Kenyataan
Media oleh Lembaga Pengarah, 1Malaysia Development Berhad
Dikeluarkan
pada 7 April 2016
Untuk
siaran segera
Kenyataan
Media Lembaga Pengarah 1MDB Berkaitan Laporan PAC
Lembaga
Pengarah 1Malaysia Development Berhad (“Lembaga Pengarah”) mengambil maklum isi
kandungan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berkenaan 1MDB seperti
yang dibentangkan di Parlimen pagi ini (“Laporan PAC”). Pihak Lembaga Pengarah
melihat Laporan PAC ini sebagai sebuah dokumen yang menyeluruh dan muktamad,
yang telah menyatakan fakta-fakta dengan jelas dan telah menyangkal pelbagai
dakwaan berkenaan syarikat.
Laporan
PAC: PAC Puas Hati Dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB
Laporan
PAC tersebut telah mengenalpasti beberapa kelemahan dalam tadbir urus dan
proses membuat keputusan oleh 1MDB. Apabila ditinjau kembali, kami dapat
memahami bagaimana Jabatan Audit Negara dan PAC boleh mengenalpasti
kekurangan-kekurangan ini. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk difahami
bahawa keputusan-keputusan yang dibuat ketika itu adalah dalam konteks
transaksi yang spesifik pada masa tersebut. Tambahan pula, 1MDB merupakan
sebuah syarikat yang kompleks dan mempunyai peranan yang pelbagai dalam
menjalankan projek-projek strategik berskala besar, mewujudkan kerjasama dengan
entiti-entiti kerajaan asing dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke
Malaysia.
Pihak
umum sedia maklum bahawa 1MDB hanya mempunyai ekuiti tunai sebanyak RM1 juta,
yang memerlukan syarikat membuat pergantungan besar kepada pinjaman untuk
membiayai pelaburannya. Meskipun berdepan cabaran ini, Lembaga Pengarah telah
membuat yang terbaik untuk menguruskan syarikat dengan cara yang tidak akan
mengakibatkan beban kewangan kepada Kerajaan.
Secara
khususnya, sebaik sahaja ketidakpadanan aliran tunai (cash-flow mismatch)
dikenalpasti pada November 2014, Lembaga Pengarah bertindak segera untuk
melantik seorang pakar penstrukturan semula profesional untuk mengetuai 1MDB.
Ini membawa kepada perlaksanaan kajian strategik (strategic review) yang
seterusnya membawa kepada kejayaan pelan rasionalisasi yang sedang berjalan,
yang telah menyelesaikan beban hutang 1MDB. Syarikat telah membayar dan akan
terus membayar kesemua hutang jangka pendek dan kesemua hutang bank dengan
hasil yang diperolehi daripada penjualan Edra, dan ketika ini mempunyai lebihan
tunai kira-kira RM2.3 bilion yang akan diperuntukkan untuk membayar kadar
faedah dan keperluan kewangan infrastruktur.
Lembaga
Pengarah percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya
sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat
seperti mewujudkan prosedur operasi standard (standard operating procedure)
untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga
Pengarah. Di samping itu, Lembaga Pengarah juga telah memastikan kerjasama
penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan
ke atas syarikat. Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan dengan
sewajarnya.
Lebih
penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada
kes “RM42 bilion hilang”, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak
bertanggungjawab. Juga telah disahkan,
1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri
seperti yang telah didakwa.
Lembaga
Pengarah juga telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang
mencabar dan percaya bahawa Laporan PAC boleh menjadi titik pengakhiran
dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat. Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil
Laporan PAC tersebut, Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah
memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan
(MKD), yang merupakan 100% pemegang saham 1MDB.
Ini
merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa
ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang
siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC.
No comments:
Post a Comment