BUKIT
MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk
melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat
gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof
Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.
Beliau berkata, sistem
pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak
membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.
Katanya,
sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan
bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama
dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.
"Kita tidak
perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum
boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik
darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program
wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program
semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia
peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Namun begitu, beliau
menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka
yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem
pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah
negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah
pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut
sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di
Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai
niat untuk menetap di negara ini.
"Jadi, British
membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda
masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri.
"Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang
kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik
supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di
sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya
lagi.
Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak
tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka
berfikiran secara sempit.
Menurutnya, ada segelintir ahli
politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda
masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.
"Ada
ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada
pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana
adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi
lebih kepada agenda sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment