RON95
(Baca
sampai habis sebelum komen)
1. Saya
rasa berserabut membaca polemik mengenai pengurangan subsidi RON95 sebanyak 20
sen. Orang bertanya serabut, orang yang menjawab pun lagilah berserabut.
Akhirnya kita lupa beberapa perkara asas dalam polemik ini.
2.
Pengurangan subsidi ini adalah sebahagian langkah rasionalisasi yang diumumkan
sekian lama. Harga minyak RON97 diapungkan mengikut harga pasaran, sementara
subsidi RON95 akan dikurangkan sedikit demi sedikit. Itu strategi yang kerajaan
umumkan sebelum ini.
3.
Strategi ini diperkenalkan kerana satu saja alasan iaitu untuk membolehkan
subsidi disasarkan kepada kelompok yang betul. Apabila kerajaan memberikan
subsidi yang tinggi kepada RON95, golongan berada dan mempunyai banyak kereta
mendapat subsidi yang lebih berbanding golongan miskin (contoh: mereka yang
menggunakan sebuah motorsikal di kampung), yang menjadi sasaran subsidi ini.
4.
Apabila kerajaan kurangkan subsidi RON95, wang itu diberikan kepada kumpulan
sasar melalui BR1M. Wang BR1M itu sepatutnya digunakan oleh 7 juta penerima
untuk bayar subsidi minyak sendiri. Setiap kali letak minyak motorsikal,
niatkan subsidi 20 sen yang diterima itu. Kalau BR1M digunakan untuk beli beg
tangan, pergi Danok atau kahwin satu lagi, bak kata Nabil, "lu pikirlah
sendiri!"
5. Pengurusan subsidi RON95 tidak ada kena
mengena dengan kenaikan atau penurunan harga minyak dunia, atau harga minyak
kita lebih rendah berbanding di negara-negara jiran. Ia juga tidak ada kena
mengena sama ada rakyat patut bersyukur atau pun tidak. Alasannya hanyalah satu
iaitu mensasarkan subsidi kepada kelompok yang betul. Selain itu, kesemuanya
alasan mengarut.
6.
Orang kita faham semua itu. Takkanlah dah ada PhD, Sarjana atau Ijazah dengan
CGPA 4.0 tak boleh faham isu semudah itu?
7. Saya
perhatikan, apa yang rakyat marah ialah dua perkara. Pertama, kenaikan dibuat
secara mengejut. Tiba-tiba harga minyak naik. Maka, adalah yang paranoid
beratur panjang di stesyen minyak. Satu tangki kereta, boleh isi 40 liter.
Kalau minyak sudah ada separuh, bolehlah jimat RM4 selepas beratur panjang.
Sebenarnya banyak cara lagi nak jimat RM4. Berhenti merokok adalah salah satu
caranya. Begitu juga dengan berhenti minum teh tarik, roti canai atau nasi
lemak; jimat kos penjagaan kesihatan akibat kencing manis dan darah tinggi.
Apabila tua nanti jangan menyesal dapat pelbagai penyakit yang kita cipta
sendiri!
8.
Kedua, rakyat bimbang kenaikan harga barang. Orang Melayu terutamanya adalah
golongan makan gaji. Berapalah sangat gaji orang Melayu. "Median"
pendapatan rakyat Malaysia ialah RM3,262. Sekiranya tak faham median, mean dan
mode, sila google. Penyakit peniaga kita ialah minyak naik 20 sen/liter, dia
naikkan teh tarik yang menjadi punca penyakit kencing manis itu pun 20 sen
jugak!
9.
Melihat perkara ini, saya rasa kerajaan boleh lakukan dua perkara. Satu, oleh
kerana proses pengurangan subsidi adalah sesuatu yang akan dilakukan secara
berterusan sehingga sampai ke satu tahap yang sesuai, maka elok kerajaan
sediakan jadual dan maklumkan kepada awam awal-awal. Contoh: pengurangan 20 sen
subsidi pada setiap 1 Jun. Jadi, peniaga dan pengguna tahu awal-awal. Tak
adalah orang yang naik minyak apabila harga minyak naik 20 sen.
10.
Kedua, oleh kerana peniaga kita dihinggapi penyakit "barang naik"
(dulu saya ingatkan "barang tak naik" itu penyakit!), maka eloklah
kerajaan mantapkan mekanisme penguatkuasaan atau apa saja langkah bagi
membanteras kenaikan harga melampau.
11.
Kalau perlu buat pindaan undang-undang, silakan. Kalau perlu tambah pegawai
penguatkuasa, silakan. Malah kalau perlu wujudkan sukarelawan (seperti yang
dilakukan oleh askar wataniah atau polis bantuan) untuk bantu penguatkuasa
sepenuh masa (saya difahamkan pegawai penguatkuasa tak cukup), maka silalah
lakukan. Kalau perlu tembak hidup-hidup di tengah padang lapang untuk jadi
pengajaran kepada peniaga curang lain, buatlah. Buatlah apa pun untuk kekang
kenaikan harga barang.
12.
Satu lagi ialah rakyat ingin melihat sebarang penjimatan dari rasionalisasi ini
disalurkan kepada perkara-perkara yang menguntungkan rakyat dari segi jangka
panjang. Pada tahun ini, kerajaan peruntukan bajet sektor pendidikan RM54.6
bilion, iaitu sektor yang menerima bajet terbesar. Pendidikan telah menjadikan
kita semua keluar dari kemiskinan. Malah, MRSM yang melahirkan ramai
cendikiawan dan teknokrat Bumiputera hari ini mendapat lebih separuh bajet yang
diperuntukkan kepada MARA, sekitar RM6 bilion.
13.
Disebabkan pendidikan yang kita dapat dengan subsidi yang cukup besar itulah,
maka hari ini kita boleh upload gambar minum di Coffee Beans, gambar handphone
baru, gambar makan di Tony's Romas dan gambar kereta baru dalam Facebook. Itu
belum lagi kira gambar tiket kapal terbang, siap dengan "seat
number." Opps!
14.
Sekiranya penjimatan ini disalurkan kepada pendidikan atau bagi membantu
kelompok "bottom 40," saya akan sokong sepenuhnya rasionalisasi
tersebut.
No comments:
Post a Comment