Dalam
ilmu politik dan sosiologi, pecah dan perintah (atau dalam bahasa
Inggeris divide and rule; istilah asalnya dari bahasa Latin divide et
impera) ialah satu strategi yang menggabungkan tiga elemen iaitu
politik, ketenteraan dan ekonomi.
Ketiga-tiga
elemen itu bergabung bagi menguasai dan memelihara kuasa yang ada
dengan memecahkan pengaruh dan kuasa yang besar kepada kecil-kecilan.
Ini akan mengakibatkan kuasa kumpulan yang berpengaruh atau berkuasa
itu berkurangan, berbanding pihak yang melaksanakan strategi itu.
Secara
praktisnya, strategi ini digunakan untuk mengelakkan kumpulan kecil
ini bergabung dan membentuk kuasa yang besar (atau sebaliknya).
Strategi
ini pernah dilakukan oleh pihak British ke atas Tanah Melayu.
Memecahkan kaum-kaum dan negeri-negeri yang ada dengan meletakkannya
dalam koloni dan sistem pemerintahan yang berasingan bagi memudahkan
pihak Inggeris memerintah pada waktu itu.
Kemudian
parti Perikatan, yang mengambil alih kekuasaan negara ini mengamalkan
strategi itu apabila parti-parti yang mewakili kaum-kaum terbesar
digabungkan - dengan mengetepikan parti-parti lawan yang enggan
bersama mereka.
Perikatan
kemudiannya ditukar menjadi Barisan Nasional (BN) dan strategi itu
kekal berjaya sehingga hari ini, selama 52 tahun.
Ia
bertahan kerana orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat negara
ini menguasai kuasa politik dan ketenteraan tanah air. Orang Melayu
bergabung dengan kaum-kaum lain (Cina dan India) bagi membentuk satu
kuasa yang kuat. Ia dibuat atas dasar hormat-menghormati dan
percaya-mempercayai yang telah dimeterai atas ikatan Perlembagaan
Persekutuan termasuk beberapa dasar yang dibentuk kemudiannya.
Walaupun
ada sedikit masalah pertelingkahan kaum di pertengahan jalan, namun
ia berjaya diselesaikan. Masing-masing lupa dengan perbezaan
masing-masing dan semua pihak dalam pakatan itu berjaya menjana
negara ini sehingga Malaysia di anggap negara yang makmur dan mewah.
Namun,
apakah strategi 52 tahun itu masih mampu bertahan? Secara akademik ia
sudah mulai lemah.
Strategi
pecah dan perintah itu mulai gagal setelah kuasa politik yang
dipegang oleh orang Melayu itu mulai berpecah. Melayu tidak sepadu
dulu lagi. Mereka sudah berpecah kepada beberapa kumpulan.
(Baca Cuit: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah
minoriti (25 Mac 2009), ia mengandaikan Melayu sudah berpecah
enam.
Pilihan
raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak
pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang Cina boleh
menguasai kuasa politik di negara ini.
Ia
hanya boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang
marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada
parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.
Protes
itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti
berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini.
Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah
Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah
Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika
Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar
Pantai Barat 'emas' Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.
Jika
ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik
pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya
berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin
sudah boleh di agak.
Secara
akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa
ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada pilihan
raya umum ke-13 kelak, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib
mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah
berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah di kalangan orang
Melayu.
Orang
Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan
fahaman masing-masing. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR dan
segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan,
keislaman dan keadilan mereka.
Orang
Melayu tidak sedar yang mereka sedang diperkotak-katikkan untuk
membenci antara satu sama lain dan antara sekutu-sekutu yang dulunya
bersama mereka.
Tiba-tiba
orang Melayu bermusuh dengan orang Cina dan orang India. Sama ada ia
disengajakan atau tidak atau wujud permainan dalaman atau luaran itu
tidak pasti, tapi usaha-usaha untuk mewujudkan kebencian antara
Melayu dan kaum-kaum lain semakin nyata sekarang.
Strategi
pecah dan perintah serta pecah dan tawan (divide and conquer) kini
berada dalam tangan pihak pembangkang. Mereka sedang bermain dengan
strategi itu. Mereka sedang menguasai keadaan dengan sebaik mungkin.
Orang Melayu yang tidak sedar dengan permainan itu turut serta dalam
percaturan itu. Mereka gagal melihat muslihat di sebaliknya.
Strategi
yang sama pernah dimainkan oleh sebuah pihak luar dan ia berjaya.
Pihak yang dominan berpihak dengan satu kumpulan minoriti untuk
mengetepikan satu lagi puak yang majoriti sedikit daripada puak
minoriti itu. Kedudukan tinggi diberikan kepada puak minoriti itu
dengan alasan puak majoriti tidak berupaya memegangnya. Sedikit demi
sedikit puak yang ditekan itu terpaksa beralah. Akhirnya sehingga
hari ini puak majoriti itu terpaksa melukut di tepi gantang. Ia
adalah satu model strategi pecah dan perintah yang cukup licik untuk
meminggirkan satu-satu puak.
Orang
Melayu kini sedang mengalami proses tersebut. Kita sedang bermusuh
dengan orang Cina yang pernah bersahabat baik dengan kita. Kita
sedang bermusuh dengan orang India yang pernah bersahabat karib
dengan kita. Tiba-tiba semua ini berlaku secara serentak. Orang
Melayu sedang bermusuh dengan semua orang.
Ditambah
lagi, ada pula pihak-pihak bermain dengan perang psikologi dengan
sengaja menuduh orang Melayu adalah kaum yang rasis dan perlu dilawan
habis-habisan. Golongan ini tahu apa yang mereka sedang mainkan.
Suasana baik itu perlu dipecahkan kerana selagi perikatan itu kuat,
pakatan tidak boleh berbuat apa-apa.
Di
masa pengundi-pengundi Cina (dalam pilihan raya kecil) lari dari
kerajaan pemerintah kerana melihatkan mereka ada advantage ekoran
pilihan raya umum ke-12 lalu, orang India pula cuba dilaga-lagakan
dengan Melayu.
Sama
ada ini kebetulan atau tidak, kita tidak tahu. Tapi jika betul dan
akhirnya orang India juga lari dari Melayu, maka pada masa itu
gabungan peratusan undi Cina dan India akan menjadi penentu kepada
kuasa politik tempatan. Orang Cina dan India akan bergabung untuk
mengetepikan Melayu.
Tanpa
disedari, para strategis ini (dalaman atau luaran) sedang mengatur
strategi baru. Setelah melihat permusuhan Melayu-Cina-India sudah
berjaya diwujudkan, mereka kini menuju kepada kumpulan yang lain
pula. Mangsa seterusnya ialah anak-anak negeri dan etnik pribumi -
Orang Asli, pribumi Sabah dan Sarawak.
Jika
itu juga berjaya dan apabila kumpulan itu pula mula membenci orang
Melayu atau orang Melayu juga membenci mereka, maka ia adalah penamat
bagi segala-galanya. Orang Melayu pada masa itu akan turut melukut di
tepi gantang.
Strategi
pecah, perintah dan tawan oleh pembangkang nampaknya sedang
berlangsung dengan sempurna. Ia adalah permainan taktikal dan akal.
Yang alpa akan tewas.
No comments:
Post a Comment