Dua lagi individu yang terbabit dalam
sindiket pukat tunda dalam aktiviti perikanan di perairan negara ini, dituduh
di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menawar dan
memberi suapan kepada anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM) bagi melindungi bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara.
Pengusaha bot, Law Chark Huat, 42 dan
rakannya Muhammad Nooraizuddin Mohammed
Yusoff, 28 dituduh melakukan tiga
kesalahan di bawah Seksyen 17(b) ASPRM 2009 dan satu kesalahan di bawah Seksyen
16(b)(B) ASPRM 2009.
Tiga pertuduhan yang dikenakan membabitkan
kesalahan menawar suapan RM 168,000 kepada anggota penguatkuasa APMM.
Pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat
bersama telah secara rasuah menawarkan suapan sebanyak RM 8,000 Wan Burhanuddin
Jusoh pada 14 Ogos 2013 di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Pertuduhan kedua dilakukan pada 20
Ogos 2013 apabila tertuduh menawarkan suapan wang tunai RM 10,000 kepada
individu yang sama.
Kedua suapan tersebut ditawarkan
sebagai dorongan untuk melindungi bot nelayan Vietnam yang masuk ke perairan
Kelantan bagi menjalankan kegiatan menangkap ikan.
Bagi pertuduhan ketiga, kedua
tertuduh didakwa menawarkan wang tunai RM 150,000 kepada Wan Burhanuddin pada
15 September 2013 sebagai dorongan untuk melepaskan bot KNF 7884 yang ditahan
APMM Tok Bali, Kelantan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen
15(1) Akta Perikanan 1985.
Manakala bagi pertuduhan keempat
kedua tertuduh didakwa dibawah Seksyen
16(b)(A) ASPRM 2009 apabila dengan niat
bersama telah memberikan suapan RM30,000 kepada Izman Alies sebagai deposit
daripada jumlah RM 150,000 yang ditawarkan bagi tujuan melepaskan bot yang
ditahan APMM.
Peguambela kedua tertuduh, Alfred
Egin dalam rayuannya memohon supaya jumlah jaminan terhadap anak guamnya
sebanyak RM 10,000 seorang.
Menurutnya tertuduh pertama, Law
Chark Huat hanya seorang pengusaha bot yang berpendapatan RM 5,000 sebulan.
Manakala Muhamad Nooraizudin pula tidak bekerja dan mempunyai lima orang anak.
Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Rosbiahanin Ariffin menetapkan
jumlah jaminan RM 500,000 dengan seorang penjamin bagi tiga kesalahan yang
dituduh di bawah Seksyen 17(b) ASPRM 2009.
Manakala bagi pertuduhan di bawah
Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009 tertuduh dikenakan wang jaminan RM 100,000 dengan
seorang penjamin.
Sebutan semula ditetapkan pada 8
November ini bagi kesemua petuduhan.
Pendakwaan SPRM diwakili oleh Pegawai
Pendakwa Mohd Nur Lokman Samingan.
Sumber : SPRM
No comments:
Post a Comment