Saturday, December 9, 2017

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ibu Pejabat UMNO



Kuala Lumpur: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bukan hanya sekadar bangunan bagi Tengku Razaleigh Hamzah, sebaliknya ia sarat dengan nilai sentimental yang cukup tinggi dan bermakna buat figura politik berusia 79 tahun tersebut.

Veteran UMNO itu sebenarnya tokoh utama yang bertanggungjawab secara langsung di sebalik kejayaan pembinaan PWTC, bermula daripada proses awal sehinggalah mercu tanda negara itu tersergam megah di Jalan Tun Ismail.

Mengimbas peranan besar yang dipikulnya, Tengku Razaleigh berkata, beliau menggalas jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bangunan dan Pembinaan Kompleks itu bermula 1976, selepas Tun Hussein Onn dilantik sebagai Perdana Menteri ketiga dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepadanya.

Meskipun begitu, Tengku Razaleigh sudah terlibat secara langsung sejak 1969 lagi, dengan membantu mencari tanah dan sumber kewangan, tambahan pula ketika itu beliau juga memegang jawatan sebagai Bendahari UMNO.

“Pengerusi pertama adalah Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu...ketika beliau menjadi pengerusi, negara baru hendak pulih (berikutan negara berada dalam darurat) ekoran insiden 13 Mei, jadi beliau begitu sibuk dan tidak sempat hendak meneliti usaha pembinaan bangunan baharu itu.

“Jadi kebanyakan tugas daripada mengumpul duit, mencari tanah dan sebagainya beliau serahkan pada saya...merata tempat saya pergi untuk mencari tanah seluas empat hektar untuk dibangunkan kompleks UMNO yang baharu tetapi semuanya jauh dan berada di luar ibu kota,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya di sini.

Tengku Razaleigh berkata Ismail yang terkenal dengan perwatakan yang tegas, bagaimanapun enggan menyalahgunakan kuasa untuk meminta tanah daripada Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu Datuk Harun Idris.

“Di hadapan bangunan Bank Negara ketika itu ada tempat kosong, jadi dikirakan elok kalau minta daripada Menteri Besar tetapi Ismail tidak bersetuju...katanya jangan ambil tanah kerajaan walaupun seinci untuk buat bangunan, beliau (Ismail) tidak mahu nanti rakyat marah kepada UMNO dan bangunan tidak peroleh rahmat.

“Jadi katanya, kalau kita hendak bina bangunan, kita kena cari tanah sendiri, kena kumpul duit sendiri supaya kita memilikinya dengan sendiri dan supaya tiada orang tuduh kita salah guna kuasa,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, setelah gagal menemui tanah yang bersesuaian, beliau kemudiannya mencadangkan kepada Ismail agar UMNO membeli tanah, yang pada mulanya ditawarkan kepada beliau.

“Saya ditawarkan untuk membeli tanah seluas empat hektar di Jalan Tun Ismail...kalau saya beli tanah tersebut, saya boleh jual pada UMNO dengan harga tinggi tetapi saya enggan berbuat demikian, saya tidak mahu dikatakan memakan komisen, maka saya lepaskan bulat-bulat kepada UMNO untuk membeli tanah tersebut pada 1971,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, pada 1972, Tun Hussein Onn yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri mengambil alih perancangan projek berkenaan sebagai pengerusi.

Beliau berkata Hussein, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, berjaya mendapatkan pemasyhuran daripada pihak World Trade Center (WTC) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat untuk menggabungkan dan menjadikan kompleks UMNO baharu itu sebagai WTC.

“Visi Hussein untuk kompleks tersebut bukan sahaja bertujuan sebagai ibu pejabat UMNO dan lokasi untuk persidangan UMNO tetapi juga untuk konvensyen besar antarabangsa termasuk pameran jentera berat dan alat perang,” katanya.

Tengku Razaleigh yang kemudiannya menjadi pengerusi baharu, bekerjasama dengan arkitek Datuk Hisham Al-Bakri dalam melakar reka bentuk kompleks bercirikan Islam dan Melayu, yang ‘rumah Melayu’ itu sendiri menggunakan reka bentuk serupa dengan istana Tengku Long Zainal Abidin, datuk kepada Tengku Razaleigh di Kelantan.

Tengku Razaleigh, yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan, turut menawarkan kepada Bank Dunia untuk mengadakan sidang tahunan pada 1978 dan dipersetujui oleh Kabinet, menyebabkan pelan reka bentuk dalaman PWTC juga berdasarkan keperluan Bank Dunia.

“Ketika itu, Malaysia belum pernah menjadi tuan rumah bagi persidangan besar jadi saya rasa itu peluang baik untuk perkenalkan Malaysia...namun persidangan itu tidak jadi dijalankan di Malaysia kerana kerajaan kemudiannya tidak bersetuju berikutan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga dianggotai Israel.

“Namun konsep (PWTC) asalnya masih berdasarkan keperluan yang Bank Dunia mahukan. Antaranya, kami teruskan (pembinaan) dengan dewan yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang, itulah Dewan Tun Dr Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn serta dewan besar yang boleh memuatkan 3,000 orang, itu yang kita buat Dewan Merdeka. Menara yang diberi nama Dato’ Onn itu melambangkan masa depan dan kemajuan orang Melayu dan negara,” katanya.

Tengku Razaleigh sendiri berjaya mengumpulkan lebih RM30 juta hasil sumbangan pelbagai pihak. Perkiraan beliau, dengan jumlah tersebut dan pinjaman bank, UMNO mampu menyelesaikan hutang dalam masa 17 tahun, hasil daripada sewaan pejabat dan pusat konvensyen.

Pada 25 Jun 1981, upacara meletakkan batu asas kompleks ibu pejabat UMNO dijalankan dan siap dibina pada 1985 dengan kos kira-kira RM200 juta.

Dinamakan PWTC sempena nama perdana menteri pertama yang juga Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan ketika itu ia merupakan bangunan parti yang terbesar dalam dunia.

“Bagi saya, anggota UMNO perlu diingatkan tentang sejarah sebenar, tentang pengorbanan pemimpin terdahulu supaya ia tidak mudah diubah dan luput, contohnya Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak yang hidup mati demi orang Melayu, hinggakan meninggal dunia tanpa sebarang harta ditinggalkan,” katanya.

 - Bernama

1 comment:

  1. Adakah anda memerlukan perniagaan atau pinjaman peribadi yang layak dari $ 3,000 - $ 50,000,000? Kredit buruk atau Kredit yang baik, tidak ada perbezaan dengan kami. 3% permohonan diluluskan dalam 72 Jam. Untuk memohon, berhubung dengan kami
    melalui e-mail:
    idaghehernadez@gmail.com
    Whatsapp +13176681073
    Encik Lonnie Hernadez

    ReplyDelete