YANG
dicari ialah orang mati kebuluran di Baling tetapi yang di temui
ialah lebih 20 orang pengganas komunis yang keluar dari hutan kerana
mahu membantu orang Baling yang menderita kesempitan hidup akibat
kejatuhan teruk harga getah pada akhir tahun 1974.
Cerita
mati kebuluran itu telah menggemparkan negara berikutan dengan tunjuk
perasaan pelajar-pelajar institusi pelajaran tinggi di Kuala Lumpur
yang diketuai oleh Anwar Ibrahim dari ABIM (Angkatan Belia Islam
Malaysia) diikuti dengan tunjuk perasaan penoreh-penoreh getah di
Baling sendiri dihadapan Menteri Perusahaan Utama Datuk Musa Hitam.
Apabila
seorang pensyarah Universiti Malaya Profesor Zainol Abidin Wahid
turut percaya kepada cerita ini, maka Ketua Pengarang Kumpulan Utusan
Melayu, Mazlan Nordin (Tan Sri) telah mengarahkan saya untuk ke
Baling bagi menjalankan siasatan.
Di
Baling saya mendapati bahwa bukan sahaja ramai orang mempercayai
cerita ini tetapi pengganas komunis dalam hutan juga turut percaya
sehingga mereka berani keluar dengan beruniform dan bersenjata untuk
memberikan bantuan perubatan kepada orang kampung kerana mereka
percaya orang kampung yang sedang menderita pasti akan menyambut
mereka dengan baik.
Sebagai
pemberita saya kira saya cukup bernasib baik pada hari itu kerana
mendapat berita eksklusif di luar jangkaan, komunis keluar dari hutan
tahun 1974 ketika negara berada dalam aman damai dan ketika orang
ramai menyangka gerakan pengganas komunis telah tamat di Malaysia.
Sebelum
saya ke Baling, pelajar- pelajar Universiti Malaya dan institusi
pengajian tinggi lain telah mengadakan tunjuk perasaan secara haram
di Padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dan juga di kawasan
Masjid Negara Kuala Lumpur bagi menyatakan simpati terhadap penoreh
getah di Baling yang menghadapi kejatuhan harga getah. Mereka
mendakwa ada penoreh yang mati kebuluran.
Polis
terpaksa bertindak menahan kepala tunjuk perasaan itu, Anwar Ibrahim
dan Idris Sanusi pada 14 Disember 1974 di bawah ISA.
"Bukan
kerana dia pemimpin ABIM tetapi kerana menghasut pelajar- pelajar
mengadakan demonstrasi haram," kata satu kenyataan polis.
Dalam
tunjuk perasaan itu pelajar pelajar telah membaling batu dan memaki
hamun polis sebagai anjing dan barua kerajaan.
Menteri
Pelajaran ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah mencabar
pemimpin-pemimpin pelajar supaya memberikan nama orang yang didakwa
sebagai mati lapar dan Perdana Menteri Tun Abdul Razak mensifatkannya
sebagai cerita dusta.
Setiba
saya di Baling pada 17 Disember 1974, saya telah menemui Penolong
Pegawai Daerah Baling Abdul Rahim Ahmad dan secara kebetulan apabila
beliau membawa saya ke Rumah Rehat Baling untuk makan tengah hari,
saya telah dapat berjumpa serentak semua orang yang ingin saya temui
kerana mereka berada di situ iaitu Pegawai Polis Daerah Baling Raja
Ahmad bin Raja Badiozaman dan tiga orang doktor dari Hospital Baling
iaitu Penolong Pegawai Perubatan Dr. Tan Ah Hock, Dr. Muthusamy dan
Dr. Indrani.
Ketiga
tiga doktor itu menafikan adanya kes kematian kerana kelaparan
seperti yang digemparkan oleh pelajar pelajar di Kuala Lumpur.
"Saya,
Dr.Muthusamy dan Dr. Indrani tidak menemui kes begini sejak November
lalu tetapi di kampung- kampung di sini memang rara rata orang
miskin,"kata Dr. Ah Hock.
Beliau
seterusnya memberitahu, "Untuk seseorang mati kebuluran akan
mengambil masa beberapa bulan dan dalam proses menemui kematiannya
dia hanya akan tinggal tulang dan kulit sahaja.
"Mustahil
hal ini boleh berlaku di Malaysia, tidak mungkin jika seseorang itu
berada dalam keadaan kebuluran tidak diketahui oleh jiran sebelah
atau sekampung dengannya yang akan membantunya atau melaporkan kepada
pihak berkuasa," kata Dr Ah Hock.
Bagaimanapun
saya tidak berpuas hati dengan kenyataan ini dan saya telah meminta
pertolongan Ketua Pemuda UMNO Baling masa itu Hussein Mohd Zain untuk
membawa saya ke kawasan paling miskin di Baling untuk mencari
mendapat bukti orang mati kebuluran dan juga untuk melihat sendiri
penderitaan rakyat akibat penurunan harga getah ke paras paling
rendah sehingga ke 15 sen sahaja sekati dari paras harga biasa antara
25 sen hingga 60 sen sekati.
