SEJAK
setahun lalu, beberapa penerbitan antarabangsa tertentu nampaknya
memberi tumpuan luar biasa terhadap Malaysia. Lazimnya, kita pasti
berbangga apabila akhbar seperti The Wall Street Journal (WSJ) dan
New York Times (NYT) memberi ruang luas bagi liputan berkaitan
Malaysia.
Bagaimanapun,
ia bergantung sama ada laporan mereka tidak berat sebelah, selari
dengan protokol kewartawanan yang diperakui dan bertujuan memberi
maklumat kepada pembaca berhubung isu penting buat mereka.
Bagaimanapun, seperti diduga sebahagian besar daripada kita ialah
Kempen Anti-Najib menggunakan media barat ini sebagai antara
pengisian kempen bermotif politik untuk menjatuhkan Najib, tanpa
menghiraukan kesannya terhadap ekonomi Malaysia, kerajaan dan
reputasi antarabangsa.
Ternyata
kini, itu adalah keadaan sebenarnya. Sebagai contoh, lihat saja WSJ
dan Editor Ekonomi Asia akhbar itu, Tom Wright. Penghujung Disember
tahun lalu, Wright ditanya mengenai laporan berterusan dan
agresifnya mengenai 1MDB. Beliau menjawab: "Laporan kami bebas
dan perlu ditegaskan, tanpa sebarang agenda".
Benarkah
begitu? Jika Wright tidak mempunyai agenda, seharusnya beliau
sebagai Editor Ekonomi Asia WSJ menulis mengenai pelbagai topik
sepanjang lapan bulan lalu. Asia adalah benua besar dan menaungi
beberapa ekonomi besar dunia. Sebagai Editor Ekonomi Asia, pastinya
Wright wajar memberi maklumat terkini berhubung perkembangan
perniagaan dan kewangan pelbagai negara buat pembacanya.
Sebagai
contoh, Editor Asia Financial Times (FT), David Pilling, banyak
menghasilkan artikel mengenai China, Myanmar, ASEAN, India, Jepun
dan Singapura serta Malaysia sejak Julai lalu - seperti mana
sepatutnya. Bagaimanapun, Wright memilih untuk tidak menghiraukan
apa yang berlaku di Asia sepanjang lapan bulan lalu. Setiap artikel
yang ditulisnya sejak Jun 2015 hingga bulan lalu adalah berkaitan
Malaysia - lebih spesifik, mengenai 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
Tidak
pernah sekalipun beliau mengalihkan tumpuan kepada isu lebih besar
di benua ini. Seorang editor akhbar tidak akan membiarkan
korespondennya mengabaikan kawasan liputan seperti mana dilakukan
Wright. Bagaimana beliau boleh dibenar meneruskan apa yang kelihatan
seperti obsesi itu selama ini? Tweet yang dimuat naik oleh bekas
koresponden WSJ di Kuala Lumpur, Jason Ng, pada 31 Disember lalu
memberi petunjuk ke arah itu.
"I
think we could all agree 2015 is the year of WSJ v Najib/1MDB. So,
who won?" (Saya rasa kita boleh bersetuju bahawa 2015 adalah
tahun WSJ menentang Najib/1MDB. Jadi, siapa yang menang?). Sebuah
akhbar bebas yang sah dari negara luar tidak akan mengisytiharkan
perang terhadap kerajaan negara lain. Dalam membuat liputan berita,
istilah 'yang menang' dan 'yang kalah' tidak wujud.
Apabila
istilah 'menang' ditimbulkan, ia jelas membuktikan WSJ bukannya
membuat laporan tetapi menyebelahi agenda lawan politik - hakikat
mengejutkan bagi sebuah akhbar yang kerap meletakkan kedudukannya
sebagai penanda aras terbaik bagi kewartawanan. Akhbar (dan
wartawan) yang bertanggungjawab perlu mendengar pandangan semua
pihak, sebelum mengemukakan fakta.
Fakta
yang boleh dibuktikan kesahihannya - asas kewartawanan yang
nampaknya tidak terpakai bagi Tom Wright dan WSJ seolah-olah
langsung tidak mengambil tindakan mengenai perkara itu. Sebaliknya,
apa yang dilakukan oleh Wright dan WSJ ialah mengitar semula
pelbagai dakwaan lama yang sudah dijawab. Sekali lagi, mereka
melakukannya tanpa bukti untuk menyokong semua tuduhan liar itu.
Malah,
setiap dakwaan Wright dipetik daripada 'pihak yang arif dalam
perkara ini', 'pegawai yang tidak dinamakan', 'penyiasat
antarabangsa yang tidak dinamakan' dan 'pihak yang mengetahui
mengenai siasatan'. Selain pelbagai dakwaan mengarut yang disiarkan,
satu-satunya perkara konsisten dalam siri laporan WSJ itu ialah
hakikat tiada langsung individu bernama menjadi sumber 'bukti' yang
dikemukakan.
Langkah
menggunakan sumber tidak bernama dan mengetepikan fakta diketahui
umum jelas bertentangan dengan prinsip asas kewartawanan yang baik.
Justeru, mengapa editor WSJ membenarkannya berlaku? Kesediaan WSJ
menerima setiap tawaran pembangkang untuk memburuk-burukkan keadaan
sebenarnya tidak terlalu mengejutkan.
Sejak
sekian lama, akhbar itu menjadi penyokong kuat Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan banyak menyiarkan artikel mengenai rakan Amerika Anwar
seperti Al Gore - pemimpin yang menghina Malaysia dalam kunjungannya
sebagai Naib Presiden pada tahun 1998 - dan Paul Wolfowitz,
neokonservatif yang menjadi antara perancang utama pencerobohan
Amerika Syarikat ke atas Iraq.
Wolfowitz
kemudian meletak jawatan sebagai Pengerusi Bank Dunia selepas
didapati mengatur kenaikan pangkat wanita simpanannya. WSJ berhak
menyiarkan lidah pengarang menyebelahi Anwar jika ingin berbuat
demikian. Bagaimanapun, mereka tidak boleh berpura-pura kononnya
tidak mempunyai 'agenda' apabila memperkatakan mengenai Malaysia,
atau mempertahankan laporan mereka adalah 'bebas'.
Mereka
dengan jelas telah digunakan sebagai sebahagian rancangan Kempen
Anti-Najib untuk memperlekeh kerajaan yang dipilih secara
demokratik, menerusi siri laporan berat sebelah yang mengheret
reputasi WSJ daripada akhbar berpengaruh tetapi kini terjerlus ke
lubuk paling dalam.
Malaysia tidak akan lupa.
{baca artikel asal di sini}
No comments:
Post a Comment