Penyelewengan Bestari.net
■ Laporan
Ketua Audit Negara 2013 menunjukkan bahawa 8,807 sekolah sudah
dilengkapi dengan sistem VLE. Tetapi statistik pendaftaran masuk atau
login bagi bulan Mac 2014 adalah antara 0.01% - 4.96%. Namun
penggunaan sistem tersebut berkadar songsang dengan 0.17% - 0.64%
minat murid sekolag. Sejumlah RM663 juta sudah pun dibelanjakan sejak
tahun 2012. Tetapi kadar penggunaan yang amat rendah di sebalik
pelaburan yang begitu besar adalah disebabkan beberapa faktor
seperti
1. Kelemahan infrastruktur sedia ada,
2. Sambungan jalur lebar yang lembap,
3. Liputan Internet tanpa wayar yang tidak mencukupi,
4. Masalah ketercapaian kepada sistem,
5. Kekurangan perkakas sokongan seperti komputer riba dan projektor,
6. Ketiadaan pemantauan dan garis panduan yang jelas bagi penggunaan VLE.
■ Menurut
Laporan Ketua Audit Negara juga, wujud penyelewengan pelaksanaan
1BestariNet oleh kontraktor YTL Communications Sdn Bhd.
Antara
penyelewengan yang berlaku adalah
1. Ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak,
2. Kekurangan pengurusan nilai (value management),
3. Kelewatan dalam pemasangan infrastruktur serta liputan yang tidak mencukupi.
■ YTL
telah diberi masa sehingga 30 Mac 2013 untuk memasang Internet jalur
lebar 4G di semua 10,000 sekolah. Walau bagaimanapun, menjelang
tarikh akhir itu, hanya 6,092 sekolah bersamaan 59.3% sahaja telah
disambungkan. Setahun kemudian, hanya 88.9% telah selesai, dengan
baki kira2 lebih 1000 sekolah yang masih menunggu. Hasil daripada
kelewatan ini, YTL telah didenda RM2.4 juta oleh Kementerian
Pendidikan.
■ Penyelewengan
lain yang didapati dalam Laporan Ketua Audit Negara termasuk
kegagalan kontraktor untuk mendapatkan kelulusan teknikal daripada
MAMPU dan Kementerian, serta kegagalan untuk menjalankan Penilaian
Keperluan Sekolah sebelum pemasangan infrastruktur. Akibatnya, 58%
daripada 501 sekolah yang diselidik melaporkan bahawa sistem
1BestariNet yang dipasang tidak meliputi keseluruhan kawasan sekolah,
walaupun ia merupakan syarat wajib dalam kontrak antara Kementerian
dan YTL.
■ Laporan
Ketua Audit Negara juga menunjukkan bahawa kelajuan jalur lebar yang
disediakan rata-rata kurang memuaskan dan jauh lebih rendah daripada
syarat kontrak yang menetapkan kelajuan daripada 4Mbps sehingga
20Mbps.
■ Oleh
yang demikian, selain daripada denda RM2.4 juta yang dikenakan ke
atas YTL kerana kelewatan pemasangan infrakstruktur 1BestariNet,
apakah tindakan-tindakan lain yang diambil oleh Kementerian untuk
mengatasi penyelewengan kontrak yang disebutkan tadi?.
□ 1BRIS:
keuntungan untuk kroni semata-mata?
■ Laporan
Ketua Audit Negara juga mendedahkan beberapa kelemahan kontrak yang
bukan sahaja merugikan Kerajaan, tetapi membawa keuntungan besar
kepada YTL. Salah satu contoh yang jelas adalah pemasangan menara
pemancar 1BestariNet Receiver Integrated System, atau 1BRIS, yang
dipasang di premis sekolah untuk menerima dan menyampaikan isyarat
tanpa wayar.
■ Menurut
penemuan audit, Kementerian telah mendapatkan input daripada Jabatan
Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkenaan dengan kadar sewa
yang sesuai untuk penggunaan premis sekolah sebagai tapak 1BRIS.
Justeru, JPPH telah mengesyorkan sewa bulanan sebanyak RM1,200 bagi
setiap tapak.
■ Walau
bagaimanapun, YTL enggan membayar jumlah ini, sebaliknya menyatakan
bahawa syarat2 kontrak membenarkan mereka untuk memasang menara
pemancar secara percuma. Pun begitu, Kementerian telah memutuskan
untuk mengenakan sewa token sebanyak RM1,000 setahun bagi setiap
tapak 1BRIS.
■ Namun
demikian, RM1,000 setahun adalah jauh berbeza dengan syor JPPH, iaitu
RM1,200 sebulan. Malah, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kadar
RM1,000 setahun adalah “tidak munasabah.” Dengan sebanyak 3,203
menara pemancar 1BRIS yang dipasang di seluruh negara, pendapatan
sewa pada harga RM1,200 sebulan adalah RM46.12 juta setahun.
Malangnya, YTL hanya perlu membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan
dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi
Kementerian.
■ Laporan
Ketua Audit Negara juga mendapati bahawa berdasarkan kontrak yang
dipersetujui antara Kementerian dan YTL, semua caj utiliti yang
berkaitan dengan 1BestariNet termasuk menara pemancar 1BRIS terpaksa
ditanggung oleh Kerajaan sepanjang tempoh kontrak, sementara
kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan
pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS.
■ Ini
adalah suatu kecuaian yang serius dalam perjanjian kontrak. Malah,
pihak Kementerian dalam jawapannya kepada Pejabat Ketua Audit Negara
telah mengakui bahawa pemasangan menara pemancar 1BRIS telah
meningkatkan kos elektrik sekolah sebanyak RM150 hingga RM180
sebulan. Jika digandakan dengan 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara,
jumlah peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga
RM6.92 juta setahun. Keadaan ini langsung tidak masuk akal, kerana
Kerajaan merupakan pelanggan perkhidmatan YTL dan tidak seharusnya
dibebani dengan caj utiliti yang sepatutnya menjadi sebahagian
daripada kos operasi kontraktor.
■ Akibat
kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat sebelah, YTL
akan memperolehi keuntungan atas angin hampir RM50 juta setahun,
ataupun RM750 juta sepanjang tempoh 15 tahun projek 1BestariNet.
Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan ke atas YTL
sebenarnya tidak bermakna langsung berbanding ratusan juta ringgit
keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta
pendapatan daripada penggunaan komersil menara pemancar 1BRIS, di
samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut.
■ Hanya
ada dua penjelasan bagi kontrak yang amat berat sebelah ini. Sama ada
Kerajaan berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian yang penuh
kelemahan ini, atau pun perjanjian ini sengaja dibentuk sedemikian
rupa untuk menguntungkan syarikat kroni. Walau apa pun jawapannya,
Kementerian harus bertanggungjawab dan menjelaskan kepada rakyat
bagaimana kerugian ini akan diatasi.
Tulisan
Rozmi Mokhtar
Rozmi Mokhtar
No comments:
Post a Comment