Isu tuntutan
penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini seharusnya
ditangani dengan bijak.
Perbincangan ilmiah
dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus
diselami oleh semua pihak.
Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini agar tidak tersasar daripada maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.
Pendahuluan
31 Disember 2007 — Pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah Allah. Kerajaan menegaskan bahawa larangan itu masih kekal.
3 Januari 2008 — Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
19 Mac 2008 — Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah Allah05 Mei 2008 — Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman larangan tersebut dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Alasan Gereja
Katolik Menggunakan Kalimah Allah
Dalam akhbar The Sun
(24 Dis. 2007), terdapat laporan bertajuk Church leaders explain use of Allah.
Terdapat 5 alasan utama yang dikemukakan oleh laporan tersebut mengapa Gereja
Katolik ingin meneruskan penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar terbitan
mereka. Alasan yang dikemukakan ialah:
1) Mendakwa mereka
mengikuti Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah sebagai
terjemahan istilah God dan Tuhan sebagai terjemahan istilah Lord.
2) Mendakwa bahawa
mulai awal ke 19, para penganut Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa
dalam Bahasa Melayu dan kalimah Allah telah digunakan sebagai terjemahan
istilah God. Penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah Allah untuk
merujuk kepada Tuhan dan begitu juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan
dan Asia Barat.
3) Mendakwa ayat-ayat suci al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
4) Mendakwa bahawa
segmen terjemahan dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan
kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di
dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
5) Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-Hujah menolak
Alasan Pihak Gereja Katolik
Alasan Pertama
: Mendakwa mereka mengikuti Bible. Bible
dalam Bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan istilah God
dan Tuhan sebagai terjemahan istilah Lord.
Hujah-Hujah Menolak:
1) Kalimah Allah adalah kata nama khas berasal
daripada Bahasa Arab. Ia tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna
lain. Menurut nahu Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki,
diperempuan atau diterbitkan nana-nama lain daripadanya. Kalimah Allah adalah
bebas dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak
boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya. Dari segi
struktur linguistik, kalimah Allah lebih superior daripada apa jua perkataan
apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan
satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Oleh itu, umat Islam tidak sekali-kali
menterjemahkan Allah kepada apa jua bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu Allah.
2) Di peringkat
antarabangsa, penggunaan kalimah Allah dari segi istilah adalah amat sinonim
dengan agama Islam. Ia diiktiraf oleh kamus-kamus serta ensiklopedia terkemuka
di dunia. Antaranya:
i. Kamus
Oxford—Allah: Name of God among Muslims.
j. Ensiklopedia
Britannica—Allah: God, the one and only
God in the religion of Islam
k. Ensiklopedia
Katolik—Let it be noted that although Allah is an Arabic term, it is used by
all Moslems, whatever be their language, as the name of God.
3) Dalam konteks
Malaysia kalimah Allah tidak diterjemahkan kepada Bahasa Melayu atau bahasa
Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan. Oleh itu kalimah Allah di
Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam teks
al-Quran tanpa mengubahsuaian pada lafaz (terjemahan) mahupun maksud kalimah
tersebut.
Definasi Allah menurut Kamus Dewan Edisi Empat:
Allah : Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~azzawajalla Tuhan yang Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala Terpujilah Tuhan Yang Maha Tinggi.
Definasi Allah
menurut Kamus Pelajar:
Allah: Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan 20
sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini.
Oleh itu kalimah
Allah tidak boleh dianggap sebagai terjemahan tuhan dalam Bahasa Melayu atau
god dalam Bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz Bahasa Arab yang dikekalkan
sebagai mematuhi kitab suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat
Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.
4) Bible Bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan kalimah Allah juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti penterjemahan dan perundangan Malaysia. Faktor perundangan menegah penggunaan kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk digunakan oleh bukan Islam. Oleh itu, alasan yang mengatakan mereka merujuk kepada Bible Bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.
Alasan Kedua : Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam Bahasa Malayu dan kalimah Allah telah digunakan sebagai terjemahan istilah God. Penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dan begitu juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
Hujah-hujah Menolak
:
1) Alasan ini adalah bertitik tolak daripada
sejarah kedatangan mubaligh Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara. Sejarah
mencatatkan antara misi utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah
untuk mengaut hasil bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini.
Antara usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah menterjemahkan
Bible ke dalam Bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan upacara keagamaan
dalam Bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.
2) Percubaan untuk
membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah Allah
bagi merujuk kepada God juga tertolak. Ini kerana setiap Bahasa yang digunakan
oleh setiap bangsa mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza. Dalam kes
ini, latar belakang Bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir
daripada rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu. Budaya Melayu itu sendiri
terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu
yang berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar
belakang Bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.
