Setiap hari kita pastinya akan menggunakan wang sebagai
instrumen pembayaran, dan wang boleh berada pada nilai yang paling rendah
sehingga paling tinggi. Namun, apabila kita melawat atau melancong ke luar
negara, nilainya berubah-rubah. Hari ini nilainya mungkin mahal berbanding wang
negara yang kita kunjungi. Esok, nilai mata wang RM mungkin sahaja lebih murah.
Ini berasaskan tukaran mata wang asing. Tukaran mata wang asing ini bukanlah
baharu berlaku. Bagi mereka yang tidak pernah pergi ke luar negara, mungkin
tidak begitu terasa perubahan kadar mata wang RM berbanding mata wang asing
yang lain.
Manakala kejatuhan nilai mata wang ringgit
bukanlah suatu keadaan yang unik dan terpencil, sebaliknya ia adalah fenomena
global. Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad
Ibrahim berkata, pengukuhan ketara dolar Amerika Syarikat telah menyebabkan
seluruh matawang negara serantau dan global turut mengalami tekanan
kemerosotan.
Justeru mari kita lihat kupasan pakar ekonomi yang
juga seorang penggiat media sosial, Syahir521 berkaitan kejatuhan nilai Ringgit
Malaysia dan Bath Thailand. Beliau yang tidak kedekut ilmu banyak berkongsi
ilmu-ilmu ekonomi baik di dalam blog beliau maupun dalam facebooknya.
Penyusutan Ringgit merupakan isu hangat yang
menjadi bualan banyak orang baik di kedai kopi mahupun dalam media sosial.
Ringgit jatuh menyebabkan banyak yang risau dan
panik kerana bagi mereka, naik turunnya tukaran matawang adalah melambangkan
keadaan ekonomi semasa negara.
Tanggapan popularnya adalah bila Ringgit mengukuh,
ekonomi Malaysia berkembang dan kuat, bila Ringgit melemah, ekonomi Malaysia
merosot, gawat dan merudum.
Saya rasa banyak yang sudah maklum bahawa
penyusutan Ringgit sejak akhir tahun 2014 adalah disumbang oleh pelbagai
faktor.
Faktor-faktor yang paling utama adalah faktor
penurunan harga minyak dunia, spekulasi bahawa bank pusat Amerika Syarikat,
Federal Reserve akan menaikkan kadar faedah dan juga keadaan ekonomi dan
pasaran kewangan China.
1. Harga minyak mentah jatuh, Ringgit pun ikut
jatuh
Mungkin ramai yang tak tahu bahawa secara umumnya
pergerakan Ringgit sangat berkait rapat dengan harga minyak mentah global
contohnya apabila harga minyak mentah jatuh, Ringgit juga akan jatuh dan
apabila harga minyak mentah naik Ringgit juga akan naik berbanding US Dollar.
Harga Minyak Mentah vs USD/MYR
Di atas adalah carta harga minyak mentah Brent
(penanda aras harga minyak dunia) berbanding kadar tukaran matawang USD/MYR.
Pada tahun 2007 harga minyak meningkat mendadak
daripada USD60/tong sehingga mencecah hampir USD140/tong yang mana Ringgit juga
mengukuh daripada kadar 3.8 sehingga 3.1 pada masa yang sama.
Kemudiannya pada tahun 2008 semasa dunia dilanda
krisis kewangan global akibat daripada krisis perumahan di Amerika Syarikat,
harga minyak mentah jatuh dengan sangat mendadak daripada sekitar USD130 kepada
USD40 dan Ringgit juga menyusut daripada 3.1 kepada 3.7.
Apabila harga minyak mentah mula meningkat semula
dan kekal stabil di atas paras USD100, Ringgit juga meningkat dan kekal stabil
pada kadar 3.0 ke 3.1 sepanjang 2010 - 2013 sehinggalah harga minyak mentah
mula menjunam pada pertengahan 2014 sehingga USD29 setong pada awal tahun ini
iaitu kejatuhan lebih 70% yang menyaksikan Ringgit menyusut dengan sangat
mendadak daripada 3.0 - 3.1 sehingga 4.3 - 4.4 tahun lepas.
Ringgit menyusut berbanding US Dollar kerana
Malaysia adalah negara pengeluar dan pengeksport bersih petroleum.
Apabila harga minyak mentah jatuh, hasil eksport
petroleum Malaysia akan berkurangan.
Pada tahun lepas (2015) eksport minyak mentah
jatuh RM6 billion, eksport cecair gas asli (LNG) jatuh RM9 billion dan eksport
produk petroleum sudah diproses jatuh RM15 billion menyebabkan imbangan
dagangan (jumlah nilai eksport tolak jumlah nilai import) mengecil.
Bukan Ringgit sahaja yang menyusut berbanding US
Dollar selepas harga minyak mentah global jatuh, matawang negara pengeluar
minyak yang lain seperti Australian Dollar, Mexican Peso, Norweign Kroner,
Canadian Dollar, Colombian Peso juga jatuh serupa seperti Ringgit Malaysia:
Pergerakan Matawang Negara Pengeluar Minyak
Berbanding USD
Saya tahu ada yang akan tanya kalau betul semua
matawang negara pengeluar minyak jatuh selepas harga minyak mentah jatuh sejak
2014, kenapa Ringgit jatuh lebih teruk daripada Bruneian Dollar (BND) yang mana
kita tahu kebergantungan Brunei terhadap minyak adalah lebih tinggi daripada
Malaysia?
Logiknya memang sepatutnya matawang Brunei, BND
jatuh lebih teruk daripada Ringgit kerana 95% hasil eksport Brunei datangnya
daripada hasil eksport petroleum dan 90% hasil kerajaan Brunei adalah daripada
hasil petroleum berbanding Malaysia yang mana sektor minyak dan gas hanya
menyumbang tidak lebih daripada 20% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara
dan juga kurang 20% hasil kerajaan datang daripada hasil petroleum.
Tambahan itu, ekonomi Brunei tidak berkembang
sejak 2013, di mana mereka mengalami pertumbuhan ekonomi negatif atau dengan
erti kata yang lain, Brunei mengalami kemerosotan atau kegawatan ekonomi tiga
tahun berturut-turut sejak 2013:
Pertumbuhan KDNK Brunei: IMF World Economic
Outlook 2016
Apa rahsia Brunei mengekalkan "kekuatan"
matawang mereka walaupun sudah 3 tahun ekonomi mereka tidak berkembang
sedangkan ekonomi Malaysia yang tetap berkembang setiap tahun di kala harga
minyak menjunam pun mengalami kejatuhan matawang yang boleh dikatakan agak
teruk berbanding matawang negara pengeluar minyak yang lain?
Jawapannya adalah kerana, Brunei mempunyai
kerjasama monetari yang ditandatangani antara kedua-dua kerajaan di mana 1
Bruneian Dollar akan bersamaan 1 Singapore Dollar di bawah CurrencyInterchangeability Agreement yang ditandatangani sejak 1967.
Matawang Brunei boleh digunakan di Singapura
begitu juga sebaliknya matawang Singapura boleh digunapakai di Brunei.
Sebenarnya Malaysia juga menandatangani perjanjian
di atas di mana pada suatu masa dahulu selepas 1967 seringgit kita bersamaan
dengan 1 SGD dan 1 BND tetapi selepas sepuluh tahun pembentukan Malaysia, pada
tahun 1973, kerajaan Malaysia keluar daripada perjanjian ini seperti mana
diceritakan di pautan di atas.
Itulah sebabnya matawang Brunei tidak susut
seteruk Ringgit.
Tambahan itu, Singapura tidak mengapungkan
matawangnya iaitu SGD sepertimana Ringgit diapungkan dan didagangkan secara
bebas mengikut kuasa pasaran.
Maksudnya, pergerakan SGD dikawal oleh bank pusat
mereka iaitu Monetary Authority of Singapore (MAS) mengikut julat (band) yang
telah ditetapkan.
Pergerakan SGD berbanding matawang-matawang rakan
dagangan utama Singapura dikawal oleh MAS setiap hari dan tidak akan
didagangkan lebih daripada julat yang ditetapkan.
Ini bermakna, Ringgit yang susut berbanding SGD
sekarang ini adalah kerana MAS membenarkan SGD untuk menokok atau meningkat
berbanding dengan Ringgit.
Berbeza dengan dasar monetari Malaysia yang
ditentukan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mengawal kadar faedah (OPR), dasar
monetari Singapura yang ditentukan MAS adalah berasaskan tukaran matawang asing
kerana MAS mementingkan kestabilan harga (inflasi terkawal) sebagai objektif
utama dasar monetari mereka manakala Malaysia mementingkan pertumbuhan ekonomi
yang mampan dan persekitaran kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi
negara.
Ini adalah kerana Singapura mengimport hampir
kesemua barangan untuk keperluan penduduknya kerana keupayaan untuk
menghasilkan contohnya makanan, barangan penggunaan sendiri adalah terhad
kerana saiz negaranya yang kecil.
Jika SGD susut secara berlebihan berbanding
Ringgit, import barangan seperti makanan dan minuman akan menjadi mahal oleh
sebab demikianlah MAS mengawal SGD agar sentiasa meningkat secara konsisten
berbanding Ringgit.
Untuk bacaan lanjut berkenaan dengan dasar
monetari Singapura yang dikawal MAS, bolehlah anda semua membacanya di sini.
Pasti ada yang akan tanya kenapa Malaysia atau BNM
tidak mengawal pergerakan matawang Ringgit sepertimana yang dilakukan MAS? Saya
akan ulas kenapa BNM tidak mengawal pergerakan Ringgit di dalam perenggan yang
lain.
Disebabkan perjanjian 1 BND = 1 SGD antara Brunei
dan Singapura, matawang Brunei tidak susut terlalu teruk berbanding US Dollar
dan meningkat berbanding Ringgit walaupun kebergantungan Brunei terhadap
petroleum lebih tinggi berbanding Malaysia.
Saya tahu ada juga yang akan cakap, walaupun
pertumbuhan KDNK atau ekonomi Brunei negatif, rakyat mereka masih senang,
kerajaan Brunei masih membelanjakan subsidi untuk rakyat Brunei, tiada cukai
seperti GST dikenakan ke atas rakyat dan sebagainya.
Bak kata pepatah, "Hujan emas di negeri
orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri."
