Saturday, September 28, 2013

Nur Misuari akan didakwa


Jabatan Kehakiman Filipina, hari ini akan mengemukakan dakwaan terhadap ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari atas kesalahan melakukan pemberontakan, ekoran serangan kumpulan bersenjata itu ke atas bandar Zamboanga pada pertengahan bulan ini.

Jabatan itu berkata, Nur Misuari akan didakwa di bawah Akta Republik 9851 atau Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa berhubung melancarkan serangan di bandar Zamboanga yang menyaksikan lebih 100 orang maut.

Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima telah menghantar pasukan khas pendakwa raya ke bandar Zamboanga bagi menguruskan proses memfailkan dakwaan ke atas Misuari dan anggota MNLF yang terlibat melancarkan serangan tersebut.
Presiden Benigno Aquino III, sebelum ini berkata, kerajaan mempunyai saksi yang boleh membuktikan Misuari terlibat dalam serangan MNLF di Zamboanga yang berlanjutan lebih dua minggu.

Sementara itu, tentera Filipina, semalam menahan sekurang-kurangnya 70 anggota MNLF dan menembak mati enam yang lain, ketika kumpulan bersenjata itu cuba menawan beberapa perkampungan di bandar ini.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, kebanyakan anggota MNLF yang ditahan berada dalam keadaan keletihan dan kekurangan peluru.
Katanya, kesemua mereka ditahan atau menyerah diri ketika pertempuran di beberapa perkampungan di tepi pantai yang mereka tawan sejak 9 September lalu selepas tentera mematahkan serangan mereka ke atas Zamboanga. 







No comments:

Post a Comment