Guan Eng semalam mengecam tindakan yang bakal diambil itu
dengan menggunakan hujah kononnya ia melanggar Akta Jaminan Koridor Raya
Multimedia (MSC) yang menjamin tiada penapisan internet.
“DAP kesal
apabila menteri komunikasi dan multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek memulakan penggalnya dengan memungkiri janji BN sebelumnya untuk
tidak menapis Internet, apabila mahukan kawalan ke atas portal atas talian”
katanya seperti yang dilaporkan semalam.
Kerajaan
Singapura sebelum ini memutuskan untuk menguatkuasakan peraturan tersebut mulai
Sabtu ini di mana laman web yang mempunyai 50,000 pelawat dari Singapura setiap
bulan dan menghasilkan sekurang-kurangnya satu artikel tempatan seminggu mesti
memperoleh lesen tahunan daripada Lembaga Pembangunan Media (MDA) negara itu.
Sebuah
agensi berita antarabangsa memetik kenyataan MDA menghendaki laman web yang
diberi lesen itu mengeluarkan bahan larangan seperti artikel yang boleh
menjejaskan keharmonian agama dan kaum daripada laman web dalam tempoh 24 jam
setelah dimaklumkan oleh pihak berkuasa. Laman web yang dilesenkan itu perlu
menyediakan S$50,000 sebagai jaminan bon.
Persoalannya
mengapakah Guan Eng tiba-tiba melenting tidak keruan? Bukankah DAP selaku ‘anak
kelahiran’ PAP (parti pemerintah di Singapura), sering menuntut dan menjadikan
negara jiran itu sebagai contoh dalam semua hal? Mengapa secara tiba-tiba
apabila kerajaan ingin mengambil langkah yang serupa, cadangan tersebut
ditentang?
Jawapannya
mudah, ini kerana DAP sedar dengan kawalan tersebut bakal menyebabkan portal-portal
tajaan mereka berdepan dengan keadaan yang sukar. Sekiranya kerajaan bersetuju
dengan cadangan untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut, media propaganda
DAP akan berdepan dengan situasi yang sukar.
Ia secara
tidak langsung akan menyebabkan, rakyat tidak lagi dihidangkan dengan laporan
yang berbaur sentimen, propaganda, mewujudkan sentimen kebencian dan sebagainya
seperti yang sering dilakukan sebelum ini. Malah penentangan Guan Eng ini,
secara tidak langsung memberikan satu persepsi bahawa portal pembangkang memang
sering melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.
Tambahan
pula, dengan kegagalan portal pembangkang melaporkan pelbagai berita yang
bersifat seperti yang dinyatakan tadi, akan menyukarkan ‘pencacai’ upahan DAP
‘Red Bean Army’ untuk memainkan peranan. Ini kerana tiada lagi komen-komen yang
bertujuan untuk mewujudkan persepsi kononnya majoriti rakyat menyokong gerakan
pakatan pembangkang.
Padanlah
Guan Eng seperti cacing kepanasan tatkala kerajaan memaklumkan untuk mengkaji
pendekatan yang dilaksanakan oleh Singapura itu. Kerana ia sudah pasti bakal
menyebabkan pengendali portal pembangkang yang cenderung dengan agenda fitnah
serta ribuan pencacai yang dibayar secara bulanan oleh DAP berdepan dengan
tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.
Kesimpulannya
masyarakat harus sedar, sekiranya benar portal-portal berita yang wujud bagai
cendawan selepas hujan ini melaporkan perkara yang benar dan telus tiada apa
yang perlu ditakutkan.
Ini kerana
laporan berita seharusnya membuatkan rakyat untuk lebih matang dalam menilai
sesuatu perkara, dan bukannya mempengaruhi minda dengan pelbagai sentimen
kebencian, perkauman dan sebagainya.
Baca seterusnya : di sini
No comments:
Post a Comment