Segala-galanya nampak indah dari kacamata rakyat
Malaysia, tetapi banyak di kalangan kita tidak sedar bahawa kerajaan Brunei
sudah pun memotong bajet negara mereka, memotong subsidi, membekukan pengambilan pekerja, menaikkan tarif elektrik kerana kejatuhan harga minyak
menyebabkan defisit (perbelanjaan melebihi hasil kerajaan) melepasi 10%
daripada KDNK atau saiz ekonomi negara mereka.
Baiklah, matawang Brunei tak jatuh teruk sebab
pergerakannya dikawal Singapura, tapi kenapa Ringgit jatuh teruk juga
berbanding matawang negara-negara Arab atau timur tengah pengeluar minyak
seperti Saudi Riyal, UAE Dirham dan lain-lain?
Ini adalah kerana matawang negara Gulf CooperationCouncil (GCC) seperti Saudi Riyal (SAR), UAE Dirham (AED), Qatari Riyal (QAR)
dan lain-lain (kecuali Kuwaiti Dinar) ditambat (pegged) kepada matawang US
Dollar seperti mana Malaysia pernah menambat Ringgit kepada US Dollar selepas
krisis kewangan Asia 1998 sehingga 2005 pada kadar RM3.80 = US$1.
Kadar Tukaran Matawang USD/SAR: Bloomberg
Kadar Tukaran Matawang USD/AED: Bloomberg
Kadar Tukaran Matawang USD/QAR: Bloomberg
Saudi Riyal (SAR) ditambat pada 3.75 untuk, UAE
Dirham (AED) ditambat pada 3.6725 dan Qatari Riyal (QAR) ditambat pada 3.64
bagi setiap 1 US Dollar masing-masing.
Jadi apabila US Dollar meningkat berbanding
Ringgit, matawang-matawang negara teluk pengeluar minyak di atas juga akan
meningkat berbanding Ringgit contohnya Ringgit yang susut berbanding Saudi
Riyal sejak beberapa tahun yang lepas:
Kadar Tukaran Matawang MYR/SAR: Yahoo Finance
Sebab tambatan inilah kenapa matawang pengeluar
minyak di timur tengah tidak susut langsung seperti negara-negara pengeluar
minyak lain yang mengapungkan matawang mereka seperti Canada, Australia,
Mexico, Brazil, Norway, Russia dan juga termasuklah Malaysia.
Saya pasti akan ada yang tanya kenapa Malaysia
tidak mengambil pendekatan sama seperti negara pengeluar minyak GCC di atas
seperti mana Malaysia menambat Ringgit kepada US Dollar selama 7 tahun 18 tahun
yang lalu (1998 - 2005)?
Seperti juga kenapa Malaysia tidak mengawal
pergerakan matawang seperti Singapura mengawal SGD saya akan menjawab persoalan
kenapa Malaysia tidak menambat Ringgit di perenggan lain di bawah.
Saya harap sekarang anda lebih jelas kenapa
Ringgit susut dengan teruk sejak tahun lepas dan peranan harga minyak mentah
dunia yang mempengaruhi pergerakan matawang bukan sahaja Ringgit, tetapi
matawang-matawang negara pengeluar minyak yang lain yang diapungkan mengikut
kuasa pasaran dan tidak ditambat atau dikawal.
2. Jangkaan bahawa Federal Reserve akan
meningkatkan kadar faedah (Federal Funds Rate)
Federal Funds Rate adalah kadar faedah yang
disasarkan Federal Reserve sama seperti Overnight Policy Rate (OPR) yang
disasarkan BNM untuk memastikan kecairan di dalam operasi monetari BNM dan
sistem perbankan.
Federal Reserve melalui Federal Open MarketCommittee (FOMC) menetapkan kadar faedah yang disasarkan bergantung kepada
keadaan ekonomi semasa dan ramalan jangka pendek ekonomi masa hadapan.
Seperti di Malaysia, apabila ekonomi agak perlahan
dan dijangka semakin perlahan, BNM akan menurunkan atau memotong kadar
faedah/OPR untuk merancakkan semula ekonomi dan sekiranya ekonomi berkembang
dengan konsisten dan agak cepat, BNM akan meningkatkan kadar faedah/OPR untuk
memperlahankan kadar pertumbuhan ekonomi kerana kadar pertumbuhan yang terlalu
cepat akan menyebabkan inflasi atau kenaikan harga yang tidak terkawal.
Apabila bank pusat sesebuah negara menurunkan
kadar faedah, ini bermakna mereka melonggarkan dasar monetari dan sebaliknya
apabila bank pusat tersebut menaikkan kadar faedah, mereka mengetatkan dasar
monetari.
Setiap kali ekonomi Amerika Syarikat mengalami
kelembapan atau terjerumus di dalam kegawatan, FOMC akan menurunkan kadar
faedah/FFR untuk merancakkan semula ekonomi:
Effective Federal Funds Rate: St Louis FRED
Selepas krisis ekonomi global pada tahun 2008,
FOMC menurunkan kadar faedah/FFR daripada 5% sehingga 0 - 0.25%.
Selepas menurunkan kadar faedah sehingga serendah
0%, Federal Reserve merasakan bahawa ekonomi US masih tidak berkembang pada
kadar sepatutnya, tetapi kadar faedah sudah pun mencapai paras terendah iaitu
0%, jadi pada akhir 2008 FOMC mengumumkan bahawa Federal Reserve akan membeli
lebih USD600 billion sekuriti seperti hutang kerajaan (US Treasury) dan hutang
rumah (mortgage backed securities) daripada pasaran terbuka untuk merancakkan
aktiviti pinjaman oleh bank-bank kepada sistem ekonomi.
