Petang ini merupakan masa yang amat bersejarah buat UMNO-BN
Kedah, khususnya dan rakyat Kedah amnya. Sepanjang malam tadi sehingga membawa
ke subuh, rata-rata semua orang berdebar-debar dan tidak senang duduk
memikirkan apakah Kedah akan kembali ke pangkuan UMNO dan Barisan Nasional atau
sebaliknya kekal di tangan PAS Kedah. Namun akhirnya terjawablah persoalan yang
berlegar-legar di fikiran semua orang. Kedah kembali ke pangkuan UMNO dengan
kemenangan 21-15.
Mukhriz Mahathir beberapa jam sebelum pengundian, telah
diisytiharkan sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya UMNO-BN menang di Kedah.
Janjitersebut dipenuhi. Jam 3:00 petang tadi, Mukhriz telah mengangkat sumpah
dan Aku Janji sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Azizan Abdul Razak yang
kelihatan begitu pasrah menerima kenyataan bahawa PAS tidak lagi berkuasa di
Kedah akibat ketamakan, keserakahan dan kelemahan pentadbirannya.
Walaupun para penyokong UMNO gembira dengan perlantikan
Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar, namun pada masa yang sama,
tanggungjawab besar dan sangat berat sedang menanti Mukhriz. Apakah DRAMA 11
Ketua Bahagian UMNO memaksa Sanusi Junid sewaktu bergelar Menteri Kedah meletak
jawatan, akan berulang dan menimpa Mukhriz? Atau barangkali mereka sudah serik
dan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan bodoh tersebut, lantas memberikan sokongan tidak berbelah bahagi
kepada Mukhriz sekalipun Mukhriz tidak mempunyai jawatan dalam UMNO Kedah
selain jawatan dilantik?
Semua pihak mengharapkan UMNO Kedah sudah mempelajari
kesilapan mereka dan tidak mengulanginya sekaligus membolehkan UMNO kekal di
negeri tertua di Malaysia itu.
Antara tugas utama Mukhriz adalah membersihkan Kedah
daripada sawang-sawang serta kekotoran yang telah dibuat oleh para pemimpin PAS
dan Kerajaan Negeri terdahulu. Mukhriz perlu membuktikan bahawa taringnya
selaku orang yang berpengalaman dalam MITI akan digunakan untuk memajukan Kedah,
sekaligus menghidupkan dan memberi nafas semula ekonomi dan perindustrian di
Kedah.
Banyak kawasan-kawasan perindustrian di Kedah termasuklah
Kulim Hi-Tech sedang menantikan sentuhan Mukhriz. Momentum turun padang yang
diamalkan oleh para pemimpin UMNO Kedah, seharusnya dikekalkan dan
dipergiatkan, terutama bagi menghadapi PRU14 lagi lima tahun dari sekarang.
Industri pelancongan Kedah yang telah malap dan sangat suram di bawah
pentadbiran Azizan, perlu dipergiatkan dan dicergaskan. Industri Kecil dan Sederhana
yang selama ini menjadi nadi ekonomi rakyat dan telah diabaikan oleh Kerajaan
Negeri PAS, perlu dihidupkan semula. .
Dengan kata lain, Mukhriz perlu muncul dengan pelbagai IDEA
GILA untuk membetulkan semula kerosakan yang telah dilakukan oleh PAS sepanjang
lima tahun lepas.
Pada masa yang sama, Mukhriz dan barisan Exconya nanti,
perlu juga memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan pelbagai kemelut yang
membabitkan Pejabat Tanah, Pejabat Daerah mahupun KCS yang telah menimbulkan
kemarahan rakyat Kedah, terutama dalam isu-isu seperti Tanah Perkuburan Swasta
Sungai Kob, KUIN, cukai, premium tanah, pencurian balak, pencurian pasir dan
mineral dan sebagainya.
Menang di Kedah tidak bermakna UMNO boleh bergoyang kaki.
Apatah lagi dengan kekalahan para pemimpin MCA dan MIC, telah menjadi indikasi
penting kepada pergantungan orang Melayu kepada UMNO untuk memastikan Melayu
dan Bumiputera di Kedah dibela, bukannya diabai demi mendapatkan undi daripada
kaum yang enggan dan membenci UMNO serta Barisan Nasional.
Jangan pula nanti, lebih banyak peruntukan diberikan kepada
tokong, kuil, gereja mahupun datang idea gila, lebihkan peruntukan untuk
sekolah Tamil, sekolah Cina dan sekolah gereja berbanding Sekolah Agama Rakyat,
Pondok Pengajian dan sebagainya yang berkaitan dengan Melayu-Bumiputera serta
Islam.
Terlebih penting, jangan pula Kedah Selatan kembali
diabaikan seperti biasa kerana beranggapan, kemenangan di Kedah Selatan adalah
kemenangan mutlak!
Baca seterusnya :di sini
No comments:
Post a Comment