KEADAAN sebuah kereta Honda Jazz dihempap sebuah Bas Express
KKKL yang terlibat dalam
kemalangan di KM 202.4 Lebuh Raya Utara Selatan
menghala ke Johor
tidak jauh dari plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, semalam. -
UTUSAN/Gaie Uchel
ALOR GAJAH 5 Mei - Lebih 50 pengguna lebuh raya membabitkan
47 penumpang dari dua buah bas ekspres terselamat dalam dua nahas melibatkan
sembilan buah kereta di Kilometer 202.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan
petang ini.
Kejadian bermula kira-kira pukul 2.45 petang selepas sebuah
kereta Perodua Myvi dipandu Rashid Mohd. Hashim, 28, menekan brek secara
tiba-tiba bagi mengelak merempuh sebuah kereta di hadapannya.
Berikutan itu, belakang Perodua Myvi berkenaan dirempuh
sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra disusuli rempuhan
berturut-turut dari belakang membabitkan Proton Waja, Pesona dan Toyota Vios.
Pada masa sama, sebuah bas ekspres dipandu Buyong Andak, 50,
dari Kuala Lumpur ke Melaka bersama 27 penumpang gagal mengelak lalu merempuh
kelima-lima buah kenderaan tersebut.
Menurut jurucakap polis, bas itu kemudian terbabas masuk ke
lorong tengah dan terseret sebelum terhenti di lorong kecemasan.
"Kejadian tersebut menyebabkan kesemua penumpang
menjerit ketakutan namun mereka selamat meskipun ada beberapa penumpang yang
cedera ringan," katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebuah lagi bas ekspres yang dipandu Mohd.
Anuar Othman, 58, dari Terminal Bandar Selatan ke Melaka Sentral cuba mengelak
kemalangan di hadapan sebelum turut terbabit kemalangan.
Mohd. Anuar mendakwa, ketika berada di lorong tengah dia
melihat kemalangan di hadapannya dalam jarak 100 meter membabitkan sebuah bas
ekspres dan lima buah kenderaan pelbagai jenis sebelum bas dipandu hilang
kawalan.
"Saya cuba kawal bas supaya tidak rempuh deretan enam
kenderaan terbabit, tiba-tiba semasa saya memaut stereng bas untuk masuk ke
lorong kiri bas terus berpusing dan terbalik ke sebelah kanan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Azhar
Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada pukul 2.57
petang dan bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, seramai 22 anggota membabitkan tiga jentera dari
Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah ke tempat kejadian
mendapati kesemua mangsa dari dua lokasi terbabit sudah keluar ke tebing lebuh
raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali
Saifuddin Shaharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel dari: Utusan
No comments:
Post a Comment