Pembelian beratus billion aset kewangan oleh FOMC
ini dipanggil Quantitative Easing (QE) yang menjadi salah satu dasar monetari
yang penting diamalkan oleh bank-bank pusat utama seluruh dunia seperti
European Central Bank (ECB), Bank of Japan (BOJ), Bank of England (BOE) dan
bank-bank pusat negara maju yang lain.
QE juga adalah salah satu langkah pelonggaran
dasar monetari apabila penurunan kadar faedah tidak lagi berkesan untuk
merancakkan aktiviti pinjaman dan ekonomi sesebuah negara.
Apabila FOMC membuat keputusan melonggarkan dasar monetari
dengan menurunkan kadar faedah dan melaksanakan QE, kadar faedah bon kerajaan
Amerika Syarikat (US treasury) akan turun, pelabur-pelabur akan menjual
pegangan bon kerajaan US untuk mencari bon-bon kerajaan negara lain yang boleh
memberikan pulangan kadar faedah yang lebih tinggi seperti di negara ekonomi
membangun termasuklah Malaysia.
Tindakan pelabur menjual bon kerajaan Amerika
Syarikat dan membeli bon kerajaan negara ekonomi membangun menyebabkan
berlakunya aliran modal keluar daripada Amerika Syarikat ke negara-negara
ekonomi membangun dan hasilnya US Dollar menurun dan matawang negara ekonomi
membangun meningkat termasuklah Ringgit sepanjang 2010 sehingga 2014.
Pada hujung tahun 2013, FOMC bercadang
mengurangkan saiz pembelian aset sekuriti kerajaan melalui QE secara
berperingkat sehingga seterusnya menamatkan terus program QE, iaitu langkah
pertama Federal Reserve untuk memulakan normalisasi dasar monetari setelah
hampir lima tahun mengamalkan dasar monetari yang sangat longgar.
Sepanjang tahun 2014, FOMC mengurangkan QE secara
berperingkat dalam setiap mesyuarat dasar monetari sehinggalah QE ditamatkan
sepenuhnya pada Oktober 2014.
Pelabur-pelabur mengambil pendapat bahawa
pemberhentian QE oleh FOMC adalah isyarat pertama bahawa Federal Reserve akan
mula mengetatkan dasar monetari dengan menaikkan kadar faedah dalam jangka masa
terdekat dan menyebabkan pelabur-pelabur mula menjual pegangan saham, bon dan
aset kewangan di negara-negara membangun untuk membeli semula bon kerajaan
Amerika Syarikat.
Ini menyebabkan berlaku aliran semula modal dari
negara-negara ekonomi membangun ke Amerika Syarikat dan hasilnya adalah
pengukuhan matawang US Dollar dan penyusutan matawang negara-negara ekonomi
membangun termasuklah Malaysia.
Pengukuhan US Dollar ini berlaku secara luas
dengan hampir semua matawang negara lain susut berbanding US Dollar bermula
pada tahun 2014:
Trade-Weighted US Dollar Index: Broad: St Louis
FRED
Carta di atas menunjukkan kenaikan mendadak US
Dollar bermula pertengahan 2014 berbanding matawang negara-negara rakan
dagangan Amerika Syarikat termasuk Malaysia.
Pengukuhan US Dollar yang bermula pada pertengahan
2014 juga menyebabkan kejatuhan harga komoditi seluruh dunia termasuk minyak,
emas, gas asli dan lain-lain.
Oleh sebab itulah Ringgit susut dengan teruk sejak
2014 akibat daripada pengukuhan US Dollar kerana dasar monetari Amerika
Syarikat yang semakin ketat dan kerana kejatuhan harga minyak global seperti
sudah jatuh ditimpa tangga.
3. Ekonomi dan Pasaran Kewangan China
Chinese Yuan (CNY) iaitu matawang negara China
merupakan matawang ke-5 tertinggi di dunia dari segi penggunaan dalam transaksi
pembayaran di seluruh dunia.
Jumlah dagangan luar (eksport - import) China
mencecah USD3.956 trillion pada tahun lepas iaitu jumlah dagangan luar terbesar
dalam dunia yang direkodkan bagi sesebuah negara.
Malaysia merupakan antara rakan dagang terbesar
China.
Jumlah Eksport Malaysia 2015: MATRADE
Jumlah Import Malaysia 2015: MATRADE
Tahun lepas sahaja Malaysia mengeksport barangan
berjumlah RM101.53 billion ke China iaitu destinasi eksport Malaysia kedua
terbesar selepas Singapura.
Dalam masa yang sama Malaysia mengimport RM129.36
billion dari China iaitu negara sumber import terbesar Malaysia.
Jadi hubungan antara kedua-dua ekonomi ini sangat
rapat dan berkait antara satu sama lain.
Sekiranya ekonomi China perlahan, Malaysia akan
mengalami kesannya daripada permintaan import yang lemah di mana eksport
Malaysia ke China akan berkurangan.
Tahun lepas China mengumumkan bahawa matawang
Chinese Yuan (CNY) akan diapungkan secara terkawal berbanding matawang-matawang
rakan dagangan mereka sama seperti dasar monetari Singapura yang saya terangkan
di atas.
