Thursday, October 3, 2013

Shahidan : Kapal Terbang Kerajaan Bukan Hanya Untuk PM

alt


KUALA LUMPUR 3 Okt - Kapal Terbang kerajaan yang didakwa sebagai jet peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak sebenarnya turut digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya membangkitkan pembaziran berkaitan penyelenggaraan jet terbabit kerana ianya adalah perkara yang penting.

"Terdapat 7 jet ekskutif milik negara yang bukan sahaja digunakan oleh Perdana Menteri tetapi turut digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Perdana Menteri.

"Semua jet digunakan atas urusan rasmi kerajaan dan dakwaan bahawa jet tersebut milik Perdana Menteri adalah tidak berasas.

"Ini soal penyelenggaraan yang melibatkan keselamatan dan ini penting bagi memastikan pemimpin-pemimpin di negara ini selamat untuk terbang menggunakan jet ekskutif tersebut," katanya ketika menjawab dakwaan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Shahidan menjelaskan, dakwaan pembaziran itu adalah tidak berasas kerana kos yang lebih tinggi terpaksa ditanggung kerajaan sekiranya pemimpin di negara ini menggunakan pesawat komersial.

Katanya, pembangkang harus melakukan kajian dan berfikir dari pelbagai sudut sebelum membuat sesuatu dakwaan.

"Ini urusan rasmi kerajaan di mana ketetapan masa itu adalah penting dan sekiranya kita menggunakan pesawat komersial kita akan mengalami masalah masa selain kosnya yang lebih tinggi.

"Dakwaan itu dibuat oleh seorang ahli parlimen dan dia sepatutnya fikir Perdana Menteri adalah pemimpin penting sebuah negara yang melakukan banyak urusan rasmi kerajaan Malaysia," ujarnya.

Sebelum itu, Nga Kor Ming semasa sidang media di Lobi Parlimen hari ini mendakwa kos penyelenggaraan ke atas jet ekskutif kerajaan  adalah suatu pembaziran dan mendesak Perdana Menteri untuk 'mengubah gaya hidup'. 




No comments:

Post a Comment