Saya kira semua manusia yang ada di atas muka bumi ini memakai topeng yang membentuk personaliti masing-masing di khalayak ramai. Personaliti datang daripada kamus Inggeris, personality. Personality ini pula berasal dari perkataan Latin, persona, yang bermaksud topeng.
Acapkali kita mendengar kisah ramai pasangan yang sudah berkahwin menyesal dengan insan yang menjadi teman hidupnya. Mereka tidak menyangka bahawa manusia yang pernah melafazkan "Kaulah satu-satunya bagiku, tiada yang lain. Setiaku hanya untukmu. I love you darling..", sambil rembulan dan bintang di langit menjadi saksi, rupa-rupanya adalah playbuaya kasanova yang suka makan luar. Dan macam-macam lagilah jenis topeng yang mula terdedah selepas mendirikan rumah tangga.
Seperti mana dalam sesebuah ikatan percintaan, sebilangan ahli politik yang masih lagi terconggok di bawah, akan "memakai topeng" untuk membeli cinta daripada rakyatnya. Cinta ini perlu diraih untuknya terus mara berkuasa dalam kancah politik. Sedihnya sesudah berkuasa, barulah rakyat sedar bahawa selama ini ahli politik terbabit sekadar memakai sebuah topeng penanam tebu di pinggir bibir.
Inilah apa yang saya namakan "memakai topeng". Topeng ini digunakan supaya orang sayang kita, supaya masyarakat terima kita, tetapi hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat di hati.
Memakai topeng tidaklah salah 100%. Nabi sendiri melarang kita daripada menghebohkan keaiban diri sendiri. Malah saya sendiri kadang-kala lebih selesa untuk tidak mengetahui wajah sebenar individu-individu di sekeliling saya. Misalannya, kalaulah saya tidak menggoogle pelakon cantik manis yang memegang watak Aisha dalam filem Ayat-Ayat Cinta, maka tidaklah saya naik meluat dengan filem tersebut.
Walaupun ramai yang sememangnya sejak awal-awal lagi telah memakai topeng untuk meraih cinta, namun tidak dinafikan ada yang memakai topeng itu tanpa ada kerelaan di hatinya.
BERDOSAKAH MENANGGALKAN TOPENG SI DIA?
Walaupun demikian, dalam kebanyakkan kes, tidak perlu bagi kita untuk menyelidik topeng jenis apakah yang dipakai oleh saudara-mara, sahabat-handai dan jiran tetangga kita. Mata kita boleh sibuk mencari aib orang lain, tapi jangan lupa bahawa orang lain juga ada mata yang boleh memerhati. Ingatlah bahawa jika kita tutup aib orang lain, maka Allah akan tutup aib kita juga di dunia dan akhirat.
Selain itu secara idealnya, sebagai contoh, rakyat bukanlah golongan terbaik untuk mempertikaikan rasuah dalam tampuk kepimpinan, sebaliknya pemimpin berekod bersih yang sedang berada dalam kekuasaanlah yang patut lebih bersuara. Kita selaku rakyat biasa, belum tahu lagi topeng jenis apa yang akan terdedah sekiranya kita menjadi seorang Yang Berhormat. Kita mengkritik seorang Pak Menteri sebagai kaki rasuah, tetapi apabila kita ditahan oleh polis JPJ, mungkin kita tidak segan-silu untuk merasuah polis berkenaan. Maka tidak ada bezanya topeng yang anda pakai dengan topeng Pak Menteri yang suka makan rasuah itu, cuma anda di bawah, dia dia atas.
Tony Blair di zaman mahasiswanya adalah aktivis dalam Kempen Pembubaran Senjata Nuklear. 10 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Britain, UK masih lagi belum mampu untuk melenyapkan senjata nuklearnya sama sekali. Malah beliau jugalah yang mengatakan kepada ahli-ahli Parlimen Britian bahawa adalah tidak bijak dan berbahaya jika Britain menjadi negara bebas nuklear 100%, kerana takut-takut nanti datang ancaman nuklear daripada negara lain.
No comments:
Post a Comment