Thursday, October 2, 2014

Hujah Mansuh Akta Hasutan Tidak Konkrit


Masyarakat kita kini secara luarannya sudah agak serasi berkenaan undang-undang. Namun, jujurnya saya belum begitu pasti tentang golongan terbanyak. Undang-undang adalah subjek yang memerlukan pengetahuan khusus. Persoalan teknikalnya tidak mudah digarap oleh masyarakat terbanyak. Mungkin benar sekiranya dikatakan hanya golongan ‘elit’undang-undang di ruang ‘urban’ dan ‘global’, terutamanya para peguam, dilihat begitu tinggi oleh khalayak mengenai perbahasan undang-undang.
Dalam perkembangan terbaru, Akta Hasutan menjadi topik serius. Saya pernah menulis dalam ruangan ini bahawa hujah memansuhkan Akta Hasutan tidak konkrit. Tiada bukti Akta Hasutan ini sudah tidak relevan lagi. Belum terbukti masyarakat kita akan aman sejahtera tanpa undang-undang yang mengawal tindakan luar batasan masyarakat majmuk. Belum pasti juga undang-undang yang akan menggantikannya menepati keperluan kita.
Saya tidak menolak fakta ada kalanya penggunaan Akta Hasutan menzahirkan tanda tanya, atau dilihat mengongkong, contohnya para akademik atau mereka yang berautoriti, untuk menyampaikan pendapat profesional mereka. Tetapi kita perlu ambil perhatian, Akta Hasutan tidak menafikan hak dianggap tidak bersalah. Justeru, ia tidak bercanggah dengan falsafah pentadbiran keadilan.
Persoalan tentang penggunaannya bukan hujah konkrit untuk menolak kerelevanan Akta Hasutan.  Pastinya Akta ini diperlukan sekiranya hasutan benar berlaku, umpamanya gerakan pemisahan atau pengapian permusuhan kaum atau agama.
Hujah bagi pemansuhan Akta Hasutan, antara lain ialah, ia menyekat kebebasan bersuara. Memang benar kebebasan bersuara penting dalam demokrasi. Namun ia bukanlah kebebasan mutlak. Kebebasan ini terikat dengan syarat yang jelas dalam Perlembagaan, termasuklah keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Dalam konteks ini saya berpendapat hujah pemansuhan Akta Hasutan itu belum lagi konkrit kerana tidak terdapat perkara yang menunjukkan bahawa ‘kecenderungan menghasut’ itu tidak menepati syarat-syarat atau salah satu syarat dalam Perlembagaan. Dengan kata lain, Akta Hasutan ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Isu perkenan majlis raja-raja untuk pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan adalah satu persoalan undang-undang yang perlu diperkata, dibahas dan diputuskan di Mahkamah. Ini adalah antara isu undang-undang yang dibawa oleh Majlis Peguam dalam hujah mereka bagi  pemansuhan Akta Hasutan. Mereka berhujah bahawa perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5) tidak diperlukan. Saya masih berpendirian ia memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5) itu.
Saya fikir masyarakat memerlukan pemahaman lebih mendalam mengenai isu ini. Bagi maksud itu, undang-undang yang diluluskan sebelum merdeka dinamakan Enakmen. Undang-Undang yang diluluskan semasa darurat dinamakan Ordinan, manakala undang-undang yang diluluskan selepas merdeka (bukan dalam keadaan darurat) dinamakan Akta. Undang-undang, sebelum Merdeka (Enakmen) atau yang diluluskan semasa darurat (Ordinan), boleh disemak semula oleh Parlimen. Setelah disemak semula dan diluluskan oleh Parlimen, Enakmen atau Ordinan tersebut menjadi Akta.
Walaupun Akta Hasutan itu asalnya Enakmen (Enakmen 13/1939), kemudiannya Ordinan (Ordinan 14/1948) yang diluluskan sebelum merdeka, ia telah disemak semula dan diluluskan, menjadi Akta 15/1970 dengan nama Akta Hasutan, beroperasi  mulai 14 April 1970.
Persoalannya, adakah Akta Hasutan ini masih satu undang-undang sebelum Merdeka setelah dijadikan Akta pada tahun 1970? Tambahan pula, pengisian Akta tersebut, terutamanya Seksyen 3(f) telah disesuaikan dengan kehendak Perkara 10(4) Perlembagaan. Pada pendapat saya ia adalah Akta yang diluluskan selepas merdeka, bukan lagi undang-undang sebelum merdeka.
Sebagai pilihan, kalaupun ia masih undang-undang sebelum merdeka, Akta itu hendaklah diselaraskan dengan Perlembagaan menurut Perkara 162. Justeru, pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan adalah tertakluk kepada Perkara 159(5) dan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
Dalam keadaan semasa, adakah kita pasti ‘hasutan’ tidak berlaku? Pernyataan berbaur hasutan banyak dilihat atas talian. Kita tidak boleh pandang remeh hal ini. Pengalaman negara lain hendaklah dijadikan tauladan dan sempadan. Kita tidak boleh terlalu ideal dalam hal sebegini kerana sesungguhnya tiada nilai universal berkenaan jaminan kestabilan sesebuah negara, termasuklah negara kita. Undang-undang keselamatan perlu dicorak mengikut keperluan kita. Kita tidak boleh bergantung kepada nilai yang dilabelkan universal seperti kebebasan bersuara itu. Kita mesti mengenal fabrik masyarakat, kelemahan dan kekuatan kita menggunakan acuan kita.

No comments:

Post a Comment