Pada 11 Ogos 2015, People's Bank of China (PBOC)
bank pusat China melemahkan matawang Yuan sebanyak 1.9% yang menyebabkan hampir
seluruh pasaran kewangan dunia bergolak dan jatuh akibat terkejut daripada
keputusan PBOC melalukan devaluation yang tinggi dalam masa yang singkat di
mana pelemahan Yuan ini adalah terbesar pernah dilakukan oleh China sejak dua
dekad yang lalu.
PBOC Melemahkan Yuan: Bloomberg
Pasaran kewangan tempatan di Malaysia tidak
terkecuali daripada menerima tempias perubahan dasar monetari China yang
mendadak ini apabila Ringgit buat kali pertamanya sejak 1998 jatuh melebihi
paras 4.00 berbanding US Dollar.
USD/MYR Melepasi Paras 4.00 Pada 12 Ogos 2015:
Bank Negara Malaysia
PBOC terus melemahkan Yuan sepanjang 2015 dan
Ringgit juga ikut melemah sehingga mencecah paras 4.4455 pada September 2015
iaitu paras tertinggi sejak 1998.
Walaubagaimanapun, bukan Ringgit sahaja yang
menerima kejutan daripada pelemahan Yuan oleh PBOC tetapi hampir semua matawang
negara ekonomi membangun jatuh dalam tempoh yang sama:
Reaksi Matawang-Matawang Terhadap Pelemahan Yuan:
Bloomberg
Tiga faktor utama di atas lah yang menyebabkan
Ringgit mengalami kejatuhan yang agak teruk berbanding negara lain iaitu kerana
harga minyak, jangkaan pengetatan dasar monetari Amerika Syarikat oleh Federal
Reserve dan ketidaktentuan di dalam pasaran kewangan dan ekonomi China.
Apakah Ringgit tidak terkesan dengan faktor 1MDB?
Faktor ketidakstabilan politik dalam negara? Skandal-skandal rasuah dalam
negara yang "berleluasa"?
1MDB ada menyumbang kepada kejatuhan Ringgit
tetapi hanyalah faktor kecil dan untuk tempoh yang pendek sahaja iaitu semasa
Deutsche Bank memohon 1MDB supaya membayar pinjaman sindiket bernilai USD975juta empat bulan lebih awal daripada tempoh asal kerana Deutsche Bank
beranggapan bahawa jaminan (collateral) yang dipajakkan 1MDB adalah bermasalah.
Selain daripada itu kesan 1MDB terhadap Ringgit
adalah minimal atau tiada langsung.
Jika 1MDB merupakan faktor yang besar ke atas
penyusutan Ringgit, sudah pasti Ringgit akan menjadi matawang yang susut paling
teruk dalam dunia, tetapi ada matawang yang jatuh lebih teruk daripada Ringgit
seperti Philippines Peso, Swedish Krona, Chinese Yuan, British Pound, Turkish
Lira dan Mexican Peso.
Bagi menjawab persoalan kenapa BNM tidak menambat
Ringgit kepada US Dollar seperti mana Ringgit ditambat pada 3.80 bagi setiap
Dollar bermula tahun 1998 dulu, elok kiranya saya kongsi sedikit ilmu tentang
tambatan matawang.
Di dalam ekonomi antarabangsa terutamanya untuk
negara yang mempunyai ekonomi terbuka seperti Malaysia, adalah mustahil bagi
sesebuah negara itu untuk melaksanakan 3 dasar ekonomi dalam suatu masa yang
sama.
Ini bermaksud daripada 3 dasar ekonomi, hanya 2
sahaja yang boleh dilaksanakan dan 1 lagi dasar terpaksa dibiarkan atau tidak
dilaksanakan.
3 dasar tersebut adalah:
11. Tukaran matawang yang stabil
(tetap/tambat - fixed exchange rate)
22. Pergerakan modal keluar masuk
negara secara bebas (tidak
terhad/dikawal - free capital movement)
3.3. Dasar
monetari bank pusat yang bebas (independent
monetary policy)
.
Tukaran matawang yang stabil adalah dasar yang
menambat matawang pada suatu matawang yang lain atau pada suatu bakul matawang
(basket of currencies) untuk mengelakkan matawang sesebuah negara itu naik atau
turun.
Pergerakan modal yang bebas masuk dan keluar
negara bermaksud modal daripada pelabur luar negara (pelaburan langsung atau portfolio) bebas masuk ke dalam negara
dan keluar tanpa halangan daripada pihak kerajaan dan pelabur dalam negara juga
bebas membuat pelaburan di luar negara seperti membeli saham, bon, hartanah
luar negara.
Rakyat Malaysia yang mahu melancong ke luar negara
juga bebas membawa keluar wang yang mereka mahu tanpa halangan (*perlu
diisytihar).
Dasar monetari yang bebas adalah kebolehan bank
pusat sesebuah negara menetapkan kadar faedah sendiri tanpa perlu terikat
dengan penetapan kadar faedah negara lain.
Bank pusat yang bebas menetapkan dasar monetari
sendiri adalah ditakrifkan sebagai negara yang mempunyai kedaulatan monetari
(monetary sovereignty).
