Monday, April 29, 2013

Isu Lahad Datu:Tangkapan mungkin dibuat lepas PRU13.



Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu nama tiga pemimpin terlibat dalam insiden Lahad Datu didedahkan dalam tempoh 24 jam.

 Beliau menegaskan, nama tiga pemimpin pembangkang itu tidak akan diberitahu dalam masa terdekat dan hanya akan dibuat selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Menurutnya, pendedahan nama-nama berkenaan dalam tempoh PRU13 hanya akan dianggap sebagai mempunyai tujuan atau kepentingan politik semata-mata.

 "Mana boleh dedah sekarang. Kenapa mereka (pembangkang) nak terasa hati sangat? Kalau tak makan cili kenapa rasa pedas? "Saya tak beritahu secara khusus siapa (terlibat dalam insiden Lahad Datu). Kenapa perlu melenting dan kenapa perlu beri amaran 24 jam?" katanya kepada media sewaktu melakukan tinjauan mesra di Perkampungan Nelayan Sungai Tiang, dekat sini, petang kelmarin.

 Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, N Surendran yang mendesak nama tiga pemimpin pembangkang terbabit didedahkan. Surendran dilaporkan mendakwa, jika Ahmad Zahid gagal mengemukakan nama-nama berkenaan dalam tepoh 24 jam bermakna ia adalah 'fitnah' yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN).

 Ahmad Zahid yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh menegaskan, pendedahan dan pertuduhan rasmi oleh pendakwaraya akan dibuat dalam masa terdekat. Katanya, jangka masa selepas PRU13 merupakan saat terbaik untuk mendedahkan nama-nama berkenaan dan pembangkang perlu menunggu kerana sekarang adalah masa untuk semua pihak menghadapi pilihan raya.

 "Bukan tanggungjawab beliau (Surendran) untuk mendakwa. Dakwaan dibuat oleh pendakwaraya dan siasatan terperinci dijalankan mengikut undang-undang. "Saya tak sebut nama secara khusus. Kenapa nak terasa dan jika benar mereka tak bersalah, buat apa nak risau dan kenapa perlu terasa?" katanya.

Baca seterusnya : di sini


No comments:

Post a Comment