Thursday, January 18, 2018

Nasib Orang Asli Tidak Pernah Dipinggirkan




Orang_Asli
 Sepasang bapa dan anak Orang Asli Semenanjung Malaysia

Sepanjang tahun 1970an hinggalah awal 2000, Tentera Udara DiRaja Malaysia sentiasa mempunyai beberapa buah helikopter Sikorsky S-61A Nuri dan Aérospatiale Alouette III yang sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, sama ada untuk kecemasan perubatan mahupun untuk membawa mereka keluar untuk menyertai program-program JHEOA (kini JAKOA) di bandar-bandar besar.



Kini, tanggungjawab tersebut juga ditanggung oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sering kelihatan menerbangkan helikopter-helikopternya di kawasan pedalaman.

WhatsApp Image 2018-01-16 at 10.52.333
Unit Udara JBPM digerakkan ke Gua Musang untuk membantu membawa para 
pelajar Orang Asli ke sekolah


Baru-baru ini, cuaca buruk telah menyebabkan jalan-jalan yang menghubungkan Gua Musang dengan empat pos Orang Asli di pedalaman terputus, menyebabkan seramai 242 orang pelajar Orang Asli terkandas dan tidak dapat pergi ke sekolah.  Para pelajar tersebut adalah dari Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob dan Pos Bihai.  Dari Pos Bihai melibatkan mereka-mereka dari Kampung Laklok, Kampung Tendrik, Kampung Bihai dan Kampung Hak.



JBPM telah menggerakkan dua buah helikopter dari jenis Agusta Westland A109E dan Agusta Westland 139 untuk membantu menghantar para pelajar tersebut ke sekolah.  Pesawat-pesawat tersebut dipandu oleh Penguasa Kanan Bomba I Roslan bin Aziz, Mejar Leong Cheong Meng TUDM, dan dibantu oleh penolong juruterbang Timbalan Penguasa Bomba Faizal bin Latif dan Timbalan Penguasa Bomba Sharizal bin Sahari.  Turut serta ialah tiga orang Kuartermaster Udara iaitu Penolong Penguasa Bomba Ubadah bin Suib, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Norhasrul bin Mohd Noordin dan Pegawai Bomba Kanan I Safuan bin Mohamad.



Pesawat jenis Agusta Westland A109E telah mula berkhidmat dengan Unit Udara JBPM pada tahun 2003 manakala Agusta Westland A139 pula mula diterima pada tahun 2010.  Unit tersebut mengoperasikan sebanyak lapan buah helikopter pelbagai jenis.  Unit ini telah bermula dengan empat buah helikopter Mil-Mi-17-1 buatan Russia yang mula diterima pada tahun 1998.  Ini diikuti oleh dua buah helikopter Agusta Westland A109E, dan dua buah Agusta Westland A139.  Salah sebuah helikopter Agusta Westland A109E tersebut telah terhempas dalam cuaca berkabus di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang, Pahang semasa membuat pengawasan dari udara pada 16 September 2010.  JBPM juga telah memesan dua buah helikopter jenis Agusta Westland A189 pada tahun 2016.


DTlliqDVQAAGnis
Para pelajar Orang Asli dibawa keluar menaiki pesawat 
Agusta Westland A109 Unit Udara JBPM



Walaupun cuaca tidak menentu, kedua-dua buah helikopter tersebut telah berjaya membawa keluar seramai 52 orang pelajar dari Pos Balar dan Pos Belatim ke Padang Sivik Gua Musang, manakala 44 orang pelajar dibawa keluar dari Pos Cemal ke Pos Balar pada hari pertama Ops Murni.  Operasi itu telah bermula pada jam 10.10 pagi dan berakhir pada jam 5.10 petang akibat cuaca yang bertambah buruk.


WhatsApp Image 2018-01-16 at 23.55.581
Pesakit Orang Asli dikeluarkan untuk dibawa ke hospital sebaik 
pesawat mendarat di Gua Musang


Walaupun Ops Murni bertujuan untuk membolehkan para pelajar Orang Asli hadir sessi persekolahan, operasi tersebut diselangi beberapa penerbangan ihsan membawa Orang Asli yang mempunyai sakit kritikal ke Hospital Gua Musang.  Ini menunjukkan kesediaan Unit Udara JBPM untuk bertukar mod operasi demi nyawa dan kesejahteraan masyarakat walaupun nyawa sendiri dipertaruhkan demi menyelamatkan orang lain.


heli10

Pesawat Agusta Westland A109E (9M-BOA) milik Unit Udara JBPM yang terhempas dalam kabus di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang, Pahang. Tiga orang anak kapal cedera dalam insiden ini. PgKB I Roslan bin Aziz adalah salah seorang mangsa insiden tersebut


Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat Orang Asli.  Disebabkan ketidak-pekaan ini, kerajaan sering dicemuh dan dituduh tidak mengambil berat masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.  Hakikatnya, untuk pihak JBPM sahaja, sebanyak 47 penerbangan ihsan telah dibuat pada tahun 2015 untuk menerbangkan seramai 111 orang pesakit dan pengiring.  Sebahagian besar adalah dari kalangan masyarakat Orang Asli.



Oleh itu, jangan mudah menuduh bahawa kerajaan tidak mengambil berat terhadap masyarakat luar bandar terutamanya Orang Asli kerana juruterbang-juruterbang seperti PgKB I Roslan dan Mejar Leong sentiasa bersedia memberi keutamaan kepada kesejahteraan masyarakat tersebut.


WhatsApp Image 2018-01-16 at 10.52.33
PgKB I Roslan bin Aziz berbincang mengenai operasi yang telah mereka jalankan 
setelah tamat penerbangan hari pertama Ops Murni 




No comments:

Post a Comment