Sudah
sampai masanya kerajaan mengiktiraf bekas setiausaha agung Parti
Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan, kata
bekas ketua pengarang Utusan Malaysia Said Zahari [gambar] lapor The
Malaysian Insider.
Menurutnya,
biarpun kerajaan cuba menafikan hak Chin Peng namun hakikatnya beliau
tetap merupakan anak kelahiran Malaysia dan sejarah tidak menafikan
bekas pemimpin komunis itu juga merupakan antara tokoh yang
memperjuangkan kemerdekaan negara.
“Saya
menganggap Chin Peng ini perjuang kemerdekaan, Chin Peng dan
rakan-rakannya sebenarnya merupakan sebahagian dari kemerdekaan
negara, benar mereka ini menganggotai parti komunis tapi demi
membebaskan Tanah Melayu dari penjajah.
“Mereka
ini sebenarnya yang menentang British, namun kerana politik, kerana
British mahu menguasai negara ini maka mereka melabelkan Chin Peng
ini sebagai musuh negara,” kata Said ketika dihubungi The Malaysian
Insider.
Menurut
Said yang pernah memimpin mogok Utusan membantah pengambilalihan oleh
Umno itu, tidak wajar kerajaan menghalang Chin Peng dari pulang ke
tanah air.
“Chin
Peng ini anak kelahiran Sitiawan Perak, darahnya mengalir di negara
jadi mengapa hak mendiang sebagai rakyat Malaysia dinafikan tidak
dibenarkan pulang ke negara? Beliau patut diberi penghormatan untuk
kembali ke negara, biarlah Chin Peng bersemadi dengan aman di tanah
airnya sendiri.
“Chin
Peng benar-benar seorang pejuang, begitu setia pada negara lihatlah
sampai saat terakhir beliau tetap mahu kembali ke negara asalnya saya
rasa sudah tiba masa rakyat Malaysia menerima Chin Peng sebagai
rakyat yang memperjuangkan kemerdekaan bukannya pemberontak,”
katanya.
Chin
Peng dilaporkan meninggal dunia di Bangkok, Thailand pagi ini pada
usia 90 tahun.
Menurut
Bangkok Post, beliau meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi.
Chin
Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak
pada bulan Oktober, 1924.
Chin
Peng mengetuai PKM melawan penjajah British selepas darurat
diisytiharkan pada tahun 1948.
Perang
berterusan sehingga perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada
tahun 1989.
Beliau
menetap di Bangkok, Thailand sehingga kematiannya pagi ini dan tidak
pernah dibenarkan pulang ke Malaysia walaupun berkali-kali
memohonnya.
No comments:
Post a Comment