Banting: Tamak harta
mengatasi rasa cinta seorang wanita terhadap suaminya apabila dia sanggup
bersubahat merancang pembunuhan teman hidupnya yang dikahwini sejak tiga tahun
lalu selepas gagal mewarisi harta lelaki itu bernilai RM500,000.
Perkara itu
terbongkar selepas polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang
lelaki berusia 62 tahun yang disembelih dan ada beberapa kesan kelar di
belakang badan di rumahnya di Kampung Sungai Sedu, di sini, 5 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah
Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, isteri mangsa pada mulanya
cuba mengabui mata pihak berkuasa apabila berpura-pura meminta bantuan jiran
konon suaminya dibunuh sekumpulan lelaki yang menceroboh rumah mereka.
Bagaimanapun, polis
yang mengesyaki sesuatu menahan wanita berkenaan selepas gagal menemui sebarang
tanda menunjukkan kediaman mereka dipecah masuk lelaki yang dikatakan seramai
20 orang.
“Polis menahan
wanita berusia 50 tahun itu dan hasil siasatan mendapati dia sebenarnya suspek
utama di sebalik pembunuhan suaminya.
“Siasatan polis
mendapati suspek tidak berpuas hati apabila mangsa tidak mewariskan harta
bernilai RM500,000 kepadanya.
“Sebaliknya mangsa
menamakan pewaris harta itu ialah anak hasil perkahwinannya dengan isteri
pertama yang meninggal dunia tiga tahun lalu,” katanya.
Metro Ahad 6 Oktober
lalu melaporkan seorang lelaki diserang dan dibunuh d kejam oleh sekumpulan
lelaki yang mengelar tangan, belakang badan serta menyembelih mangsa di
rumahnya di Kampung Sungai Sedu, 5 Oktober lalu.
Kejadian berlaku jam
3.30 pagi dan mangsa berusia 60-an itu disahkan meninggal dunia di Hospital
Kuala Langat empat jam kemudian akibat kehilangan banyak darah.
Nordin berkata,
siasatan juga mendapati isteri mangsa disyaki bersubahat dengan menantunya
berusia 28 tahun untuk membunuh mangsa.
“Menantu suspek
bersama dua lagi rakannya berusia 19 tahun dikatakan menyembelih mangsa,”
katanya.
Menurutnya,
berikutan kejadian itu, tujuh individu ditahan di Klang pada 7 dan 8 Oktober
lalu sebelum dalang sebenar iaitu isteri mangsa dikenal pasti.
“Difahamkan, suspek
wanita itu ada masalah dengan anak tirinya sedangkan suaminya meletakkan nama
mereka dalam surat wasiat sebagai pewaris harta,” katanya ketika ditemui,
semalam.
Nordin berkata,
polis turut menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa iaitu sebilah
parang, sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau.
Polis juga merampas
sepasang sarung tangan yang digunakan suspek selain sebuah Proton Saga dan
semua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk hari ini.
- HARIAN METRO
Baca seterusnya : di sini
No comments:
Post a Comment