KUALA LUMPUR: McDonald’s Corporation hari ini
mengumumkan Lionhorn Pte. Ltd sebagai pemegang Lesen Pembangunan (DL) untuk
pasaran di Malaysia dan Singapura.
Menurut kenyataan McDonald’s, Lionhorn diterajui
Sheik Fahd dan Abdulrahman Alireza, yang mempunyai pengalaman sebagai DL untuk
kira-kira 100 restoran McDonald’s di selatan dan barat Arab Saudi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Steve Easterbrook berkata urus niaga itu merupakan satu lagi kejayaan penting dalam usaha syarikat mengenal pasti rakan strategik yang turut berkongsi nilai dan visi yang sama untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan dalam pasaran yang luas dan mendorong inovasi.
“Ia meletakkan kami lebih dekat pelanggan dan
komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan itu.
DL baharu itu memperoleh pemilikan untuk
perniagaan McDonald’s di Malaysia dan Singapura pada 1 Disember 2016,
melibatkan 390 restoran dengan lebih 80% adalah milik syarikat.
Mengikut struktur DL, McDonald’s memindahkan
kepentingan pemilikannya di Malaysia dan Singapura, seterusnya memberikan lesen
kepada DL untuk menjalankan operasi restoran dalam pasaran itu.
Rakan niaga DL akan menyediakan modal yang
diperlukan untuk menyokong dan membangunkan perniagaan serta mereka juga akan
membayar kos permulaan francais dan royalti secara berterusan kepada
McDonald’s.
Pengurusan operasi seharian di pasaran Malaysia
dan Singapura masing-masing diketuai rakan operasi tempatan iaitu Azmir Jaafar
dan Kenneth Chan, kedua-duanya sebelum ini pernah memegang jawatan kanan di
McDonald’s dan mempunyai lebih 40 tahun pengalaman.
Azmir, yang juga pengarah urusan McDonald’s
Malaysia berkata, kepimpinan di peringkat tempatan dan maklumat pasaran menjadi
kunci utama yang mendorong kejayaan perniagaan di Malaysia dan Singapura.
Menurut McDonald’s, penilaian dan proses pemilihan
dilakukan dengan cukup teliti sebelum pengumuman berkenaan dibuat.
McDonald’s berkata, sebagai sebahagian daripada
usaha perubahan yang diumumkan pada Mei 2015, syarikat itu komited untuk
memfrancaiskan semula 4,000 restoran sehingga akhir 2018 dengan menetapkan
sasaran jangka panjang untuk mencapai sekurang-kuranya 95% restoran itu
difrancaiskan semula.
Melalui urus niaga yang dijalankan itu, McDonald’s
berjaya memfrancaiskan semula kira-kira 1,300 restoran setakat ini.
No comments:
Post a Comment