Sunday, March 31, 2013

PAHLAWAN SULUK: "MESTI MAKAN DARAH"



Kota Kinabalu: Tidak kira sama ada lawan masih hidup atau sudah mati, barung atau badung iaitu senjata tradisional masyarakat Suluk dari kepulauan selatan Filipina yang sentiasa terselit di pinggang perlu ‘makan darah’.

Sehubungan itu, tidak hairan kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu dan Semporna di Sabah tergamak menetak dan mencencang tubuh, malah memenggal kepala anggota keselamatan yang mati disebabkan terkena tembakan, semata-mata kerana mahu ‘menjamu’ barung mereka dengan darah.

Tindakan tidak berperikemanusiaan pengganas terbabit yang disifatkan lebih kejam daripada komunis, didakwa dilakukan kerana terlalu taksub dengan kepercayaan kuno masyarakat itu kononnya barung berkenaan mempunyai kuasa mistik.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Suluk Bajau Tawau Abdul Ali Erilis berkata, mengikut sejarah nenek moyang yang diceritakan bapa saudaranya yang berasal dari kepulauan Sulu, pahlawan Suluk akan tetap ‘membunuh’ mangsa menggunakan barung walaupun musuh tidak bernyawa lagi.

“Perbuatan kejam, termasuk menyeksa sebelum membunuh lawan, dilakukan kerana mewarisi sejarah perjuangan nenek moyang kononnya ia lambang ‘pahlawan Suluk’ sejati.

“Tindakan memenggal kepala musuh yang tidak bernyawa dilakukan sebagai bukti mereka pejuang kuat dan ganas di mata dunia,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Suluk di Filipina masih mempercayai kononnya barung mempunyai kuasa mistik tersendiri. Sehubungan itu, sebelum diasah, senjata itu akan ditangas terlebih dulu supaya ‘kekuasaan dan ketajamannya’ cukup untuk membunuh mangsa.

“Jika mangsa dibunuh menggunakan barung, mereka akan diangkat sebagai pahlawan oleh masyarakat Suluk pada zaman dulu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, dalam peperangan dulu kala, tidak sah kematian musuh jika barung tidak menjamah darah mangsa.

“Mungkin penceroboh terbabit masih memegang prinsip perjuangan dulu kala sehingga sanggup berlaku kejam terhadap mayat pasukan keselamatan kita yang terkorban.

“Prinsip mereka, tidak sah jika barung tidak melekat pada badan musuh dan mungkin sebab itu mereka bertindak kejam walaupun mangsa tidak bernyawa lagi,” katanya.

Menurut Ali, berbanding zaman dulu dengan situasi sekarang, jelas pengganas terbabit sengaja mahu menunjukkan kekuatan selain menakutkan pasukan keselamatan.

“Pengganas terbabit mungkin sengaja melakukan kekejaman terhadap anggota keselamatan kita sebagai satu peringatan kononnya mereka sangat kuat.

“Namun, saya tidak tahu mengenai kekebalan mereka. Walaupun mendakwa mempunyai kuasa mistik, ramai juga terbunuh kerana terkena peluru pasukan keselamatan,” katanya.

Berbeza pula dengan pendapat disuarakan Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS), Mohd Zaki Herry Susanto yang mendakwa kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu berkemungkinan dipengaruhi dadah jenis syabu.

“Saya pernah dimaklumkan bahawa pengganas terbabit menggunakan syabu supaya sentiasa bertenaga dan mampu bertahan ketika berperang meskipun berhari-hari tidak menjamah makanan.

“Selain itu, pengaruh penggunaan dadah menjadikan pengganas hilang pertimbangan, termasuk bertindak kejam terhadap mayat lawan,” katanya.

Katanya, kebanyakan pengganas menyasarkan kepala kerana menyedari satu das tembakan saja mampu menumbangkan lawan.

“Pengganas lebih gemar menembak kepala kerana mengetahui pasukan keselamatan memakai baju kalis peluru. Bagi saya, ia tiada kaitan dengan ilmu mistik seperti memiliki ilmu kebal atau ghaib,” katanya

No comments:

Post a Comment