Kota Kinabalu: Tidak kira sama ada lawan masih hidup atau
sudah mati, barung atau badung iaitu senjata tradisional masyarakat Suluk dari
kepulauan selatan Filipina yang sentiasa terselit di pinggang perlu ‘makan
darah’.
Sehubungan itu, tidak hairan kumpulan pengganas yang
menceroboh Lahad Datu dan Semporna di Sabah tergamak menetak dan mencencang
tubuh, malah memenggal kepala anggota keselamatan yang mati disebabkan terkena
tembakan, semata-mata kerana mahu ‘menjamu’ barung mereka dengan darah.
Tindakan tidak berperikemanusiaan pengganas terbabit
yang disifatkan lebih kejam daripada komunis, didakwa dilakukan kerana terlalu
taksub dengan kepercayaan kuno masyarakat itu kononnya barung berkenaan
mempunyai kuasa mistik.
Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Suluk Bajau
Tawau Abdul Ali Erilis berkata, mengikut sejarah nenek moyang yang diceritakan
bapa saudaranya yang berasal dari kepulauan Sulu, pahlawan Suluk akan tetap
‘membunuh’ mangsa menggunakan barung walaupun musuh tidak bernyawa lagi.
“Perbuatan kejam, termasuk menyeksa sebelum membunuh
lawan, dilakukan kerana mewarisi sejarah perjuangan nenek moyang kononnya ia
lambang ‘pahlawan Suluk’ sejati.
“Tindakan memenggal kepala musuh yang tidak bernyawa
dilakukan sebagai bukti mereka pejuang kuat dan ganas di mata dunia,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Suluk di Filipina masih
mempercayai kononnya barung mempunyai kuasa mistik tersendiri. Sehubungan itu,
sebelum diasah, senjata itu akan ditangas terlebih dulu supaya ‘kekuasaan dan
ketajamannya’ cukup untuk membunuh mangsa.
“Jika mangsa dibunuh menggunakan barung, mereka akan
diangkat sebagai pahlawan oleh masyarakat Suluk pada zaman dulu,” katanya
ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, dalam peperangan dulu kala, tidak sah
kematian musuh jika barung tidak menjamah darah mangsa.
“Mungkin penceroboh terbabit masih memegang prinsip
perjuangan dulu kala sehingga sanggup berlaku kejam terhadap mayat pasukan
keselamatan kita yang terkorban.
“Prinsip mereka, tidak sah jika barung tidak melekat
pada badan musuh dan mungkin sebab itu mereka bertindak kejam walaupun mangsa
tidak bernyawa lagi,” katanya.
Menurut Ali, berbanding zaman dulu dengan situasi
sekarang, jelas pengganas terbabit sengaja mahu menunjukkan kekuatan selain
menakutkan pasukan keselamatan.
“Pengganas terbabit mungkin sengaja melakukan
kekejaman terhadap anggota keselamatan kita sebagai satu peringatan kononnya
mereka sangat kuat.
“Namun, saya tidak tahu mengenai kekebalan mereka.
Walaupun mendakwa mempunyai kuasa mistik, ramai juga terbunuh kerana terkena
peluru pasukan keselamatan,” katanya.
Berbeza pula dengan pendapat disuarakan Setiausaha
Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS), Mohd Zaki Herry Susanto yang
mendakwa kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu berkemungkinan
dipengaruhi dadah jenis syabu.
“Saya pernah dimaklumkan bahawa pengganas terbabit
menggunakan syabu supaya sentiasa bertenaga dan mampu bertahan ketika berperang
meskipun berhari-hari tidak menjamah makanan.
“Selain itu, pengaruh penggunaan dadah menjadikan
pengganas hilang pertimbangan, termasuk bertindak kejam terhadap mayat lawan,”
katanya.
Katanya, kebanyakan pengganas menyasarkan kepala
kerana menyedari satu das tembakan saja mampu menumbangkan lawan.
“Pengganas lebih gemar menembak kepala kerana
mengetahui pasukan keselamatan memakai baju kalis peluru. Bagi saya, ia tiada
kaitan dengan ilmu mistik seperti memiliki ilmu kebal atau ghaib,” katanya
No comments :
Post a Comment