Penoreh
Kehidupan
para penoreh getah di sini benar benar tertekan kerana harga barangan
keperluan meningkat dan harga sekati getah turun hingga kepingkat
lebih rendah dari harga sekati gula iaitu 25 sen (sekati getah 15
sen).
Maka
apabila pelajar-pelajar dari Kuala Lumpur masuk ke kampung kampung di
Baling dan ke daerah yang berhampiran Sik dan Jeniang menghasut
penduduk melancarkan "mogok lapar" bagi membantah penurunan
harga getah, secara sepontan lebih 10,000 orang telah keluar
berhimpun di hadapan Pejabat Daerah Baling yang berhampiran dengan
Masjid Baling sempena kedatangan Menteri Perusahaan Utama Musa Hitam
yang diutuskan khas oleh Tun Abdul Razak bagi menyelesaikan masalah
penurunan harga getah itu.
Mereka
mengadakan tunjuk perasaan hingga merempuh pintu pagar Pejabat Daerah
Baling dan menurunkan bendera negeri Kedah dari tiang bendera di
hadapan pejabat itu dan menaikan seberkas ubi kayu yang diikat pada
tali bendera. Sesetengah mereka membawa parang dan cangkul.
Dua
orang yang turut serta dalam tunjuk perasaan itu ketika usia mereka
masih muda telah menceritakan semula pengalaman mereka apabila saya
temui di Baling baru baru ini. Mereka ialah Roslan Ahmad dan Pegawai
Jasa Baling (Jabatan Hal Ehwal Khas) Haji Mohd Othman Mohd Noor.
"Ketibaan
Musa dengan helikopter telah mereka sambut dengan jeritan Musang
Hitam! Musang Hitam!." kata Roslan.
Beberapa
orang penunjuk perasaan yang membawa parang dan cangkul telah ditahan
oleh polis.
Setibanya
dengan helikopter di kawasan tunjuk perasaan itu, Musa telah
mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Pegawai Daerah, pegawai
pegawai kerajaan,penghulu dan juga pegawai polis.
Musa
tidak mempedulikan nasihat mereka supaya jangan bertemu dengan
penunjuk perasaan sebaliknya beliau berjalan seorang diri ke arah
orang ramai tanpa diiringi oleh polis sambil mengangkat tangan kepada
mereka. Ini menyebabkan teriakan "musang hitam" semakin
kendur.
Musa
berjaya menenangkan suasana dan menyuraikan tunjuk perasaan itu
apabila dalam ucapannya beliau menyampaikan jaminan Tun Abdul Razak
bahawa harga getah akan dinaikan serta merta.
Disamping
itu beliau juga memberitahu penunjuk perasaan yang ditahan akan
dibebaskan segera dan kenderaan akan disediakan bagi menghantar
pulang penunjuk-penunjuk perasaan yang telah berjalan kaki begitu
jauh untuk menyertai perhimpunan di Baling, antara mereka ialah
penoreh getah dari Sik dan Jeniang.
Saya
meninjau ke Baling selepas peristiwa tunjuk perasaan itu.Cerita
kesusahan hidup yang saya dengar di Kampung Weng Dalam dan juga di
Kampung Tanjong Pari amat menyedihkan. Penoreh-penoreh getah di
kampung ini turun rumah pada pukul lima pagi untuk menoreh hingga
pukul 11 pagi dengan hanya mendapat kira kira lima puluh sen sahaja
sehari.
Mereka
terpaksa membuat kerja-kerja lain untuk menambahkan pendapatan tetapi
peluang kerja sangat terbatas masa itu kecuali memancing ikan,mencari
kayu api atau mengutip akhbar lama dan botol untuk dijual. Ada juga
yang bercucuk tanam di tanah pinggiran sungai tetapi tidak
mendatangkan hasil segera.
Saya
mendengar cerita anak anak yang dipukul oleh tuan tanah kerana
mencuri rambutan di kebun mereka untuk dimakan kerana kelaparan.
Beberapa
orang di Kampung Pari berjalan kaki empat lima jam untuk masuk ke
hutan mencari bijih yang mendatangkan hasil hanya antara RM 50 hingga
RM 60 sahaja untuk hidup beberapa hari dan kemudian masuk ke hutan
lagi.
Penolong
Pegawai Daerah Baling Abdul Rahim Ahmad memberitahu, kesempitan hidup
menyebabkan orang kampung menjadi lebih rajin, berkerja keras dan
lebih kreatif.
Dia
bertanya kepada saya, "Apakah orang Melayu malas sekiranya
mereka sanggup menunggu berjam-jam memancing untuk mendapat seekor
ikan. Yang perlu ialah mereka disalurkan kepada kerja yang lebih
produktif."
