Jawapan mengenai persoalan kenapa Pesawat MH 370 tidak diishtiharkan terhempas.
Pesawat Boeing 777-200 milik
Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing yang
hilang sejak awal pagi Sabtu sehingga lewat petang masih belum lagi dapat
disahkan nasibnya.
Apa yang menimpa pesawat yang
membawa 239 penumpang dan anak kapal itu menjadi spekulasi orang ramai yang
memulakan hari minggu mereka dengan berita yang mengejutkan itu.
Kebanyakan laporan media menyebut
pesawat itu dipercayai terhempas di perairan Laut China Selatan, berdasarkan
kepada lokasi akhir pesawat berkenaan dikesan melalui sistem perhubungan
penerbangan.
Tetapi kenapakah pihak berkuasa
belum mengesahkan laporan tersebut?
"Memang secara umumnya,
siapapun boleh mengatakan pesawat itu terhempas tetapi kalau terhempas di
manakah bangkainya?
"Hanya kalau ada bangkai
pesawat ditemui barulah pesawat itu boleh disahkan sebagai terhempas,"
kata seorang pakar penerbangan kepada Astro AWANI.
Beliau yang enggan dikenali
mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam soal kawalan trafik udara serta selok
belok operasi mencari dan menyelamat.
Penerbangan MH370 terputus
hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi,
awal Sabtu, dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA). Ia membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal
dari 14 buah negara. Ia sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Beijing
pada pukul 6.30 pagi.
Ditanya bagaimanakah pesawat itu
boleh hilang daripada radar, pakar berkenaan menjelaskan, ada kemungkinan
pesawat itu terbang rendah pada paras bawah 500 kaki dari aras laut.
"Ada dua jenis radar yang
digunakan iaitu radar pengawasan utama dan radar pengawasan sekunder,"
katanya.
Radar pengawasan utama mengukur
hanya jangkauan dan arah kompas dengan mengesan isyarat kelip pada skrin. Radar
pengawasan sekunder pula sebaliknya tidak hanya mengesan maklumat yang sama
tetapi boleh mengesan maklumat lain seperti paras ketinggian penerbangan dan
identiti pesawat.
Tambah pakar itu, biarpun
terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik, kedudukan pesawat itu masih
boleh dikesan sekiranya ia terhempas kerana dilengkapi dengan sistem lampu suar
tanda lokasi (emergency locator beacon) yang akan mengeluarkan isyarat apabila
terhempas.
"Sistem ini kalis air.
Maknanya, kalau pesawat terhempas ke dalam laut sekali pun ia akan dapat
dikesan," katanya.
Jelas beliau, apabila pesawat
itu terkena impak baik di darat mahupun di laut, sistem itu akan terus
mengeluarkan isyaratnya.
Di kalangan pemerhati industri
penerbangan, insiden MH370 mengingatkan kepada nahas pesawat jenis Airbus
330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de
Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun
kemudian.
MH370 dipandu oleh juruterbang
Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun, yang berpengalaman mencatatkan jam
penerbangan selama 18,365 jam. Beliau menyertai Malaysia Airlines pada 1981.
Zaharie dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid, 27 tahun, yang menyertai
Malaysia Airlines pada 2007.
Sementara itu bekas Pengarah
Urusan Penerbangan MAS, Tan Sri Abdul Aziz berkata penjelasan mengenai insiden
ini perlu dibuat dengan berhati-hati dan maklumat yang lengkap kerana ia
membabitkan implikasi perundangan.
Sedikit penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung isu penerbangan MH370, untuk difikirkan bersama:
1. Penumpang Pelbagai Negara
Kita perlu ingat bahawa dalam
pesawat MH370 tersebut terdapat lebih 15 kewarganegaraan dengan kapasiti
sebanyak 227 orang. Hal ini sebenarnya memberikan sedikit sebanyak tekanan
kepada pihak MAS untuk memberikan maklumat terkini kepada wakil Kedutaan / Konsulat
masing-masing.
