NOSTALGIA
dan pemandangan gerabak kereta api melewati Sura Gate di Dungun,
Terengganu sekitar 1950-an dijangka kembali menggamit menjelang tahun
2024 apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai kira-kira
RM55 bilion siap sepenuhnya. MEDIA SOSIAL
KECUALI
generasi yang berusia 50 tahun ke atas, tidak ramai yang mengetahui bahawa
Terengganu adalah salah sebuah negeri yang pernah mempunyai sistem pengangkutan
kereta api di negara ini. Menurut laman blog Bukit Besi
(http://bukitbesi.blogspot.my) laluan kereta api Dungun-Bukit Besi mula dibuka
pada tahun 1930 bagi membawa hasil bijih besi yang dilombong di Bukit Besi,
sebuah pekan kecil di daerah Dungun.
Bukit
Besi terkenal kerana mempunyai hasil bijih besi berkualiti tinggi yang terbesar
di dunia. Sejarah kegiatan perlombongan bijih besi di kawasan itu dimulakan
oleh seorang ahli kaji bumi dari Jepun, Kuhara yang datang ke Cemuak, Hulu
Dungun pada tahun 1916. Beliau mendapati daerah itu kaya dengan hasil galian
tersebut. Syarikat Kuhara Mining Ltd mula menjalankan aktiviti melombong bijih
secara tidak rasmi sejak 1927. Syarikat itu kemudian bertukar nama kepada
Nippon Mining Company (NMC) setelah kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan
lesen melombong secara rasmi pada 13 Januari 1929.
Industri
pengeluaran bijih besi yang begitu rancak antara tahun 1936 hingga 1940
bagaimanapun mula malap dan berakhir pada tahun 1945 selepas Jepun menyerah
kalah kepada British dalam Perang Dunia Kedua. Tidak ada lagi aktiviti
perlombongan sepanjang tempoh 1946 hingga 1949 kerana darurat selain
permintaan yang perlahan. Bagaimanapun setelah kerajaan British menjual harta
lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (Emmco), aktiviti
perlombongan kembali rancak dan pengeluaran secara besar-besaran bermula pada
tahun 1950-an.
Ketika
itu aktiviti melombong dijalankan secara terus-menerus selama 24 jam tanpa
henti kecuali pada hari Jumaat dengan menggunakan pelbagai jentera dan
kelengkapan moden. Dalam tempoh antara tahun 1960 hingga 1964, sejumlah 2.6
juta tan bijih besi berjaya dikeluarkan. Bagi memenuhi kepesatan industri
tersebut, landasan kereta api dibina untuk laluan Dungun-Bukit Besi. Ini untuk
memudahkan hasil galian itu dibawa ke pelabuhan yang lebih dikenali sebagai
Sura Jeti, sebelum dieksport ke Jepun dan Eropah. Industri berkenaan membantu
merancakkan pertumbuhan ekonomi di Bukit Besi dan Dungun pada waktu itu. Dalam
tahun 1935, jumlah penduduk di pekan Bukit Besi meningkat kepada 6,000 orang.
Pendapatan penduduk juga dikatakan sangat mewah.
Kereta
api itu selain digunakan untuk mengangkut muatan bijih besi ke pelabuhan turut
menjadi sistem pengangkutan utama para penduduk di daerah tersebut
berulang-alik ke tempat kerja di Bukit Besi. Kenangan zaman kanak-kanak,
melihat gerabak kereta api melintasi pekan Sura Gate setiap hari akan terus
kekal dalam ingatan penulis.
Penulis
berasal dari daerah Dungun. Pada masa itu pekan Sura Gate sangat sibuk dan
meriah. Kegiatan ekonomi seharian sangat rancak. Daerah ini pada zaman tersebut
sudah mempunyai padang golf, kolam renang dan kelab tenis.
Sehingga
sekarang kesan-kesan peninggalan lombong bijih besi Bukit Besi masih dapat
dilihat dengan jelas di bandar Dungun. Ketulan bijih besi boleh dilihat di
mana-mana sahaja. Sisa-sisa bijih besi itu terjatuh daripada gerabak kereta api
yang dalam perjalanan ke pelabuhan di Sura Jeti yang sangat sinonim dengan
‘tiang-tiang Opal’. Bagi mengembalikan ingatan tentang zaman kegemilangan ini
juga pihak berkuasa tempatan telah membina satu replika gerabak kereta api dengan
muatan bijih besi di persimpangan lampu isyarat utama di Sura Gate. Itulah
sahaja kenangan yang tinggal.
Nostalgia
dan pemandangan gerabak kereta api melewati daerah ini bagaimanapun dijangka
kembali menjelang tahun 2024 apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
bernilai kira-kira RM55 bilion siap sepenuhnya. Projek pengangkutan awam mega
berkelas dunia dan ‘berteraskan rakyat’ itu akan menghubungkan Lembah Klang
dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Perjalanan
yang bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak ke Kota
Bharu, Kelantan hanya mengambil masa kira-kira empat jam berbanding purata
tujuh jam pada hari biasa dan berbelas-belas jam ketika musim perayaan
terutama ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tren ECRL akan berhenti di 22
stesen termasuk di Dungun dan Kampung Raja, Besut dua daerah yang sangat dekat
di hati penulis.
Projek
ECRL ini akan merubah wajah tiga negeri di Pantai Timur itu. Daerah-daerah di
sepanjang jajaran landasan tersebut sudah pasti menerima kesan langsung dari
aspek impak ekonomi dan sosial. Aktiviti perniagaan dan ekonomi dijangka
kembali rancak selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada
penduduk setempat.
Apa
yang pasti, kemudahan kereta api bakal menjadi pilihan utama rakyat negara ini
untuk ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Para pengguna yang sudah ‘muak dengan
azab’ kesesakan jalan raya terutama pada musim cuti dan musim perayaan sangat
mengharapkan ada satu perkhidmatan tren bersepadu seperti mana perkhidmatan
tren elektrik (ETS) ke negeri-negeri di utara Semenanjung. Walaupun harga tiket
menimbulkan sedikit rungutan, orang ramai masih memilih ETS kerana mudah dan
selesa.
‘Sengsara’
memandu meredah kesesakan jalan raya yang berulang saban tahun bagi penduduk
tiga negeri itu juga akan berakhir dengan adanya kereta api ECRL ini. Projek
ini menjadi ‘anugerah bermakna’ untuk penduduk tiga negeri tersebut. Selama ini
para pengguna jalan raya sudah lama dicengkam dengan ‘azab.’ Mereka berhadapan
dengan tekanan dan stres kesesakan jalan raya, bebanan harga tol, kenaikan
harga minyak, saman lalu lintas serta keadaan lebuh raya yang tidak selamat
seperti Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang ‘popular’ dengan berita
kemalangan ngeri dan kemalangan maut.
Rakyat
Malaysia, marilah sama-sama kita berdoa agar projek ECRL berkelas dunia ini
berjalan lancar, tanpa penangguhan, tidak terbengkalai dan siap sepenuhnya
menjelang tahun 2024. Penulis (yang ketika itu sudah menghampiri usia 60 tahun)
berdoa agar diberikan kesihatan yang baik dan panjang umur dan dapat ‘merasa’
pengalaman balik kampung ke Dungun dan Kampung Raja, Besut menaiki ECRL dengan
isteri, anak dan cucu-cucu. Insya-Allah.
Utusan
No comments:
Post a Comment