Jadi setiap negara hanya ada 3 pilihan dasar
ekonomi iaitu:
1. Tukaran matawang yang stabil dan pergerakan modal yang bebas contoh:Singapura, Hong Kong, Saudi, UAE)2.
2 Dasar monetari bank pusat yang bebas dan pergerakan modal yang bebas (USA, UK dan negara lain termasuk Malaysia)
3 Dasar monetari bank pusat yang bebas dan tukaran matawang yang stabil (China)
Sekiranya sesebuah negara cuba mengamalkan
ketiga-tiga dasar ekonomi di atas secara serentak, negara itu akan gagal dan
akhirnya terpaksa melepaskan satu dasar di antara ketiga-tiga dasar di atas.
Malaysia sekarang memilih pilihan ke-2 iaitu
membenarkan pergerakan modal bebas masuk dan keluar ke dalam dan luar negara
tanpa apa-apa halangan dan memiliki dasar monetari bebas iaitu BNM bebas
menetapkan kadar faedah mengikut kesesuaian tanpa terikat dengan dasar monetari
negara luar.
Oleh sebab Malaysia memilih dasar 2 dan 3,
Malaysia terpaksa melepaskan dasar yang pertama iaitu tukaran matawang asing
tetap atau stabil.
Pada tahun 1998 semasa Ringgit ditambat pada 3.80,
kerajaan pada masa itu memilih dasar 1 dan 3, iaitu tukaran matawang yang
stabil dan kebebasan dasar monetari di mana Malaysia terpaksa melepaskan dasar
2 iaitu pergerakan bebas modal dari dalam dan ke luar negara.
Sekiranya anda masih ingat, selepas kerajaan
Malaysia menambat Ringgit kepada US Dollar pada 1998, kerajaan juga mula
mengenakan kawalan modal (capital controls) di mana pelabur asing tidak
dibenarkan membawa keluar pelaburan mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Selain daripada itu, rakyat Malaysia juga tidak
dibenarkan membawa keluar Ringgit daripada Malaysia dalam kuantiti yang banyak
tanpa kebenaran BNM dan ini menyukarkan mereka yang ingin melancong ke luar
negara:
Sekatan Membawa Keluar Ringgit Lebih Daripada
RM1,000 Untuk Pelancong
Malaysia Ke Luar Negara: BNM
Ironinya adalah mereka yang merungut Ringgit
jatuh dan mahu kerajaan menambat Ringgit
adalah mereka yang melancong ke luar negara tanpa mengetahui bahawa jika
Ringgit ditambat, ia akan lebih menyukarkan mereka untuk menukar Ringgit kepada
matawang destinasi pelancongan mereka.
Sekiranya anda faham kesan tambatan Ringgit kepada
ekonomi Malaysia, saya pasti ramai yang tidak akan menggesa kerajaan menambat
Ringgit sepertimana yang dilaksanakan kerajaan melalui BNM pada 18 tahun yang
lepas.
Jika Ringgit ditambat, kerajaan Malaysia mesti
memilih sama ada untuk melaksanakan kawalan modal atau menyerahkan
kedaulatan/kebebasan dasar monetari negara kepada negara yang Ringgit ditambat
iaitu Amerika Syarikat.
Kedua-duanya bukanlah sesuatu yang bagus kerana
kawalan modal akan menyebabkan pelabur asing dan domestik mengalami kesukaran
untuk melabur di dalam dan luar negara seterusnya menghakis kepercayaan
pelabur-pelabur ke atas Malaysia dan menyerahkan kedaulatan/kebebasan dasar
monetari negara juga adalah suatu yang tidak patut didambakan kerana kadar
faedah Malaysia akan mengikut kadar faedah Amerika Syarikat yang ditetapkan
Federal Reserve seperti bagaimana Singapura, Hong Kong, Saudi di mana kadar
faedah di negara mereka terpaksa mengikut kadar faedah yang ditetapkan Federal
Reserve.
Ingat, kesan tambatan Ringgit memberi implikasi
yang lebih besar dari segi ekonomi negara.
Janganlah hanya kerana perancangan pelancongan
anda terganggu akibat penyusutan Ringgit anda terus mahu kerajaan melakukan
sesuatu seperti menambat Ringgit tanpa mengambil kira kesan yang lebih besar
kepada ekonomi negara.
RINGGIT JATUH, HARGA BARANG NAIK
Secara teori dan realitinya benar, apabila
matawang sesebuah negara itu menyusut, harga barangan import dari luar negara
akan meningkat.
Apabila Ringgit jatuh daripada 3.00 ke 4.00
berbanding US Dollar, barangan yang diimport dari US, akan menjadi lebih mahal
berbanding sebelum Ringgit susut.
Mereka yang biasa membeli barangan dari luar
negara sama ada melalui online shopping atau mempunyai perniagaan yang
memerlukan mereka mengimport barangan dari luar negara pasti tahu kesan
kejatuhan Ringgit.
Malaysia adalah pengimport bersih makanan iaitu
kita lebih banyak mengimport makanan dari luar negara dari kita mengeksport
makanan ke luar negara.
Apabila Ringgit jatuh, secara teorinya bil import
makanan Malaysia akan meningkat.
Tetapi realitinya, harga import makanan dari luar
negara ke dalam Malaysia tidak mempunyai perbezaaan ketara sebelum dan selepas
kejatuhan Ringgit.
Nilai Unit Import Bagi Makanan: Laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri,
Jabatan Perangkaan Negara
Bagaimana harga unit import bagi makanan boleh
stabil sepanjang dua tahun lepas sedangkan Ringgit menyusut dengan teruk?
