Thursday, September 19, 2013

Manfaat TPPA buat Malaysia


Kebimbangan yang menyatakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan merugikan Malaysia adalah tidak berasas kerana para perunding sudah pastinya akan melindungi kepentingan ekonomi dan perdagangan negara semasa berlangsungnya perbincangan itu nanti.

Sebagai sebuah negara perdagangan, adalah penting untuk Kuala Lumpur menyertai TPPA bagi mendapatkan akses yang lebih besar ke pasaran-pasaran rakan dagangannya yang lain terutamanya Amerika Syarikat, Jepun dan Asean.
Malangnya, terdapat sikap sesetengah pihak tidak bertanggungjawab membuat penyebaran yang disifatkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebagai penyebaran maklumat yang tidak tepat sama sekali.
Antaranya tuduhan oleh kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) mengandungi saranan untuk Malaysia agar tidak memeterai TPPA.
Miti bagaimanapun dengan sekeras-kerasnya telah menafikan tuduhan-tuduhan  ini sambil menyatakan “ia sesungguhnya sesuatu yang memutarbelitkan kedudukan kerajaan Malaysia jika dilihat kepada agenda perdagangan kita”.
Orang ramai diberi jaminan yang para perunding Malaysia akan melindungi kepentingan perdagangan dan ekonomi domestik negara dan yang paling penting Dasar Ekonomi Baru (NEP).
Mereka sama sekali tidak akan menjual negara ini.
Lagipun, Kabinet telahpun bersetuju kepada tawaran Malaysia pada perundingan yang akan memulakan pusingan ke-18nya di Kota Kinabalu dari 15 hingga 25 Julai, sebelum sebarang niaga janji dimeterai.

Industri domestik

Dakwaan yang AS dan Jepun akan menutup pasaran mereka kepada Malaysia dan seterusnya merugikan industri domestik sekali lagi disangkal kerana Amerika telah sekian lama menjadi pasaran utama untuk komponen semi-konduktor dan elektrik dan elektronik.
Walaupun ia adalah urus niaga perdagangan, ia turut memberi kesan kepada pelaburan asing kerana Jepun telah menjadi pelabur penting di Malaysia bersama-sama AS dan negara-negara Asean.
Pelaburan dan perdagangan tidak dapat dipisahkan, dan untuk itu, ia adalah satu kelebihan besar kepada Malaysia dari segi peluasan pasaran dan aliran masuk pelaburan.
Contohnya, industri tekstil mendapat sokongan padu TPPA, sambil menyatakan yang jumlah eksport tekstil dan pakaian Malaysia diunjurkan meningkat 20 peratus dengan pelaksanaan perjanjian itu.
Persatuan Pengeluar Tekstil Malaysia berkata penghapusan duti di bawah perjanjian perdagangan itu akan menjadikan produk tekstil dan pakaian Malaysia lebih berdaya saing.
Eksport ke negara anggota TPP pada 2012 berjumlah sehingga RM3.3 bilion. Perjanjian TPP akan menyaksikan penurunan duti import untuk produk tekstil dan pakaian Malaysia yang memasuki negara-negara anggota TPP.


Pasaran global
TPPA, inisiatif perdagangan bebas melibatkan 12 negara, dijangka dapat mengembangkan eksport negara-negara yang menyertai ke asas pasaran global yang lebih luas dan menyediakan asas produk yang murah kepada pengguna.
Ini adalah menerusi penurunan tarif yang dicadangkan di kalangan negara-negara yang menyertai.
Dengan cadangan penghapusan ataupun penurunan dalam perjanjian TPP, produk Malaysia akan lebih berdaya saing, terutamanya di pasaran AS.
Dalam mana-mana perjanjian perdagangan, mesti ada sikap tolak ansur dengan konsesi yang perlu dibuat oleh beberapa negara. Para perunding Malaysia hanya perlu lebih berhati-hati.

Dilihat kepada pendirian tegas yang mereka ambil terhadap AS dan Eropah serta negara-negara maju lain di perundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang gagal di Cancun, orang ramai diberi jaminan yang TPPA akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam jangka panjang.

Negara-negara yang terbabit dalam perundingan untuk TPPA termasuk  Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam. Jepun akan turut serta sebagai anggota TPP ke-12 di Kota Kinabalu, Sabah.
Negara-negara ahli mensasar untuk memuktamadkan perundingan ini tahun ini dengan tujuan meliberalisasikan perdagangan.
Sementara itu, pada pusingan perundingan TPP yang ke-18, 180 pemegang kepentingan akan membentangkan pendapat masing-masing.
Perkembangan perundingan TPP di Kota Kinabalu dijangka dinilai semasa berlangsungnya mesyuarat para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada bukan Oktober di Bali tahun ini.
Untuk Malaysia, mesej penting bagi perbincangan TPPA ialah untuk industri domestik dan ekonomi menjadi lebih berdaya saing dalam persekitaran globalisasi yang tidak dinafikan begitu mencabar.
- Bernama


No comments:

Post a Comment