Keputusan kerajaan
menghapuskan subsidi gula 34 sen sekilo dalam pembentangan Bajet 2014 merupakan
satu langkah yang telah dijangka lebih awal. Kerajaan telah memberi isyarat sejak beberapa tahun lalu bahawa subsidi gula
tidak mungkin dapat diteruskan selama-lamanya. Sejak beberapa minggu lalu,
tulisan-tulisan mengenai keperluan menghapuskan subsidi gula sudah mula
berkumandang sama ada dari perspektif kesihatan mahu pun kewangan.
Langkah pemansuhan
berkenaan membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM64.02 juta bagi
tahun ini dan RM551.25 juta pada 2014. Angka ini sangat besar kerana ia
membolehkan kerajaan membina puluhan hospital mahu pun sekolah. Dalam masa yang
sama ia diharapkan akan mengurangkan tabiat pengambilan gula secara berlebihan
yang boleh memudaratkan kesihatan.
Walaupun subsidi
telah dihapuskan para peniaga tidak boleh menaikkan harga gula sesuka hati
melepasi RM2.84 sekilogram yang ditetapkan kerana ia masih dikategorikan
sebagai barangan kawalan.
Seperti kata Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek,
“Kerajaan membuat keputusan kurang popular tetapi memberikan keuntungan kepada
rakyat.”
Seiring dengan
langkah penghapusan subsidi, langkah pengawalan terhadap pengimpotan gula juga
harus dihapuskan. Adalah tidak adil kerajaan menghapuskan subsidi tetapi tidak
membuka ruang pasaran gula agar pengguna mempunyai banyak pilihan. Hari ini
hanya ada beberapa pengimpot gula dibenarkan membawa masuk dan mengedar gula di
Malaysia. Ini mudah difahami kerana kerajaan perlu mengawal industri yang
disubsidi ini.
Namun sekarang
kerajaan sewajarnya membuka ruang seluasnya kepada sesiapa sahaja yang berminat
untuk mengimpot gula. Apa yang kerajaan perlu lakukan ialah menentukan harga
siling gula sebanyak RM 2.84 sekilogram. Jika ada syarikat berupaya menjual
gula dengan harga yang lebih murah maka ia merupakan satu keuntungan kepada
pengguna dan juga kerajaan.
Ada bermacam jenis
gula dan pelbagai harga boleh memberi peluang kepada pengguna dan penjual
membuat pilihan yang terbaik untuk mereka. Adalah tidak adil jika kerajaan
masih mengehadkan pengimportan gula kepada beberapa syarikat sahaja atas alasan
untuk melindungi industri gula tempatan.
Hakikatnya, Kerajaan
tidak boleh menarik balik subsidi dan dalam masa yang sama masih mahu
mengenakan kawalan bagi menjaga kepentingan orang lain, dalam kes industri gula
tempatan.
Kadang-kadang
penghapusan subsidi bukanlah sangat buruk jika kerajaan sedia mengubah sistem
sedia ada. Jika kerajaan masih mahu mengekalkan sistem kawalam sedia ada, ia
perlu memberi penjelasan kepada rakyat.
Baca Seterusnya : di sini
No comments:
Post a Comment