KUALA
LUMPUR: Setiap hujung tahun dan awal tahun, harga barang basah akan
naik berikutan musim tengkujuh yang menyebabkan bekalan bahan-bahan
itu berkurangan.
Sehubungan
itu desas-desus mengaitkan kenaikan harga barang keperluan harian,
terutama barang basah sejak akhir-akhir ini disebabkan rasionalisasi
subsidi sebagai faktor utama kenaikan harga bahan mentah didapati
kurang tepat.
Sebaliknya,
faktor cuaca dan bekalan turut mempengaruhi harga barang itu
memandangkan pada musim berkenaan nelayan tidak dapat keluar ke laut,
manakala bagi petani, banyak sayuran mereka rosak berikutan hujan
lebat dan banjir.
"Selalunya
begitulah, sebab musim hujan kan, macam sawi dan kangkung, dua minggu
lepas, harga sekilogram RM7, semua kedai sini pun jual lebih kurang
sama harga. Hari ini, cuma RM1.50 sekilo bagi kedua-dua jenis sayur
itu," kata peniaga sayur di Pasar Borong Selayang, Milhan Mohd
Yussoff, 21.
Peniaga
ikan di pasar itu, Oi Chee Yong, 35, pula berkata bekalan ikan yang
diperoleh daripada pembekal tempatan menunjukkan kemerosotan sejak
Disember lalu.
"Sekarang
harga ikan terpaksa naik RM2 sekilogram sebab kami beli mahal, jadi
macam mana nak jual murah. Udang laut pun kami jual RM42 untuk
sekilogram berbanding dulu RM39," katanya.
"Kami
jual mahal pun susah juga, tak ada orang nak beli. Mereka hanya tanya
harga. Pembeli pandai...Jika mahal, mereka tak beli dan cari
alternatif lain," katanya.
Perkara
itu dipersetujui peniaga ikan, Tee Moi, 60, yang mengakui harga ikan
termasuk ikan yang sering 'menjadi pilihan' pada Tahun Baharu Cina
seperti kerapu, senangin dan bawal putih mengalami kenaikan harga RM2
sekilogram.
"Hari
ini saya jual ikan senangin pada harga RM26 sekilogram, berbanding
RM24 sebelum musim hujan. Udang laut pula saya dah tak ambil bekalan
sebab nak jual RM40 siapa mahu beli?," katanya.
Ini
dapat dilihat dengan harga tomato sebagai contohnya, pada dua bulan
lepas hanya RM1.80 sekilo, tetapi hari ini harganya di pasar basah
mencapai RM4.60 sekilo.
Peniaga
sayur di Pasar Sentul di sini, G. Sivalingam, 47, berkata harga sayur
meningkat terutama tomato naik lebih dua kali ganda berbanding
November lalu.
"Itu
pun susah nak dapat untung. Berniaga sayur, kami tak boleh simpan
stok lama. Paling lama tiga hari dan selepas itu mahu atau tidak kami
kena jual pukal, daripada busuk dan terpaksa buang," katanya.
Bagaimanapun,
ada juga yang tidak menafikan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan
seperti kenaikan harga petrol turut mempengaruhi harga barang basah,
seperti Ramlah Majid, 56, yang menganggap kenaikan harga petrol
merupakan penyebab utama kenaikan kebanyakan harga barang basah.
"Dah
naik petrol, semestinya naik kos operasi. Pembekal dan peniaga tak
boleh disalahkan dalam hal ini, sebab mereka pun perlu tanggung kos,"
kata usahawan itu yang ditemui membeli barang basah di Pasar Borong
Selayang.
Turut
mempunyai tanggapan sama, peniaga nasi lemak, Norseha Didok, 43, yang
berharap agar sebarang kenaikan harga barang asas yang boleh
menyumbang ke atas kos operasi peniaga dikaji dengan teliti oleh
kerajaan sebelum dinaikkan.
"Susah
sikit, macam saya jual nasi lemak, nak naik harga nanti pembeli pula
lari, kalau tak naik, tak ada pula untung," katanya.
-
BERNAMA
No comments:
Post a Comment