Sunday, November 10, 2013

Minoriti di Tanah Sendiri

Nasib Melayu Islam di Malaysia semakin tidak menentu. Hasil kajian yang dijalankan oleh Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dengan Merdeka Centre For Opinion Research menunjukkan bahawa jumlah rumah ibadah tidak seimbang dengan bilangan populasi penduduk.
Situasi yang berlaku ini mencabar umat Islam. Ianya tidak adil dan bertentangan dengan pernyataan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub perlembagaan perkara 3(1) Islam; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Adil yang dimaksudkan bukanlah konsep sama rata tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini termasuklah jumlah rumah ibadat perlulah berkadaran dengan keperluan penganut sahaja dan tidak berlebihan.

Berdasarkan kepada Buletin Perangkaan Malaysia (terbitan Jun 2006), jumlah penduduk di Malaysia adalah sebanyak 26.64 juta orang. 24.8 juta orang ini, merupakan warganegara Malaysia. Manakala baki 1.84 juta orang lagi merupakan bukan warganegara Malaysia. Daripada 24.8 juta warganegara Malaysia, lebih separuh iaitu 13.48 juta orang (54%) adalah Melayu. (Bancian penduduk dan demografi ini dilakukan sebanyak 10 tahun sekali).

Di Selangor, penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. Orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong. Orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar, manakala, Kristian berjumlah 50,000 dengan 27 buah gereja. Jumlah gereja ini tidak termasuk gereja-gereja yang berada di rumah kedai. Statistik ini tidak termasuk kuil-kuil dan rumah ibadat yang berselerak di sana sini yang tidak didaftarkan.

Logiknya, bilangan masjid dan surau mesti mengatasi semua rumah ibadat yang lain, jika mengambil kira majoriti penduduk Islam melebihi 54 peratus dan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Tetapi keadaan sebenarnya tidak berlaku. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri-negeri lain. Begitu besar bezanya.

Dalam kajian yang dijalankan pihak YADIM pula, pada bulan September 2009, di Kuala Lumpur sahaja terdapat 64 buah gereja, 192 buah kuil Hindu, malah bilangan tokong Buddha mencecah 819 buah, dan hanya ada 59 masjid dan 218 surau/madrasah. (Sumber Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia 2009)

Rumah Ibadah3

Terkini, gereja terbesar dan tercanggih Asia Tenggara bakal bertapak di Malaysia. Gereja ini yang diberi nama CCC atau Calvary Convention Centre sedang dibina bersebelahan Bukit Jalil Golf & Country Club. Sebuah gereja yang terbesar di Malaysia dengan kos pembinaan melebihi RM100 juta tidak termasuk kos tanah RM35 juta. Gereja 6 tingkat ini adalah antara gereja yang tercanggih di dunia. Dengan kapasiti auditoriumnya yang mampu memuatkan 5 ribu orang pada satu-satu masa .

 
Calvary-CCC2

Apa tujuan gereja yang begitu besar dibina di negara ini?

Sedangkan rakyat Kristian lebih ramai di Filipina dan Indonesia.

Sebuah kuil Hindu yang disifatkan unik juga bakal didirikan di Putrajaya, sebaris dengan dua buah masjid yang telah dibina. Kuil ini boleh memuatkan seramai 10 ribu orang dengan ruang pejabat yang turut disediakan. Sedangkan majoriti penduduk Putrajaya adalah beragama Islam, dan penduduk beragama Hindu hanya seramai 1,500 orang.

Kovil-Putrajaya

Inilah nasib umat Islam di Malaysia. Bukan sahaja banyak tanah tergadai untuk pembinaan rumah-rumah ibadat tanpa keperluan ini, malah kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan digugat secara senyap ibarat musuh dalam selimut. Walaupun dikatakan ada garis panduan dikeluarkan tetapi garis panduan itu masih bersifat berat sebelah. Malah bantuan turut diberikan untuk pembinaan rumah ibadat ini oleh pemerintah Islam.

Namun, dalam kecelaruan ini masih ada yang menganggap ia sebagai kebebasan beragama. Tanggapan salah ini tidak seharusnya dipandang sebelah mata kerana ia berkait langsung dengan kedaulatan dan maruah umat Islam sejagat.

Angka dan maklumat di atas adalah pergerakan yang dinilai dengan mata kasar. Namun di sebalik ini, mereka terus bergerak mengedar bible bahasa Melayu di sekolah-sekolah, murid sekolah rendah diajar lagu memuja agama lain, penulisan buku-buku motivasi yang mengandungi dalil rekaan mereka dan mendakwa ianya ayat Al-Quran dan banyak lagi pergerakan mereka yang halus dalam menyebarkan agama.

Apakah ianya berlaku kerana semua pihak terlepas pandang?

Atau toleransi yang keterlaluan?

Atau pihak yang terlibat mempunyai kepentingan tersendiri?

Dan adakah istilah toleransi dalam agama?

Isu tuntutan rumah ibadat ini perlu diteliti dengan baik sebelum menjadi semakin keruh. Ianya isu kritikal. Nasib umat Islam semakin terancam!

Bukan semata-mata kedudukan mereka di Malaysia, malah kedudukan aqidah dalam hati setiap Muslim. Adalah tidak wajar jika pembinaan yang berterusan ini tidak disertai dengan usaha untuk meramaikan pengikut.

Mereka telah menyusun strategi, sedang kita masih terperangkap dengan isu ‘kerusi’. Keluarlah daripada kepompong ini dan binalah kerangka pemikiran untuk kemaslahatan ummah. Pilihlah calon Muslim yang amanah dalam menjaga hak Islam disamping membina perpaduan antara semua kaum seperti yang pernah dibina oleh Rasulullah s.a.w satu ketika dahulu. 
 
Seterusnya : di sini
 

No comments:

Post a Comment