Sunday, September 18, 2016

Begitu Murah Maruah Melayu Dibeli. Cukupkah Hanya sekadar Meminta Maaf?

Di sinilah bijaknya Lim Guan Eng yang cukup faham struktur serta perangai orang Melayu, walau sehebat mana pun Melayu itu malah walau setinggi langit pun gelaran yang ada pada pangkal nama Melayu berkenaan.

Lim Guan Eng tahu, cukup dengan kata-kata muluk, cukup dengan kata-kata yang dikehendaki dan mahu didengar oleh orang Melayu, kemarahan akan segera reda. Malah untuk memadamkan terus kemarahan yang masih membara serta mencipta husnu zhon yang bukan-bukan, perkataan MAAF akan diungkapkan.

Selepas itu, segala-galanya kembali seperti asal. Orang Melayu akan segera melupakan kemarahan yang mereka rasakan. Bahkan mereka akan menjadi lebih lembut, lebih lunak dan lebih mesra walaupun kahak bertepek di atas kepala mereka.

Alasan yang acapkali diberikan ialah, Islam mengajar umat Islam untuk saling maaf dan memaafkan!

Jeff Oii menyertai pimpinan besar DAP lain telah berkali-kali membuktikan kebenaran ini. Mereka sengaja mencetuskan kemarahan dari kalangan orang Melayu tetapi kemudian membiarkan sebahagian orang Melayu-Islam sendiri yang akan bertindak sebagai penampan mereka, menyelesaikan masalah dengan nilai-nilai agama.

Blog tersohor The Saviour yang lantang membidas para pemimpin DAP agak kecewa atas sikap Melayu-Islam akan mudah cair kalau dinasihati berunsurkan agama.

Melayu-Islam sebahagian yang lain pula, akan mudah hilang tumpuan apabila diberitahu mereka sengaja dicucuk-cucuk dan dihasut-hasut agar marah kerana itu adalah modus operandi pihak kerajaan yang sedang kepanasan dan mahu mengalihkan tumpuan.

Kecenderungan untuk menuntut Jeff Oii memohon maaf setelah keceluparan dan kebiadapannya, sedang berleluasa sekarang ini. Tidak sahaja dari kalangan PAS, bahkan dari UMNO malah dari PERKASA juga. Seolah-olah permohonan maaf Jeff Oii itu akan menyelesaikan dan mengharmonikan segala-galanya.

Jeff Oii dari awal lagi telah bertegas dia tidak salah. Kenyataannya telah diphotoshopkan oleh "cybertrooper" UMNO. Walaupun selepas itu dia menarik balik kenyataannya dan memberitahu semuanya adalah perbuatannya sendiri, kenyataan menyusul Lim Guan Eng menerusi SETPOLnya, Zairil Khir Johari seperti satu jenakaria yang sekadar membuktikan betapa lemahnya orang Melayu sendiri.

Tak habis-habis dengan desakan meminta maaf. Adakah itu sahaja yang mampu dilakukan oleh para pemimpin Melayu tak kira dari parti apa pun? Apakah kerana keputusan proses mahkamah banyak memberikan kelebihan dan kemenangan kepada para pemimpin DAP, maka tuntutan permohonan maaf secara terbuka sahaja yang mampu dibuat oleh para pemimpin Melayu?

Dalam ketika UMNO dan Melayu-Bumiputera masih lagi ada kuasa di negara ini, begini keadaannya. Bayangkanlah kalau UMNO dan Melayu-Bumiputera sudah tidak ada kuasa lagi atau Melayu-Bumiputera berada di bawah kepimpinan DAP, apa pula yang akan berlaku?

Agak-agaknya kalau pemimpin atau Ahli Parlimen UMNO atau PAS yang mengeluarkan kenyataan serupa Jeff Oii kepada mana-mana pemimpin DAP yang meninggal dunia, apa tindakan yang akan dibuat oleh DAP?

Adakah sebahagian daripada mereka menyatakan, kenyataan tersebut telah diubahsuai oleh "cybertrooper" yang mahu melaga-lagakan Melayu dan Cina? Adakah akan ada yang menggunakan elemen agama untuk menyejukkan keadaan?

Atau DAP akan segera mengambil tindakan undang-undang yang mana mereka tahu, keputusannya akan menyebelahi mereka?

No comments:

Post a Comment