Ini adalah apabila Ringgit susut, harga-harga
makanan yang diimport juga jatuh.
Pengeksport luar negara yang mengeksport makanan
ke Malaysia menurunkan harga untuk mengelakkan kehilangan pelanggan dan market
share.
Oleh sebab yang demikian harga import bagi makanan
tidak banyak berubah atau terkesan dengan kejatuhan Ringgit sepanjang setahun
dua yang lepas.
Kebanyakan kenaikan harga makanan di dalam
Malaysia adalah disebabkan faktor-faktor dalaman seperti permintaan daripada
pengguna, faktor cuaca seperti hujan atau kemarau dan faktor-faktor seperti
yang diterangkan dalam artikel ini.
Saya gunakan contoh makanan kerana makanan adalah
barangan yang digunakan setiap hari oleh rakyat Malaysia.
Jelaslah bahawa kejatuhan Ringgit tidak menjadi
faktor utama penyumbang kenaikan harga makanan berbanding faktor-faktor
domestik terutamanya permintaan oleh rakyat Malaysia itu sendiri.
RINGGIT TAK LAKU DI THAILAND
Baru-baru ini tersebar di dalam media sosial
bahawa peniaga-peniaga di Thailand tidak lagi menerima Ringgit sebagai bayaran:
Saya tidak dapat memastikan kesahihan gambar yang
tersebar luas di atas dan saya juga sebenarnya tidak kisah sama ada
gambar-gambar di atas dalah tulen ataupun palsu.
Ringgit sememangnya susut dengan agak teruk
berbanding Thai Baht (THB) sejak hujung 2014:
Kadar Tukaran MYR/THB: Bloomberg
Sepanjang dua tahun yang lepas Ringgit jatuh lebih
20% berbanding Baht yang mana dua tahun lepas RM1 boleh membeli 100 Baht dan
sekarang RM1 hanya boleh membeli kurang 80 Baht.
Itu faktanya, tidak ada yang hendak disorok, semua
orang tahu Ringgit jatuh teruk berbanding Baht tetapi apakah yang menyebabkan
Ringgit jatuh sebegitu teruk berbanding Baht? Adakah kerana 1MDB? Adakah kerana
di Thailand tiada 1 Thailand Development Berhad? Adakah kerana ekonomi Thailand
lebih baik berbanding Malaysia? Tidak.
Thailand adalah pengimport bersih terbesar
petroleum di Asia Tenggara.
Thailand Pengimport Terbesar Minyak dan Gas di
Asia Tenggara:
World Energy Outlook, 2015: IEA
Manakala Malaysia adalah pengeksport bersih
petroleum (minyak dan gas) selain daripada Brunei.
Apabila harga minyak jatuh, negara pengeksport
bersih petroleum akan terkesan secara negatif kerana hasil eksport petroleum
negara tersebut akan berkurang dan seterusnya menyebabkan lebihan akaun semasa
mengecil seperti Malaysia.
Sebaliknya, negara pengimport bersih petroleum
seperti Thailand akan terkesan secara positif kerana perbelanjaan untuk
mengimport petroleum untuk kegunaan rakyat akan berkurang seperti Thailand
seterusnya menambah lebihan akaun semasa Thailand.
Thailand Antara Negara Yang Untung Daripada
Kejatuhan Harga Minyak: Bloomberg
Inilah yang menyebabkan Ringgit jatuh teruk
berbanding Baht sejak hujung 2014 iaitu sama pada masa harga minyak global mula
jatuh mendadak.
Ia tidak ada kena mengena dengan 1MDB, Najib atau
rasuah seperti yang digambarkan sesetengah pihak.
Kejatuhan Ringgit berbanding Baht juga memberikan
keuntungan kepada Malaysia kerana Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan
Thailand atau dalam bahasa mudahnya, jumlah eksport Malaysia ke Thailand lebih
tinggi berbanding jumlah import Malaysia dari Thailand.
Dagangan Luar (Eksport - Import) Malaysia Dengan
Thailand:
BNM Monthly Statistical Bulletin
Kejatuhan Ringgit berbanding Baht menyebabkan
jumlah hasil eksport Malaysia ke Thailand meningkat ke paras tertinggi tahun
lepas iaitu RM44.38 billion dan lebihan dagangan (Trade Surplus) Malaysia
dengan Thailand meningkat kepada RM2.7 billion pada tahun 2015 berbanding hanya
RM593 juta tahun lepas.
Sudah tentulah ada yang akan terkesan secara
negatif bila Ringgit susut berbanding Baht.
Backpackers yang mahu ke destinasi pelancongan
terkenal di Thailand seperti Krabi, mereka yang mahu membeli belah di Golok,
mereka yang ingin bernikah di Siam akan terasa dengan kenaikan kos untuk
menukar Ringgit kepada Baht.
Sudah tentu juga mereka-mereka ini tidak akan
kisah tentang kesan positif kejatuhan Ringgit kepada negara kerana kebanyakan
daripada mereka in hanya mementingkan diri sendiri.
Asalkan rancangan pelancongan mereka tidak
terganggu, kerajaan mesti pastikan Ringgit tidak jatuh berbanding Baht.
Yang banyak diluar sana panik dan risau tentang
kedai-kedai di Thailand yang tidak lagi menerima Ringgit ni mungkin kerana
mereka setiap hari membeli-belah di Thailand.