3) Berkenaan
penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Asia Barat juga tidak boleh
dijadikan hujah. Bangsa Arab bukan Islam sememangnya telah lama menggunakan
kalimah Allah berdasarkan faktor teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud
di Asia Barat. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran
datang untuk menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah
Allah yang diguna pakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri daripada
Yahudi dan Nasrani.
4) Dalam konteks etimologi dan semantik pula,
alasan Gereja Katolik untuk merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah
tersasar jauh. Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada
Kristian Arab dengan Kristian di Malaysia. Apa yang berlaku di negara-negara
Arab ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan Bible daripada Bahasa Suryani
(Syria/ Syam) atau Aramik dan Bahasa Ibrani (Hebrew) kepada Bahasa Arab. Perlu
diketahui Bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun bahasa yang sama
iaitu rumpun Semitik. Oleh itu, Kristian Arab mempunyai hak untuk berhujah
bahawa kalimah Allah berkemungkinan berasal daripada nama asal tuhan mereka
dalam Bahasa Aramik atau Ibrani. Tetapi apa pula rasional pihak Gereja Kristian
untuk menterjemahkan god dalam Bible Bahasa Inggeris kepada Allah dalam Bible
Bahasa Melayu?. Bukankah kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang berbeza
dari segi etimologi dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan
Bahasa-Bahasa itu?.
Alasan Ketiga :
Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan
Islam juga menggunakan lafaz Allah.
Hujah-hujah Menolak:
1) Antara ayat yang
sering dirujuk oleh pihak Gereja Katolik ialah surah al-Ankabut ayat 61:
Maksudnya: Dan
sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik)
itu: Siapakah yang menciptakan langit
dan bumi dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk makhluk-makhlukNya)?.
Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak
dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi
perintahnya)?.
2) Begitu juga surah
al-Maidah ayat 73:Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Kedua-dua ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi
hujah bagi golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah. Ia berdasarkan
alasan-alasan berikut:
i) Dalam surah al-Ankabut ayat 61, al-Quran hanya merakamkan sejauh mana kefahaman masyarakat Arab Jahiliyah menggunakan kalimah Allah. Ia bukan untuk mengiya atau membenarkan penggunaan tersebut. Sebaliknya ia mahu menjelaskan bagaimana kalimah Allah sudah dikenal pasti oleh masyarakat Arab sebelum Islam. Daripada informasi ayat-ayat seperti ini, al-Quran menjelaskan orang Arab Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai:
1. pencipta langit dan bumi;
2. yang memudahkan
peredaran matahari dan bulan;
3. yang menurunkan
air dari langit; dan
4. tempat
menggantungkan harapan
Konsep ini jelas bertentangan
dengan konsep Allah
ii) Manakala
surah al-Maidah ayat 73 pula
tidak boleh menjadi alasan kepada pihak Kristian menggunakan kalimah Allah. Ini
kerana Allah SWT sendiri menafikan golongan yang mengatakan ZatNya itu satu
oknum daripada tiga oknum (triniti). Malah mereka dianggap kafir. Ini bermakna
sebutan Allah yang keluar dari lidah golongan Kristian itu adalah sia-sia dan
tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada kalimah Allah yang
sebenar. Sebagaimana maklum, kalimah Allah merujuk kepada zat (esensi)
yang dinamakan. Sebagai perumpamaan
mudah, perkataan kereta adalah merujuk kepada kenderaan bermotor. Oleh itu.
tiada makna bagi orang yang menggunakan perkataan kereta untuk merujuk kepada
alat menjahit pakaian. Sekiranya ia masih
menggunakan kereta tetapi merujuk kepada alat yang salah, ini bermakna
penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak bermakna.
3) Menjadikan
al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam
menggunakan kalimah Allah, bukanlah satu alasan bagi Gereja Katolik tetapi
hujah bagi umat Islam. Ia melambangkan kegagalan Katolik untuk berhujah
berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam, ini menjadi bukti
bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki fakta-fakta yang utuh dan
konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja Katolik menggunakan al-Quran
sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui Allah sebagai nama tuhan
berbanding hujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu Bahasa. Oleh yang
demikian, fakta-fakta mengenai Allah seperti mana yang dibentangkan oleh
al-Quran juga hendaklah diterima.
