PUTRAJAYA: Sebanyak 39 penjawat awam
termasuk pesara bakal berdepan tindakan sivil atau jenayah jika didapati
bertanggungjawab terhadap ketidakaturan yang didedahkan oleh Laporan Ketua
Audit Negara 2012.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr
Ali Hamsa berkata mereka yang meliputi 30 penjawat awam dan sembilan pesara itu
diberi surat tunjuk sebab untuk menjelaskan tahap penglibatan atau kecuaian
mereka dalam ketidakaturan berkenaan.
Jika siasatan lanjut mendapati mereka
terbabit, tindakan sivil atau jenayah akan diambil bergantung kepada jenis
kecuaian atau perlanggaran yang dilakukan, katanya dalam sidang media, di sini
Khamis.
Menurut Ali sebanyak tujuh penjawat
awam lagi akan dikenakan tindakan tatatertib manakala sembilan didapati tidak
terlibat dalam salah laku berkenaan.
Maklumat ini adalah hasil siasatan ke
atas 24 kes yang dibuka dan disiasat oleh 13 jawatankuasa siasatan khas yang
ditubuhkan sebelum ini, katanya.
Pembentukan jawatankuasa itu yang
dipengerusikan oleh Ali diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
ketika membentangkan Bajet 2014, bertujuan menyiasat dan mengambil tindakan
tegas terhadap salah laku penjawat awam susulan pelbagai teguran dalam Laporan
Ketua Audit Negara 2012.
Dalam laporan itu, sebanyak 319
teguran dibuat membabitkan 81 perkhidmatan awam persekutuan, 21 badan berkanun
serta 217 peringkat kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, 94 teguran
membabitkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian dalam
melaksanakan tugas.
Mengulas lanjut, Ali berkata susulan
laporan itu juga sebanyak 12 kertas siasatan membabitkan projek dan perolehan
di tujuh agensi dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Selain itu, semua ketua setiausaha
kementerian dan setiausaha kerajaan negeri sudah diarah menubuhkan jawatankuasa
siasatan dalaman bagi meneliti kes yang tidak disiasat oleh jawatankuasa
siasatan khas.
Mereka diberi masa sebulan sehingga
30 November ini untuk menjalankan siasatan dan setakat semalam sebanyak 817
pegawai sudah disiasat, katanya.
“Sekiranya wujud asas kukuh bahawa
pegawai didapati melakukan salah laku dan kecuaian, maka tindakan
tatatertib/surcaj/ pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ali berkata
sebanyak 100 skim perkhidmatan yang tidak terlibat dalam kajian tahun ini telah
dikenal pasti untuk dikaji mulai awal tahun depan.
“Proses penambahbaikan skim
perkhidmatan ini adalah berterusan untuk memastikan semua selesai menjelang
pertengahan 2015,” katanya.
No comments:
Post a Comment