Saturday, March 4, 2017

Kes Rasuah Anak EXCO Johor, Menteri Besar Mula Bersuara

KENYATAAN AKHBAR MENTERI BESAR JOHOR

(Berhubung Isu Penukaran Status Rumah Bumiputera dan Siasatan SPRM)

Kerajaan Negeri Johor amat mengutamakan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan yang telus, bersih dan beramanah.

Justeru Kerajaan Negeri memandang serius siasatan dan penangkapan terhadap beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan penyelewengan dalam urusan hartanah dan perumahan di Negeri Johor.

Setelah meneliti dan mengambil kira perkembangan mutakhir, Kerajaan Negeri Johor ingin membuat beberapa penjelasan dan penegasan.

Pertama: Kerajaan Negeri Johor akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Kerajaan Negeri Johor berpendirian bahawa SPRM harus diberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjalankan siasatan.

Adalah menjadi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak. Ini bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam siasatan yang dijalankan.

Semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri juga akan dipastikan memberi kerjasama terbaik agar siasatan yang adil dapat dilakukan.

Kerajaan Negeri turut ingin memaklumkan bahawa Datuk Haji Abd Latif bin Haji Bandi, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perumahan dan kerajan tempatan telah memohon untuk bercuti dari perkhidmatannya dalam Kerajaan sehingga siasatan ini selesai.

Tindakan ini amat bersesuaian agar proses siasatan dapat berjalan dengan lancar dan bebas demi mengangkat integriti dan ketelusan yang senantiasa menjadi pegangan kukuh Kerajaan Negeri.

Kedua: Pelepasan Status Bumiputera adalah dasar yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri berasa bertanggungjawab untuk ambil kesempatan bagi menjelaskan kekeliruan tentang isu yang melibatkan penukaran atau pelepasan status rumah-rumah Bumiputera kepada status awam atau bukan Bumiputera.

Dasar yang membenarkan pelepasan ini tidak sama sekali melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Secara asasnya, penukaran dan pelepasan status atau kouta Bumiputera untuk rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau Rumah Kos Rendah adalah dibenarkan dan menjadi amalan Kerajaan Negeri dari dahulu lagi.

Ia terpakai kepada rumah-rumah mewah dan harganya di luar kategori RMMJ yang telah melepasi tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan lambakan rumah sedemikian yang tidak terjual kepada pembeli Bumiputera.

Permohonan ini lazimnya dibuat oleh pemaju perumahan untuk mengelakkan kerugian yang besar dan menjadi beban kepada komitmen pembiayaan projek pembangunan mereka.

Sejak akhir tahun 2013, penambahbaikan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan menetapkan bahawa salah satu syarat yang mesti dipenuhi oleh pemaju dalam membuat permohonan pelepasan status Bumiputera tersebut ialah dengan pemaju memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri. Jumlah yang ditetapkan ialah sebanyak 7.5%, iaitu bersamaan dengan 50% daripada 15% diskaun Bumiputera.

Selain itu, terdapat juga permohonan untuk membayar atau membuat sumbangan pada jumlah yang lebih rendah daripada peratusan yang ditetapkan ini terutamanya bagi projek-projek lama sebelum tahun 2013.

Kesemua keputusan berhubung kelulusan bagi setiap permohonan sebegini diputuskan oleh Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh EXCO Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sumbangan atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status Bumiputera ini kemudiaannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Bumiputera. Sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah sebanyak kira-kira RM600 juta.

Dana ini seterusnya digunakan oleh Kerajaan Negeri melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) seperti PIJ Holding dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai sumber dana dan perbelanjaan untuk, antara lain:

(a) Mengenalpasti dan membeli tanah-tanah yang bersesuaian untuk dibina rumah mampu milik di seluruh Johor;

(b) membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor seperti yang ditawarkan  dalam skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ);

(c) membina gerai-gerai atau pusat berniaga mampu milik untuk golongan Bumiputera;

(d) membolehkan Kerajaan Negeri membeli tanah-tanah milik Bumiputera yang strategik dan bersesuaian supaya ia kekal dimiliki Bumiputera;

(e) menjadi sebahagian daripada sumbangan dana pusingan di bawah skim pembiayaan perumahan rumah mampu milik Johor di bawah AmBank Islamic.

Maka, adalah ditegaskan, dana yang dikumpul hasil dari dasar ini, telah menjadi sumber pendapatan kepada Kerajaan Negeri untuk menjayakan lebih banyak lagi projek perumahan golongan Bumiputera.

Penjelasan ini sekaligus menjawab tuduhan tidak berasas wakil DAP bahawa kes yang dalam siasatan SPRM ini melibatkan rumah-rumah mampu milik Bumiputera dan kerana itu, terdapat kekurangan yang serius dalam jumlah rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh Bumiputera.

Ketiga: Kerajaan Negeri akan memperkemas prosedur dan tadbir urus

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya untuk memastikan pemantapan prosedur dan tadbir urus Kerajaan Negeri diperkemaskan.

Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman selanjutnya dalam sedikit masa lagi tentang langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan Negeri bagi mengelakkan segala bentuk ketirisan dan penyalahgunaan.

Pihak Kerajaan Negeri berharap yang siasatan ini akan berjalan dengan lancar dan dapat dilengkapkan dengan sebaiknya. Adalah menjadi harapan kerajaan Negeri agar ia membuahkan keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

YAB Dato' Mohamed Khaled Bin Nordin
Menteri Besar Johor
2 Mac 2017

No comments:

Post a Comment