Meninjau
Saya
telah meninjau hampir seluruh kawasan paling miskin termasuk mereka
yang tidak bertanah yang tinggal di kawasan tanah pinggir tepi sungai
menuju ke Tanjong Pari tetapi tidak juga menemui orang mati kebuluran
sebaliknya saya diberitahu oleh Hussein Mohd Zain yang memandu saya
bahawa pengganas komunis telah keluar di Batu 8 Weng baru-baru ini.
Hussein
bercerita hal ini secara bersahaja tetapi bagi saya ini adalah suatu
berita besar yang memerlukan pengesahan segera dan ada kena mengena
dengan kemiskinan di Baling.
Ketika
negara berada dalam keadaan aman damai setelah lebih sepuluh tahun
darurat diisytiharkan tamat maka kehadiran pengganas komunis di
tengah-tengah masyarakat kampung adalah luar biasa.
Saya
seperti tidak percaya terus bertanya kepada Hussein, benarkah? Benar,
katanya dan membawa saya menemui sendiri salah seorang dari orang
kampung di Batu 8 Weng yang turut dalam pertemuan dengan pengganas
komunis itu.
Berita
ini seterusnya telah disahkan oleh Pegawai Polis Daerah Baling, Raja
Ahmad Raja Badiozaman yang agak terkejut kerana saya telah
mengetahuinya. "Di mana saudara tahu," tanya beliau ketika
saya datang ke rumahnya lewat petang untuk mendapatkan pengesahan.
"Orang
kampung di Weng beritahu," kata saya. Beliau menjemput saya naik
ke rumahnya, menjamu laksa dan mengesahkannya.
Menurut
beliau lebih 20 orang pengganas komunis telah keluar dari hutan
dengan beruniform dan bersenjata, membawa kamera, alat perakam dan
memberikan ubat-ubatan kepada orang kampung. Ini menjadi berita
eksklusif Utusan Melayu yang menggemparkan tanah air.
Kira-kira
18 tahun sebelum itu Baling telah mencatitkan sejarah apabila
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan dua orang
kanannya Rashid Maidin dan Chen Tien telah keluar dari hutan untuk
mengadakan rundingan bagi mencari perdamaian dengan Ketua Menteri
Malaya Tunku Abdul Rahman Putra tetapi perundingan itu gagal.
Nyatalah
kebijaksanaan pemimpin-pemimpin pelajar mengekploitasi cerita mati
kebuluran itu tidak sahaja menyakinkan rakyat biasa tetapi sampai
kepada pengganas komunis yang masih berjuang di dalam hutan. Tetapi
saya dimaklumkan oleh penduduk penduduk setempat bahawa pada masa itu
ramai ejen- ejen komunis yang tinggal dalam bandar Baling.
Keadaan
kemiskinan di Baling masa itu telah diburukkan lagi oleh kerana
pegawai- pegawai kerajaan dan agensi agensi kerajaan yang
bertanggungjawab tidak berperanan dengan berkesan untuk mengubah
system sosial di kalangan masyarakat setempat dan tidak sensitif
kepada keadaan sekitar yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
Saya
mencatatkan dalam siri tinjauan saya yang disiarkan oleh selama tiga
hari berturut-turut dari 5 hingga 7 Januari 1975 bahawa, "Keyakinan
terhadap sesuatu kerja hanya dapat ditanam di kalangan orang kampung
sekiranya mereka telah melihat hasilnya. Jika tidak mereka akan
kembali kepada cara hidup tradisi.
"Saya
sama sekali tidak melihat keadaan kemiskinan di Baling dengan
perasaan putus asa dan kecewa kerana saya menyedari akan kesanggupan
besar yang ada pada negara baik dari segi kewangan, tenaga dan
jentera kerajaan sendiri untuk mengatasinya."
Baling
sekarang bukan lagi merupakan daerah termiskin di negeri Kedah
sebaliknya telah banyak berubah menjadi sebuah daerah yang pesat
membangun , penuh dengan bangunan-bangunan baru, pejabat kerajaan dan
kedai perniagaan yang beraneka dengan persekitarannya yang indah. Ia
juga terkenal dengan tempat percutian air panas Ulu Legong.
Bagaimanapun
yang tetap tidak berubah ialah bekas pemimpin pelajar yang memimpin
tunjuk perasaan pelajar lebih 30 tahun dahulu. Walaupun realiti
negara telah berubah, kerajaan telah menukarkan anak petani nelayan
dan orang kampung menjadi orang terpelajar, profesional, ahli
perniagaan dan sebagainya tetapi dia masih berada di jalan-jalan raya
untuk kerja yang sama dengan menggunakan pelbagai isu rakyat yang
real, rekaan dan juga imiginasi.
Beliau
memang mempunyai kepakaran dan kecekapan mengeksploitasi isu yang
kecil menjadi besar, yang hitam menjadi putih , kekarutan menjadi
kebenaran malah berjaya menutup kehinaan dan dosa dari satu
pementasan ke satu pementasan.
Credit Arkib Utusan
No comments:
Post a Comment