April 4, Saturday 2015
Tan Sri Jamaluddin Jarjis adalah antara enam terkorban selepas helikopter mereka naiki terhempas di Semenyih, petang tadi, manakala Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan semua mayat sudah ditemui.
Beberapa media perdana melaporkan, selain Jamaluddin terdapat lima lagi penumpang antaranya ahli perniagaan Datuk Robert Tan dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.
Turut terbunuh juruterbang helikopter Kapten Cliff Fournier, pemilik Chempaka Aviation, Ajdiana Baiziera dan pengawal peribadi, yang dikenal pasti sebagai Raskan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Jamaludin terbunuh dalam nahas udara itu.
Sumber mengatakan helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB), dikatakan terbakar sebelum terhempas.
Semua mangsa nahas itu dikatakan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di Pekan, Pahang. Helikopter itu dikatakan terbang ke Subang dari Kuantan.
Manakala jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang tadi.
Berikutan itu, sebanyak tiga pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kajang, Bangi dan Semenyih diarah ke lokasi kejadian.
Sementara itu jurucakap pasukan penyelamat JPAM berkata, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang. Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu. - Laporan Crime Team
No comments:
Post a Comment