Mungkin sesetengah Kedutaan
mahukan maklumat segera dan pantas apatah lagi dalam keadaan lebih 17 jam
pesawat yang masih belum ditemui, juga menyumbang kepada kelewatan dan
kesukaran menyalurkan maklumat terkini. Fahamilah keadaan.
2. Hubungan Diplomatik
MH370 hilang di perairan dan di
ruang udara Vietnam, dan dalam konteks ini MAS bertindak dengan berhemah dalam
menjaga hubungan diplomatik antara negara.
Kita tidak boleh
sewenang-wenangnya mengambil pendekatan sendiri walaupun pesawat tersebut
adalah milik negara kita. Sebab itulah hubungan bilateral diperlukan, kini
pihak Kerajaan Vietnam sudah menggerakkan jentera menyelamatnya (Angkatan Laut
Vietnam) ke perairan yang disyaki tempat kehilangan MH370.
Apabila pihak lain menjadi peneraju
utama dalam misi, sudah pasti akan wujud beberapa prosedur tertentu yang
digunakan oleh pihak berkenaan sebelum menyalurkan maklumat terkini kepada
kita. Dalam ertikata lain ; "Lain tempat lainlah cara penyampaian",
jadi memang perlu bersabar dalam perkara ini.
3. Misi Melibatkan 5
Negara
Misi mencari dan menyelamat
telah pun digerakkan, Malaysia melalui Agensi Maritim dan aset ATM sudah berada
di perairan berkenaan.
Terkini dilaporkan oleh Astro
Awani, Maritim Malaysia tidak menjumpai sebarang objek pesawat MH370, manakala
Vietnam melalui Angkatan Tentera Laut negara itu menafikan sudah menjumpai
pesawat malang itu malah mereka dalam situasi mencari dan terus mencari di
sekitar Pulau Vung Tau tempat di mana kali terakhir radar negara itu mengesan pergerakan
MH370.
Manakala China juga sudah
menggerakkan aset pertahanan laut atas arahan Presiden Xi Jinping untuk misi
mencari dan menyelamat.
Singapura sudah menghantar
pesawat C130 untuk misi bantuan manakala Amerika Syarikat juga menghantar
bantuan kapal penyelamat ke pengairan terbabit.
Bayangkan keadaan misi
menyelamat apabilan digerakkan dan disepadukan dengan pelbagai negara, sudah
tentu penyaluran sebarang maklumat terkini mesti dikoordinasikan agar tidak
menjejaskan proses penyiasatan sebab dan musabab "kehilangan" MH370.
Sekecil-kecil bukti sudah boleh
menjadi petunjuk utama atas kejadian ini.
4. Tidak Semudah Yang Dijangka
Misi mencari dan menyelamat
tidaklah semudah yang disangka memandangkan ia berlaku di kawasan lautan yang
luas dan menjadi rebutan antara negara. Jadi, hentikanlah sebarang spekulasi
dan tohmahan.
MAS dan pihak penyelamat sedang
berusaha sedaya upaya mungkin, saya pasti mereka bekerja keras untuk memastikan
MH370 dapat ditemui semula.
5. MAS Tetap Dihati
Kali terakhir MAS mengalami
'major incident' ialah pada tahun 1977 di Tanjung Kupang melibatkan 100 korban
nyawa.
Selepas kejadian itu, MAS tidak
pernah mengalami 'major incident' dengan korban mangsa yang besar selama 37
tahun, dalam ertikata lain MAS mencapai piawaian keselamatan pesawat yang
kompeten dan diiktiraf oleh ICAO di samping pengemudian pesawat oleh
juruterbang yang berpengalaman luas.
Bagaimanapun, secanggih mana
sesebuah pesawat, sebarang kesilapan kecil pun boleh mengundang padah. Hanya
takdir menentukan segala-galanya.
Salam takziah untuk semua
keluarga mangsa MH370 dan yang pastinya MAS tetap dihati.
Dato' Abdul Rahman Dahlan
No comments:
Post a Comment