Tuesday, March 8, 2016

Usul Menggulingkan MB Terengganu Dibuat Bekas MB Mat Said Ditolak DUN Terengganu




KUALA TERENGGANU, 8 Mac (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak "usul" tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang cadangkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata usul telah dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN.

"Setelah meneliti Peraturan Tetap Dewan Negeri Terengganu, saya mendapati bahawa Fasal 33 mestilah dirujuk bersama fasal 45 yang menyebut dalam apa jua keadaan kebenaran speaker mestilah diperolehi walaupun tanpa notis dan saya mendapati usul ini tiada elemen keterdesakan dan sangat penting untuk dibahaskan tanpa apa-apa kelengahan.

"Oleh itu memandangkan bahawa undi tidak percaya bukanlah memperkatakan tentang perjalanan kerajaan negeri dan Menteri Besar tetapi mempersoalkan kewujudkan kerajaan negeri itu sendiri maka saya dapati usul undi tidak percaya ini tidak termasuk dalam fasal 33 ini. Maka saya menolak usul ini," katanya pada sidang DUN Terengganu hari ini.

Ahmad mencadangkan usul undi tidak percaya itu sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13 semalam.

ADUN Kijal itu mengemukakan alasan bahawa terdapat konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat.




Speaker kemudiannya memohon supaya beliau diberi masa untuk meneliti usul tersebut.

Sesi perbahasan ditangguhkan selama dua jam sebelum speaker menolak usul itu pada pukul 3 petang.

Selepas keputusan dibuat, suasana dalam dewan menjadi kecoh dengan desakan pembangkang dan juga Ahmad yang mempertikaikan keputusan tersebut dan enggan menerimanya menyebabkan speaker menangguhkan sidang sehingga esok.




Sebahagian ADUN pembangkang mempertikaikan keputusan Speaker Datuk Zubir Embong menolak usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang dibawa oleh ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said


Terdahulu, dalam perbahasannya, Ahmad membangkitkan isu telaga minyak di Bertam 3, berdekatan pantai Geliga, Kemaman, yang diumumkan terletak di negeri Pahang dan menurutnya sedangkan ia berada di kawasan perairan Terengganu.

Beliau juga mendakwa bahawa ketika pentadbiran Ahmad Razif harga rumah naik secara mendadak berbanding ketika beliau menjadi Menteri Besar.

Turut dibangkitkan ialah isu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) iaitu perbelanjaan pembinaan yang ditanggung kerajaan negeri sebanyak RM950 juta sedangkan di negeri lain kos itu ditanggung pihak swasta atau ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Ahmad menegaskan beliau tidak akan keluar daripada UMNO walaupun telah mencadang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

-- BERNAMA 



No comments:

Post a Comment