Atau adakah Gereja
Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz Allah di dalam al-Quran itu merujuk
kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka Berbahasa Ibrani?. Jika kalimah
Allah dan Elohim itu merujuk kepada hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya
berbeza?. Al-Quran mengatakan Allah itu Masa Esa dan tidak mempunyai anak
sebaliknya Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti. Ini sekali gus
memberi makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten sehingga umat
Islam tidak perlu menterjemahkan kepada mana-mana Bahasa dunia.
Ia berbeza dengan
konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki sumber yang jelas dan
konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan pinjaman daripada bahasa lain
Alasan keempat: Mendakwa bahawa terjemahan dalam Bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan pelbagai etnik dan Bahasa yang ada di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.
Hujah-hujah menolak:
1) Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima. Perlu diketahui Bahasa Bahasa Malaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah Bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah Malaysia belum wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada Bahasa Malaysia ia sudah tentu merujuk kepada Bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada masyarakat Melayu Islam. Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang telah menjadi syiar dan perlembagaan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama yang lain.
2) Memaksakan
penggunaan kalimah Allah dengan kalangan Kristian Katolik yang bertutur dalam
Bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya sudah pasti memberi kesan
negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian. Telah dimaklumi bahawa
kalimah Allah itu adalah kalimah yang didominasi oleh umat Melayu Islam secara
politik dan kebudayaan yang terdiri daripada 60% penduduk Malaysia berbanding
hanya 9.1% penganut Kristian pelbagai mazhab.
Bukankah dengan
penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan kecelaruan dalam kalangan
penganut Kristian Berbahasa Melayu sendiri?. Justeru, penterjemahan yang lebih
tepat seperti Tuhan sepatutnya digunakan oleh Gereja Katolik bagi menjamin
kepercayaan agama Kristian sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.
Alasan Kelima:
Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan dalaman
gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3a) Perlembagaan
Persekutuan.
Hujah-hujah menolak:1) Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam. Di bawah peruntukan ini kerajaan (sama ada kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri) telah menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakman Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9 menyebut; (Melarang seseorang bukan Islam daripada menggunakan perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama bukan Islam.
Perkataan-perkataan
itu termasuklah Allah, Injil, Ilahi, Rasul, Nabi, Wahyu, Iman, Imam, Syariah,
Ulama, Dakwah, Ibadah dan lain-lain. Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa
menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada perkataan god di dalam
Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negara ini.
Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.
Pandangan Tokoh Ulama Luar Negara
Pandangan wakil Al-Azhar (Timbalan Syeikh Al-Azhar) dan Ketua Lujnah Dialog Antara Agama Al-Azhar, Fadhilat Al-Syeikh Abdul Fattah Allam, beliau berpendapat bahawa tindakan Kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat. Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disama ertikan dengan kalimah Rabb yang membawa makna Yang Mewujudkan. Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang Tuhan Yang mereka sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah. Hal ini sudah tentu amat tidak wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.
Pandangan Penasihat
Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abikan
Beliau berpendapat
bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengelakkan
daripada penyalahgunaan nama Allah melainkan hanya kepada Yang Maha Pencipta
(tuhan yang sebenar). Ini kerana terdapat agama-agama lain yang juga
menggunakan kalimah Allah bagi agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah
berhala, oleh itu nama Allah tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan
tuhan-tuhan yang selainNya.
Tokoh Pergerakan
Perlembagaan Islam (Islamic Sonstitutional
Movement) Kuwait, Syeikh
Abdul Hamid Al-Ballali
Beliau menyokong
penuh keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan penganut bulan Islam
menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi tuhan mereka. Beliau beralasan
bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar
bagi kalimah Allah. Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah
umat yang leka. Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebaik-baik umat.
Menurutnya lagi umat
Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada Islam pada hari
ini telah cuba dieksploitasi, disalah guna atau dipesongkan maknanya oleh pihak
tertentu. Ia seperti istilah syahid yang juga diguna pakai bagi penganut bukan
Islam. Istilah riba yang ditukarkan kepada faedah bank. Istilah khamar yang
ditukarkan kepada minuman rohani. Istilah liwat yang ditukarkan kepada istilah
hubungan sesama jenis. Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang fenomena
ini sebagaimana kesedaran yang dipamerkan oleh Kerajaan Malaysia?.
Keputusan Kerajaan
Keputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Malah penggunaan kalimah Allah,Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta P.U(A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59//3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008, memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan I November 2006.
Kesimpulan
Berdasarkan
hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk Kerajaan membenarkan
penggunaan kalimah Allah kepada pihak Kristian. Malah keputusan Kerajaan adalah
selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai
agama bagi Persekutuan. Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa
sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak
seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di
negara ini – jasa.gov.my
No comments:
Post a Comment