Ada pula yang kata Ringgit Malaysia sudah jatuh
taraf kertas tisu tandas apabila melihat gambar-gambar Ringgit tidak diterima
di kedai tersebar di dalam media sosial.
Setahu saya, kedai-kedai di Malaysia masih
menerima Ringgit Malaysia sebagai tender sah untuk berurusniaga dan melakukan
transaksi jual beli.
Kedai di Thailand tak nak terima Ringgit Malaysia
apa saya peduli?
Belanja seharian saya seumur hidup saya hampir
semuanya di Malaysia dan belum pernah saya jumpa kedai di Malaysia yang kata
mereka tak mahu terima Ringgit Malaysia sebab Ringgit sudah tidak laku.
Jika saya hendak ke Thailand saya tukar wang
Ringgit kepada Baht di dalam Malaysia dahulu sebelum saya ke Thailand. Apa
masalahnya?
Hanya kerana Baht lebih kukuh berbanding Ringgit
bukanlah bermakna ekonomi Thailand lebih baik berbanding Malaysia.
Jika anda ingin membaca tentang ekonomi Thailand,
saya ada menulis tentang perkara tersebut beberapa bulan yang lepas menjawab
post Facebook Aliff Syukri yang merungut kononnya ekonomi Malaysia semakin
teruk berbanding Thailand di sini.
Banyak juga daripada kalangan rakyat Malaysia yang
tidak sedar bahawa sejak 1998 iaitu selepas kerajaan Malaysia mengamalkan
polisi kawalan modal (capital controls) Ringgit bukan lagi menjadi matawang
antarabangsa (internationalized) di mana Ringgit tidak lagi dibenarkan didagang
di luar negara (offshore trading).
Oleh sebab yang demikian Ringgit tidak lagi laku
di peringkat antarabangsa bukan sahaja baru-baru ini tapi sejak 1998 kerana
tender matawang Ringgit di luar dianggap tidak sah dan susah untuk ditukarkan
di luar Malaysia.
Hanya bank-bank dan syarikat kewangan tertentu
yang mempunyai fasiliti perdagangan atau currencies swap sahaja yang tiada
masalah untuk menukar Ringgit kepada matawang asing di luar negara.
Contohnya antara Malaysia dan China iaitu Bank Negara dan People's Bank of China yang mempunyai perjanjian dua hala currency swap antara Ringgit dan Yuan untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan antara
dua negara.
Bagaimana pula untuk mereka yang tidak dapat
menukar Ringgit Malaysia di luar negara?
Jika anda sudah biasa ke luar negara, anda sendiri
patut tahu anda sepatutnya menukar Ringgit kepada matawang asing di dalam
Malaysia sebelum anda berlepas ke luar negara.
Saya faham ada pihak-pihak tertentu mahu
menyebarkan apa sahaja berita negatif tentang keadaan ekonomi Malaysia tanpa
mengira kesahihan atau sebab-sebab perkara itu terjadi.
Penyebaran bahawa Ringgit sudah tidak laku di Thailand
ini bertujuan menakut-nakutkan rakyat Malaysia supaya menganggap kejatuhan
Ringgit adalah disebabkan kerajaan yang tidak pandai menguruskan ekonomi
negara.
Selagi mana harga minyak global kekal rendah,
Ringgit akan lemah berbanding Baht dan bila harga minyak global meningkat
semula, Ringgit akan mengukuh semula berbanding Baht.
Perkara ini adalah kitaran ekonomi di mana pada
2008 semasa harga minyak jatuh mendadak, Ringgit juga jatuh berbanding Baht dan
kemudiannya mengukuh semula selepas harga minyak meningkat:
Ringgit Jatuh Berbanding Baht Pada Tahun 2008
Saya tidak ingin menambah lagi tulisan saya yang
sudah sedia panjang ini.
Kejatuhan Ringgit sepatutnya dilihat sebagai
rahmat berbanding sumpah kepada negara kita.
Sudah tentulah ada yang akan terkesan dengan
kejatuhan Ringgit tetapi setakat ini kejatuhan Ringgit memberi lebih banyak
keuntungan kepada negara kita daripada kerugian.
Jika ada masa saya akan tulis kesan-kesan positif
penyusutan Ringgit di dalam blog supaya lebih mudah untuk ramai membacanya.
Suka saya nak ulang, eloklah kita menyemak sebaran
berita seperti ini sebelum menyebarkannya dan juga sebelum menambah-nambah
komen seperti Ringgit dah tak laku, ekonomi dah jahanam dan sebagainya.
Jika anda merungut kerana percutian anda ke
Thailand semakin mahal, tidak mungkinlah ekonomi negara ini dah nak jahanam
seperti yang anda gambarkan.
Jika kejatuhan Ringgit ini betul-betul membebankan
anda dari segi kos percutian, ubahsuai bajet anda dan bercuti di dalam negara
buat sementara waktu.
Malaysia juga tidak kurang banyak tempat percutian
yang menarik dan cantik seperti pulau-pulau,gunun-ganang, pantai-pantai,
taman-taman negara yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Bezanya anda mungkin tidak boleh bermegah-megah
dengan percutian dalam negara melalui Instagram sebab tak glemer di mata
followers anda kan?
No comments:
Post a Comment