Wednesday, March 30, 2016

Parol, Pengampunan DiRaja Untuk Anwar, Nurul Izzah & Rafizi Saling Bercanggah

Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah hari ini menegaskan keluarganya sama sekali tidak akan memohon perintah parol untuk Anwar Ibrahim kerana percaya bekas Ketua Pembangkang itu tidak bersalah.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata keluarganya hanya akan memfokuskan usaha untuk mendapatkan Pengampunan DiRaja berbanding parol kerana baginya parol menunjukkan Anwar bersalah dalam kes liwat.

“Kes kita jelas, beliau (Anwar) tidak bersalah. Memang ada permohonan (Pengampunan DiRaja) dibuat ekoran kegagalan mahkamah mempertahankan keadilan," kata Nurul Izzah dipetik dari portal FreeMalaysiaToday hari ini.

Maksudnya Nurul Izzah percaya dengan cara memohon Pengampunan DiRaja bermaksud Anwar bukannya seorang pesalah liwat sebaliknya yang berlaku ialah salahguna proses mahkamah.

Masih juga dia nak pertikai keputusan Mahkamah yang sudah mengesahkan bapanya adalah seorang peliwat dan telah bersalah meliwat pembantu peribadinya sendiri, Saiful Bukhari.

Itu biasa, jarang ada anak yang nak mengaku kesalahan ayahnya walaupun segala bukti terbentang depan mata.

Isu parol ini timbul ada kaitan dengan pembebasan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang sejak semalam menjalani perintah parol di kediamannya sendiri.

Sistem parol ini bukan benda baru, sejak 2008 sudah 11,897 orang selesai menjalani perintah parol.

Bermula 30 Mac (hari ini) pula, seramai 543 orang termasuk Dr Khir sedang menjalani perintah parol untuk menghabiskan baki hukuman penjara.

Berbalik pada isu Nurul Izzah tolak parol untuk Anwar, itu hak dialah. Dah anak sendiri kata begitu, terimalah hakikat Anwar kena merengkoklah sampai kering dalam penjara kalau Pengampunan DiRaja pun ditakdirkan gagal kelak.

Soal Nurul Izzah nak cuba sekali lagi mohon Pengampunan DiRaja, kita alu-alukan, itu hak dia untuk mencuba tapi sebelum itu cuba imbas semula apa kata seorang lagi Naib Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli dalam isu Pengampunan DiRaja.

“Anwar tidak akan mengemukakan permohonan Pengampunan Diraja kerana Anwar tidak bersalah,” itu kata Rafizi dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR pada 23 Februari 2015, juga dipetik dari portal FreeMalaysiaToday.

Maksud Rafizi, kalau Anwar atau keluarganya mohon juga Pengampunan DiRaja itu bermakna Anwar memang melakukan kesalahan meliwat.

Nurul Izzah kata mohon parol membuktikan Anwar bersalah sebab itu lebih yakin dengan Pengampunan DiRaja tapi sebaliknya Rafizi pula kata mohon Pengampunan DiRaja bermaksud Anwar mengakui kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Dua Naib Presiden PKR saling bercanggah satu sama lain, jenuhlah Anwar termenung dalam penjara tepuk dahi sendiri menengokkan kecelaruan dalam barisan kepimpinan PKR yang macam anak ayam kehilangan ibu, memang kering dalam penjaralah gamaknya dia.

Tapi tak tahulah kalau Anwar sebenarnya seronok duduk dalam penjara dari memikirkan kecelaruan dalam PKR. Maklumlah dapat layanan VIP khabarnya, cukup teristimewa banding banduan lain.

Apapun, persoalan sekarang kenyataan siapa yang para penyokong PKR nak ikut jadikan pedoman? Nurul Izzah atau Rafizi, atau kedua-duanya tak boleh dipakai? Tepuk kepala tanya akal sendiri.

No comments:

Post a Comment